MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN AHLI-AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH RUMAH ORANG TUA SILVER JUBILEE YANG BAHARU

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN AHLI-AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH RUMAH ORANG TUA SILVER JUBILEE YANG BAHARU

 

8 DISEMBER 2023 (JUMAAT) | 3 PETANG

SERI MUTIARA


Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

YB Puan Lim Siew Khim

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam

YBhg. Dato’ Seri Chong Eng

YB Tuan A. Kumaresan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban

YB Tuan Sim Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru

Selamat petang dan Salam Sejahtera.

Tuan Yang Terutama Tun,

Dengan penuh kesyukuran, saya selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pemegang Amanah ex-officio Rumah Orang Tua Silver Jubilee (atau lebih dikenali sebagai Silver Jubilee Home For The Aged) yang dipertanggungjawabkan di bawah seksyen 3 Penang And Province Wellesley Jubilee Fund Act 1965,  ingin menzahirkan ucapan ribuan terima kasih atas kesudian dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun melantik tiga individu yang juga merupakan penduduk Pulau Pinang di bawah seksyen 3 Akta tersebut untuk bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai pemegang-pemegang amanah baru Rumah Orang Tua Silver Jubilee.

Seperti mana Tuan Yang Terutama Tun sedia maklum, Rumah Orang Tua Silver Jubilee yang terletak di Jalan Sungai Dua, Glugor, Pulau Pinang merupakan suatu inisiatif kemasyarakatan yang bermula daripada hasrat mendiang Encik Cheah Leong Keah JP beberapa dekad lalu yang mana mendiang ingin memastikan kebajikan golongan warga tua fakir Pulau Pinang kekal terpelihara.

Bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap pengurusan dan operasi Rumah Orang Tua Silver Jubilee lanjutan daripada peletakan jawatan pemegang-pemegang amanah terdahulu, Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bermesyuarat pada 6 Disember 2023 dan seterusnya telah mencalonkan individu-individu berikut untuk pertimbangan Tuan Yang Terutama Tun.

Mereka ialah:-

  1. YBhg Dato’ Seri Chong Eng, mantan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang,
  1. YB Tuan Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen mewakili kawasan Bayan Baru; dan

c) YB Tuan Kumaresan a/l Aramugam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang mewakili kawasan Batu Uban.

Dengan penuh sukacita saya juga ingin memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun bahawa tempoh pelantikan kedua-dua YBhg Dato’ Seri Chong Eng dan YB Tuan Sim Tze Tzin sebagai pemegang amanah Rumah Orang Tua Silver Jubilee adalah dari 7 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024, manakala tempoh pelantikan YB Tuan Kumaresan adalah dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga mereka atas persetujuan untuk menggalas tanggungjawab ini demi menjaga kepentingan dan kebajikan ahli-ahli  Rumah Orang Tua Silver Jubilee.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya untuk juga merekodkan ucapan  terima kasih pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada ahli-ahli pemegang amanah terdahulu -

a) Encik Bernard Kok Yin Fook;

b) Tan Sri Dato’ Sri Tan Kok Ping; dan

c) Dato’ Loh Yeow Boo

atas jasa yang ditaburi untuk Rumah Orang Tua Silver Jubilee.

Besarlah harapan saya agar pelantikan-pelantikan baru pada hari ini dapat meneruskan kesinambungan warisan mendiang Encik Cheah Leong Keah untuk masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang