MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN NEGERI PULAU PINANG 2023 & EKSPO AGRO BUDDIES UITM

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN NEGERI PULAU PINANG 2023 & EKSPO AGRO BUDDIES UITM

9 DISEMBER 2023 (SABTU) | 2.15 PM

UITM PERMATANG PAUH


YB Tuan Fahmi Bin Zainol
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi

YBhg. Profesor Ir. Dr. Ahmafd Rashidy Razali
Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang

Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri,

Pegawai – pegawai Kanan Kerajaan,

Yang diraikan para peladang, penternak, nelayan dan anak-anak Agro Buddies

Rakan-rakan media, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Saya amat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk berkumpul bersama-sama hadirin sekalian sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pulau Pinang & Ekspo Agro Buddies UiTM 2023 pada hari yang berbahagia ini.

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Negeri Pulau Pinang dan pasukannya kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis ini.

Hadirin yang dikasihi,

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Pulau Pinang merupakan salah satu bukti kepada iltizam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menghargai jasa dan sumbangan golongan berkaitan di negeri ini. Sesungguhnya, Tuan-tuan dan Puan-puan adalah wira negara yang sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan makanan negeri kita sentiasa cukup dan terjamin. Oleh kerana itu, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.

Saya juga amat berbangga dengan inisiatif UiTM cawangan Pulau Pinang dalam usaha melestarikan bidang agro demi keterjaminan makanan di negeri Pulau Pinang melalui konsep mendekatkan murid-murid sekolah dan para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program-program seperti bengkel tanaman, pertandingan inovasi, aktiviti Agro Kids dan sebagainya. Justeru, pelaksanaan Ekspo Agro Buddies ini sememangnya merupakan usaha yang sangat baik daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui pejabat YB Fahmi dengan kerjasama daripada pihak UiTM. Ia juga secara tidak langsung selaras dengan gagasan Visi Penang2030 yang mana Kerajaan Negeri menyasarkan Pulau Pinang menjadi sebuah Negeri Pintar dan Hijau.

’Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’, ia merupakan tema sempena penganjuran kali ini yang mana ia bertepatan dengan aspirasi sambutan yang memberi tumpuan kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Terdapat tiga (3) fokus utama dalam tema Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Pulau Pinang dan Ekspo Agro Buddies pada kali ini iaitu pertama, menggalak dan mengekalkan golongan muda di dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan. Yang kedua, menawarkan kecanggihan agroteknologi dan inovasi pertanian. Ini dibuktikan melalui penganjuran Bengkel Tanaman, Pertandingan Inovasi serta Aktiviti Agro Kids dalam kalangan murid-murid sekolah dan pelajar-pelajar IPT. Manakala fokus ketiga adalah meliputi pelbagai program dan aktiviti MADANI yang dianjurkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang serta FAMA Negeri Pulau Pinang seperti Majlis Konvensyen Peladang dan Julan Prihatin Madani yang akan membawakan jualan produk pertanian serta barangan asas keperluan dengan kadar yang murah dari pasaran untuk para pengunjung.

Sebagai Ketua Menteri, saya amat berbangga dengan pencapaian dan usaha yang ditonjolkan oleh para petani, penternak, nelayan serta semua pemain industri dalam bidang agroteknologi di negeri ini. Saya sedar, ramai yang hadir pada hari ini terkesan teruk ekoran penularan wabak COVID-19 dan kemudian diikuti dengan perang antara Russia dengan Ukraine yang telah mengakibatkan krisis bekalan makanan kepada haiwan ternakan.

Namun apa yang saya lihat di sini adalah semangat juang tinggi dalam kalangan anda semua yang secara langsung membantu kerajaan mencapai keterjaminan makanan demi kelangsungan hidup masyarakat dalam negara.

Sebagai salah satu contoh, sektor penanaman padi di Pulau Pinang telah menjana hasil sebanyak RM190.8 juta pada 2022. Lebih membanggakan, Pulau Pinang masih mengekalkan tempat pertama dalam pengeluaran pukal tahunan walaupun negeri kecil ini tidak bergelar sebagai ’negeri jelapang padi’. Syabas saya ucapkan! Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus bersama-sama Kerajaan Perpaduan demi memacu pertumbuhan sektor agro yang mampan demi kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang.

Hadirin sekalian,

Sebagaimana ditekankan di dalam Manifesto Perpaduan 2023, dalam memastikan keterjaminan rantaian makanan di Pulau Pinang khususnya, bantuan bayaran sara hidup kepada pesawah serta pekebun sayur dan bantuan pukat kepada golongan nelayan akan diteruskan. Malah, turut ditekankan adalah pendapatan golongan petani dan nelayan menerusi agrikultur moden, padi berhasil tinggi, pelancongan agro, pelancongan sungai dan aktiviti promosi berkaitan yang akan dipelbagaikan. Tidak terkecuali adalah mewujudkan zon akuakultur baharu bagi menggalakkan penternakan kerang, ikan, ketam nipah dan tiram.

Serentak itu, sebagaimana ditekankan di dalam pembentangan Belanjawan 2024, pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, TKPM Mayfield, Taman Agro Batu Kawan (Juru) dan Taman Pertanian (Agropark) Permatang Pauh merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu ke arah memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Pada tahun ini juga, Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.92 juta daripada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan 16 projek dan program pembangunan pertanian dengan 14 daripadanya telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu para petani, usahawan Industri Asas Tani (IAT) dan belia tani. Bagi tahun 2024, Jabatan Pertanian Negeri akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.93 juta bagi meneruskan projek-projek ini.

Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan generasi muda dan belia dalam mempelopori aktiviti dan perusahaan pertanian. Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian pada masa kini perlu diketengahkan yang bukan sahaja dapat membantu dengan penjanaan pendapatan yang lebih baik malah demi memperkasa agenda keterjaminan makanan negeri ini. Menyedari kepentingan golongan belia dalam bidang pertanian, Kerajaan Negeri telah menyediakan dua (2) program iaitu Program Petani Pelapis dan Program Tabung Usahawan Tani dalam memperkasakan peranan belia negeri ini dalam sektor pertanian di negeri ini.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan terus menggembleng tenaga dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mahupun program yang menyokong kepada pengukuhan pengeluaran ternakan di negeri ini. Sebanyak RM4.6 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada JPV pada tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan pengeluaran ternakan demi membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi di negeri ini.

Turut dibanggakan adalah Pulau Pinang juga menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur tertinggi dalam negara yang mana mencatatkan nilai berjumlah RM681.2 juta pada tahun 2022. Secara keseluruhannya, sebanyak RM1.18 bilion hasil diperoleh melalui sektor perikanan di Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022.

Justeru, bagi merancakkan industri akuakultur di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bagi mempergiatkan industri kerang di negeri ini. Penternakan kerang boleh membantu untuk mempelbagaikan sumber protein dan pengeluaran makanan di negeri ini dan pada masa sama boleh dijadikan sebagai sumber protein alternatif bagi menggantikan ikan serta daging kepada para pengguna. Pengeluaran kerang di Pulau Pinang sehingga bulan September tahun ini adalah sebanyak 130.63 metrik tan dengan nilai pengeluaran (harga borong) dianggarkan sebanyak RM1.3 juta. Pada masa kini, terdapat seramai 141 peserta penternak kerang bagi Fasa 1 dengan keluasan 1,050 hektar di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Hadirin sekalian,

Saya tidak berhasrat untuk bercakap dengan lebih panjang, sebagai penutup kata, saya berharap sepanjang sambutan tiga (3) hari ini, para pengunjung dapat menikmati sendiri pengalaman dalam sektor pertanian khususnya kepada anak-anak muda selain menerokai sendiri pelbagai teknologi yang dipamerkan menerusi pameran inovasi pertanian oleh jabatan atau agensi kerajaan mahupun swasta.

Maka dengan itu, sukacitanya saya merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pulau Pinang & Ekspo Agro Buddies UiTM 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang