PINANG FIESTA 2017

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
PINANG FIESTA 2017

TARIKH: 31 OGOS 2017 (KHAMIS) MASA: 06.00 PETANG

Terima kasih saudara pengacara majlis.

Yang Berhormat Chong Eng, 
Ahli Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, merangkap ADUN Kawasan Padang Lalang

En Teng Kok Liang, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)

Tuan-tuan dan Puan-puan, Saudara-saudari

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60 dan Salam Sejahtera diucapkan kepada semua.

Pertamanya, bersyukurlah kita kerana dapat berkumpul bersama-sama di Upper Penang Road bersempena Majlis Perasmian Pinang Fiesta 2017 sebuah program yang baharu anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk membantu Usahawan Muda dalam menjana pendapatan dan mempromosikan produk niaga mereka.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan Tahniah dan Syabas kepada PYDC dan pihak MBPP kerana telah bergerak lebih maju kehadapan khususnya dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk Belia di Pulau Pinang dan kali ini PYDC telah memilih untuk menjalankan aktiviti kepada Usahawan Muda disini.

Bidang Keusahawanan semakin mendapat tempat dalam kalangan belia di Pulau Pinang baik dari segi perniagaan berkedai mahupun perniagaan secara atas talian (Online) semakin rancak berkembang dalam era kini. Namun begitu, terdapat kekangan kepada mereka yang tidak mempunyai suatu ruang untuk mempromosikan barang niaga mereka. Oleh itu, melihat senario ini Pinang Fiesta 2017 diperkenalkan, dan PYDC telah memperuntukkan jumlah RM 62,000 (Enam Puluh Dua Ribu Ringgit) untuk menjayakan program ini.

Saudara dan saudari,

Untuk pengetahuan semua, Pinang Fiesta telah memuatkan 40 gerai peniaga-peniaga Belia dengan kepelbagaian produk jualan sepanjang 4 hari mulai hari ini. Barang jualan disini pula dibahagikan kepada 4 bidang iaitu Makanan & Minuman, Pakaian & Aksesori, Seni & Kraf Tangan dan Lain-lain supaya keseimbangan dalam perniagaan dapat terjalin serta mampu memupuk keharmonian dalam kalangan peniaga. 

Bukan itu sahaja, saya difahamkan bahawa sepanjang 4 hari acara ini berlangsung pelbagai aktiviti bakal dijalankan antaranya ialah (konvoi Merdeka, persembahan bakat-bakat oleh belia negeri ini, persembahan buskers dan tidak lupa juga persembahan hangat dari Artis Malaysia) bakal dipersembahkan kepada semua pengunjung yang hadir di Pinang Fiesta 2017 ini.

Oleh itu, saya berpendapat acara ini sikit sebanyak mampu memberi suatu impak yang sangat berkesan kepada Belia di negeri bertuah ini untuk mereka majukan perniagaan dan pihak Kerajaan Negeri amat berharap apa jua bidang kerjaya yang Belia ceburi mampu membuahkan hasil yang boleh meningkatkan mutu belia yang berkualiti di Pulau Pinang ini.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang menuju ke arah bidang ekonomi yang mementingkan teknologi tinggi, inovatif dan bernilai tinggi. Dengan memperkenalkan aktiviti ekonomi ke sektor perkhidmatan dalam talian penubuhan @CAT (Accelerator for Creativity Analytics & Technology) untuk creative multimedia content (CMC) di Wisma Yeap Chor Ee, dimana berada di Tapak Warisan George Town, telah menunjukkan hasrat kami untuk membangunkan golongan belia dalam bidang teknologi dan perniagaan dalam talian.

Maka, saya berharap semua disini bantu untuk mempromosikan acara ini dengan sama-sama kita terus-terusan menggunakan “ #PinangFiesta17 ” di laman sosial sebagai medium yang boleh menghubungkan semua masyarakat di negeri Pulau Pinang ini.

Sekian Terima Kasih.

LIM GUAN ENG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang