UPACARA PENYERAHAN RASMI PENYIAPAN KERJA-KERJA PENGECATAN SEMULA BLOK 74, JALAN TENGAH, BAYAN BARU

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA UPACARA PENYERAHAN RASMI PENYIAPAN KERJA-KERJA PENGECATAN SEMULA
BLOK 74, JALAN TENGAH, BAYAN BARU,PULAU PINANG

PADA 4 JUN 2017

Saya berasa amat berbangga dan bersyukur kerana pada hari yang penuh bermakna ini, kita sama-sama berhimpun di sini untuk merayakan upacara penyerahan rasmi penyiapan kerja-kerja pengecatan semula untuk Blok 74, Jalan Tengah, Bayan Baru.

Untuk makluman YB/Dato’/Tuan/Puan, blok ini merupakan projek pengecatan semula yang ke-14 yang telah siap dilaksanakan oleh PDC pada bulan Mac tahun ini melalui kaedah perkongsian kos di antara tiga pihak iaitu PDC, pemilik-pemilik unit melalui Perbadanan Pengurusan (MC) Blok 74 dan bantuan peruntukan daripada Kerajaan Negeri. Kerjasama ini telah membuahkan hasil sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Di dalam hal ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada kesemua pihak yang telah bekerjasama untuk berjaya merealisasikan inisiatif ini.

Blok 74 ini merupakan satu antara 17 blok di Jalan Tengah, Bayan Baru yang telah dibina oleh PDC pada tahun 1980 dan merupakan bangunan 5 tingkat dengan sejumlah 30 unit kediaman. Sebagai pematuhan kepada kehendak Akta Hakmilik Strata 1985, blok ini telah diserahkan oleh PDC kepada Perbadanan Pengurusan (MC) untuk pengurusan dan penyelenggaraan pada 14 Februari 2002.

Seperti YB/Dato’/Tuan/Puan sedia maklum, sejak tahun 2011, pihak PDC telah memperkenalkan suatu insentif untuk menawarkan pelaksanaan kerja-kerja pengecatan semula berasaskan kaedah perkongsian kos. Pada amnya, nisbah perkongsian kos adalah atas 80/20 untuk semua bangunan kediaman bertingkat PDC yang telah diserahkan kepada MC. PDC melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan menanggung 80% dari jumlah kos pengecatan semula manakala baki 20% lagi akan ditanggung oleh MC blok masing-masing.

Walaubagaimanapun, projek PDC di Jalan Tengah ini yang merangkumi 14 “Slab Block” ( 5 tingkat) dan 3 “Point Block” (12 tingkat) adalah lebih istimewa sebab polisi pengecatan semula ini adalah berdasarkan 80/10/10 di mana pihak MC hanya perlu menanggung kos 10% sahaja, manakala baki 10% akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Bagi Blok 74 ini, kos keseluruhan untuk kerja pengecatan semula ini adalah berjumlah RM40,500. Dalam hal ini, PDC telah menanggung 80% kos yang berjumlah RM32,400, manakala baki bahagian 20% adalah dikongsi antara MC dan Kerajaan Negeri sebanyak RM4,050 masing-masing. Kerja-kerja pengecatan semula bagi blok ini, yang telah dijalankan oleh PDC Nusabina Sdn Bhd telah bermula pada 10 Februari 2017 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Mac 2017, dengan mengambil tempoh pelaksanaan selama kurang dari satu (1) bulan.

Selain dari pengecatan semula, kerja-kerja pembaikan atas kerosakan kritikal yang melibatkan kerja pembaikan bumbung, pembaikan tangki air, penggantian “surface water pipe” dan kerja “waterproofing” juga telah dijalankan atas perkongsian kos 80/10/10 di mana kos keseluruhan pembaikan tersebut adalah berjumlah RM93,310. Tujuan kerja-kerja pembaikan kritikal ini dijalankan adalah bagi melancarkan kerja-kerja pengecatan semula yang dijalankan di projek perumahan tersebut.

Di sini saya ingin sekali lagi menyeru MC yang lain di kawasan pembangunan Jalan Tengah ini agar mengambil tawaran perkongsian kos yang disediakan oleh PDC dan Kerajaan Negeri. Inisiatif ini merupakan kaedah yang terbaik untuk MC supaya berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dan pihak PDC untuk sama-sama menikmati premis yang lebih selesa dan cantik. Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian oleh pihak MC ialah dengan imej dan wajah baru yang diperolehi selepas bangunan dicat semula, nilai pasaran unit-unit di projek perumahan mereka akan terus meningkat. Ini telah dibuktikan bagi projek-projek perumahan PDC lain yang telah dicat semula.

Akhir kata, saya dengan perasaan sukacita dan besar hati, dengan ini merasmikan penyerahan penyiapan kerja-kerja pengecatan semula Blok 74, Jalan Tengah, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang