MAJLIS PELANCARAN BUKU JENERAL PADANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BUKU JENERAL PADANG

27 MAC 2022

HOTEL ST GILES WEMBLEY, PULAU PINANG

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin                                 Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

 

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan

YB Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan

Yang Berusaha Encik Tajuddin bin Dato’ Zachariah

Presiden Kelab Bola Sepak Panthers United

Yang Berusaha Encik Zabidi bin Sultan

Pengarah Urusan Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd.

Yang Berbahagia Datuk Haji Abdull Shukur Saleh

Lagenda Bola Sepak Tersohor Negara

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak Panthers United (Panthers United Football Club) dan Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd. atas jemputan dan penganjuran Majlis Pelancaran Buku Jeneral Padang pada malam yang berbahagia ini.

Dengan kehadiran tonggak utama Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang sudi melapangkan masa untuk turut serta dalam majlis ini, ia amat bermakna dan memberikan signifikasi yang cukup besar kepada kita semua.

Yang Dipertua Negeri, serta para jemputan yang dikasihi sekalian,

Pulau Pinang amat bertuah kerana pertubuhan/badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di negeri ini cukup aktif dan sentiasa menyumbang dan memainkan peranan dalam memenuhi keperluan sosial rakyat. Penubuhan ini yang lazimnya tercetus berdasarkan minat, pengalaman, idea dan semangat perjuangan telah membawa kepada keazaman yang tinggi dalam merealisasikan objektif penubuhan.

Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak Panthers United bersama-sama Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd. atas inisiatif dan kolaborasi sehinga berjaya menerbitkan sebuah naskhah yang cukup bermakna ini.

Karangan dan terbitan Buku Jeneral Padang bukan sahaja bakal menjadi koleksi peribadi kepada Lagenda Bola Sepak tersohor negara, Datuk Haji Abdull Shukur Saleh, malah juga mencipta sejarah yang tersendiri kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Buku yang sarat dengan koleksi foto-foto cukup eksklusif ini telah disusun serta digabung dengan cukup baik untuk rujukan dan sumber inspirasi untuk peminat bola sepak khususnya.

Sesungguhnya, saya amat kagum dengan intipati buku ini yang sarat dengan pengkisahan realiti hidup dan jatuh bangun lagenda bola sepak yang suatu ketika dulu telah memberikan sumbangan yang cukup besar kepada pembangunan bola sepak Pulau Pinang dan Malaysia.

Semoga dengan pengkisahan melalui terbitan buku sebegini, ia dapat menjadi peransang dan meniup semangat juang yang tinggi kepada pemain dan pasukan bola Sepak Negeri Pulau Pinang khususnya untuk terus mencipta kejayaan dan seterusnya memartabatkan kehebatan bola sepak negeri dan negara.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kelab Bola Sepak Panthers United (Panthers United Football Club) atas penganjuran majlis ini.

Syabas dan tahniah juga kepada Syarikat Legasi Lagenda (M) Sdn. Bhd. atas penerbitan buku ini, semoga dengan koleksi arkib dan data sukan yang ada, pihak syarikat dapat meneruskan usaha untuk terus merakamkan detik-detik kegemilangan sejarah sukan tanah air.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang