MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP) TAHUN 2023

TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT

KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA

MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

TAHUN 2023

 

2 OKTOBER 2023 (ISNIN) 2:30 PETANG

DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

 

 

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berhormat  Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I

 

Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh

Timbalan Ketua Menteri II

 

YB. Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Tuan H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhomat Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Barisan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Yang Berusaha Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Yang Berbahagia Sr. Cheong Chee Hong

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Yang Dihormati Puan Nur’Aishah binti Md. Norodin

Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan

 

Ketua-Ketua Jabatan ; Rakan-Rakan Media

 

Y.Bhg. Dato’-Dato’ / Tuan-Tuan / Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

Selamat petang, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Pada petang yang berbahagia ini, saya berasa amat berbesar hati dan syukur kerana dapat berada di sini bagi menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi Tahun 2023.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada YB Jason H’ng di atas pelantikan beliau sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa. Saya berpendapat bahawa beliau merupakan seorang yang amat dekat di hati rakyat memandangkan sebelum ini YB Jason telah berkhidmat sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi tempoh 1 Januari 2013 sehingga 27 April 2018. Sesungguhnya, menerusi pelantikan beliau, adalah menjadi harapan saya agar lebih banyak dasar atau inisiatif baharu dapat diwujudkan demi kemakmuran hidup rakyat Seberang Perai khasnya dan Pulau Pinang secara keseluruhan amnya.

Serentak itu, tahniah juga diucapkan kepada YBhg. Datuk Bandar, Tuan Setiausaha Bandaraya, Ahli Majlis, Ketua Jabatan dan semua kakitangan MBSP kerana berjaya menganjurkan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis ini dengan cemerlang walaupun terikat dengan persiapan penganjuran forum bertaraf antarabangsa iaitu Seberang Perai International Conference On Eco Tourism and Conservation Efforts (SPICEC 2023) yang bakal diadakan pada 4 Oktober 2023, hari Rabu ini. 

Berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kerajaan Negeri Pulau Pinang saya ingin mengucapkan tahniah kepada 22 Ahli Majlis yang bakal dilantik pada hari ini (10 Ahli Majlis dilantik semula manakala 12 Ahli Majlis adalah lantikan baru), laksanakanlah amanah dengan sepenuh tanggungjawab demi kesejahteraaan rakyat Seberang Perai. Malah, kepada mereka yang telah menabur khidmat pada sesi lalu, bagi pihak Kerajaan Negeri dan juga MBSP, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat serta komitmen yang dicurahkan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Tahun 2023 sudah berada di penghujungnya dan tidak lama lagi tirainya akan dilabuhkan. Walaupun bagaimanapun, ini tidak bermakna usaha dan strategi kita turut sama berhenti atau dihentikan, sebaliknya ia perlu digandakan kerana rakyat Seberang Perai telah memberi amanat terhadap kepimpinan kita.

Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir kawasan keluasan 751 kilometer (km) persegi, tidak dinafikan bahawa tugasnya adalah tidaklah mudah. Dengan ini, kita di PBT perlu lebih menekankan aspek ‘people centric’ sebagaimana termaktub dalam Visi  Penang2030 iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Dalam pada itu, saya juga telah dimaklumkan bahawa MBSP telah melancarkan Pelan Strategi 2023-2030 serta ‘Corporate Priorities’ baharu pada 18 April 2023 selaras dengan visi Kerajaan Negeri bagi memastikan impak pertumbuhan Seberang Perai dan kemakmuran kehidupan rakyat dapat dinikmati secara holistik. Saya yakin bahawa program dan strategi yang telah dirancang oleh MBSP telah mengambil kira cabaran-cabaran, kehendak dan juga permintaan rakyat.

Saudara dan saudari sekalian,

Bagi tahun 2023 iaitu sehingga 15 September 2023, dari segi pendapatan dan perbelanjaan, MBSP telah memperoleh pendapatan sebanyak RM265,893,822 yang mana Hasil Cukai adalah RM190,329,229; Hasil Bukan Cukai adalah RM46,610,138, dan Terimaan Bukan Hasil adalah sebanyak RM12,120,649.00. Manakala jumlah perbelanjaan pula adalah sebanyak RM208,678,490.

Menerusi perangkaan ini, jumlah pendapatan MBSP telah mencatatkan peningkatan sebanyak RM16.83 juta berbanding tahun 2022. Ini merupakan suatu pencapaian yang baik dari segi pengurusan kewangan, syabas!

Malah, bajet tahun 2024 MBSP bertemakan “Seberang Perai Bandaraya Mampan dan Kondusif” berpaksikan keutamaan atau ‘priority-based budgeting’ turut memperlihatkan kebolehupayaan pihak PBT dalam memacu pertumbuhan ekonomi Seberang Perai dengan lebih mampan, bergerak pantas serta pertumbuhan yang lebih rancak.

Menerusi pembentangan tersebut, sebanyak RM16 juta telah diperuntukan oleh MBSP untuk pembangunan Seberang Perai secara keseluruhan, manakala RM393.9 juta lagi adalah daripada Kumpulan Wang Sumbangan serta Peruntukan Kerajaan Negeri serta Persekutuan. Saya berharap jumlah keseluruhan sebanyak RM409.9 juta untuk tahun 2024 dapat digunakan dengan sebaik-baiknya ke arah mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Bagi tempoh lima tahun akan datang, tugas dan peranan MBSP menjadi semakin penting terutamanya dalam usaha Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Manifesto 2023 yang dijanjikan kepada rakyat baru-baru ini. Hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan ‘Meditech City’ di Batu Kawan sebagai salah usaha untuk melonjakkan Pulau Pinang ke arah mencapai taraf ‘Global City’ menuntut komitmen yang tinggi daripada MBSP.

Malah, peranan dan MBSP juga amat diperlukan dalam membantu Kerajaan Negeri meningkatkan daya huni dengan mempelbagaikan kemudahan tapak rekreasi dan fasiliti sukan khususnya di Seberang Perai.  MBSP juga perlu meningkatkan usaha bagi melaksanakan perancangan strategik selaras dengan perubahan iklim seperti tebatan banjir, pelan penyesuaian iklim serta lingkaran kawasan hijau, Penang Green Connectors dan pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi baharu di Bertam, Seberang Perai Utara.

Sebagai penutup kata, marilah kita sama-sama berganding bahu dan terus menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi bagi merealisasikan gagasan Visi Penang2030 demi pembangunan Seberang Perai yang merupakan pemangkin kepada masa depan negeri Pulau Pinang

Sekali lagi, ucapan tahniah buat semua Ahli Majlis yang baru dilantik. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang