MAJLIS PERASMIAN WISMA TAMILAR KURAL MALAYSIA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN WISMA TAMILAR KURAL MALAYSIA

3 JULAI 2022

TAMAN INDERAWASIH, PERAI

YB Lim Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

ADUN Perai

YB Satees a/l Muniandy

ADUN Bagan Dalam

YB Kamache Doray Rajoo

ADUN Sabai, Pahang

Encik David Marshel

Presiden Tamilar Kural Malaysia

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Tamilar Kural Malaysia atas pembukaan secara rasminya Wisma Tamilar Kural yang terletak di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih, Perai pada petang yang berbahagia ini.

Saya masih ingat setahun yang lepas telah diadakan Majlis Makan Malam bagi mengumpul dana untuk pembelian wisma ini. Dan hari ini, bangunan empat (4) tingkat yang menjadi Ibu Pejabat dan pusat kemasyarakatan ini telah menjadi simbolik kepada pencapaian yang dikecapi hasil usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh seluruh pasukan, terutama Jawatankuasa Tertinggi di bawah kepimpinan Presiden, Saudara David Marshel.

Memasuki tahun ke-6 dengan keahlian melebihi 1,000 orang di cawangan seluruh negara, kemajuan ini dilihat sangat bertepatan dalam memberikan kemudahan operasi dan sedikit keselesaan bagi menampung penambahan keahlian dan keperluan semasa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya Pulau Pinang amat bersyukur kerana kita sentiasa disokong rapat oleh kepelbagaian latar belakang badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi tulang belakang bagi bersama-sama membantu kepimpinan Kerajaan Negeri merealisasikan agenda kebajikan rakyat secara bersama.

Meskipun ada kalanya kita berbeza pendapat, namun dari sudut positifnya ia menjadikan prinsip semak dan imbang (check and balance) ini lebih relevan dipraktikkan terutama ketika tempoh pemulihan negeri untuk kita semua bangkit bersama dalam semangat cintai negeri (LovePenang).

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Tamilar Kural Malaysia di bawah kepimpinan Presiden, Saudara David Marshel atas kejayaan yang dicipta pada hari ini.

Saya berharap ahli-ahli pertubuhan akan memberikan kerjasama dan sokongan yang sepenuhnya kepada pucuk kepimpinan sedia ada untuk terus mengorak langkah kejayaan pada masa-masa akan datang.

Semoga dengan pengoperasian di wisma baru ini akan memberikan kelebihan  kepada Pertubuhan bagi terus menggerakkan platform yang tersedia dengan lebih aktif, bersesuaian dengan konsep pertubuhan yang berlandaskan kebajikan ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang