MAJLIS PECAH TANAH NIBONG TEBAL ARENA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH NIBONG TEBAL ARENA

 

12 JULAI 2022

JALAN BUKIT PANCHOR, MUKIM 7, SPS

 

 

 

YB Soon Lip Chee

Exco Belia dan Sukan

 

YB Jason H’ng Mooi Lye

ADUN Jawi

 

Yang Berusaha Tuan Zul Kahar bin Khamis

Pengarah Eksekutif, Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) yang telah mengatur dengan baiknya Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena pada pagi yang berbahagia ini.

Di atas tanah kerajaan yang merupakan tapak kuarters lama JKR seluas 1.808 ekar ataupun 7316.72 meter persegi, Kerajaan Negeri percaya cadangan bagi membina gelanggang badminton dan dewan serbaguna ini mampu memberi nilai tambah kepada kemajuan pembangunan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terutamanya di KADUN Jawi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana semua sedia maklum, cadangan Projek Pembinaan Nibong Tebal Arena ini merupakan salah satu daripada 68 janji ‘Saya ❤️ Pulau Pinang’ yang terkandung di dalam manifesto Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Dan hari ini kita berpuas hati dengan 90 peratus kemajuan yang telah berjaya dilaksanakan sehingga Mei 2022, dan peratusan ini akan terus meningkat apabila siapnya 12 manifesto yang berada dalam peringkat pelaksanaan di mana salah satunya merupakan Projek Pembinaan Nibong Tebal Arena ini yang dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun depan.

Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM8,781,388.25 di mana ia dilaksanakan melalui proses tender terbuka melibatkan pembinaan komponen-komponen seperti berikut:

  1. Sembilan (9) Gelanggang Badminton/ Satu (1) Dewan Serbaguna
  2. Kemudahan Kerusi “Retractable Seatings”
  • Pejabat Dewan
  1. “Viewing Room”
  2. Ruang Pentas
  3. Kedai
  • Bilik Utiliti Untuk Persediaan Pentas
  • Ruang Kemudahan Penyediaan Dewan Serbaguna
  1. Bilik Persalinan & Tandas Lelaki
  2. Bilik Persalinan & Tandas Perempuan
  3. Tandas Orang Kurang Upaya
  • “Player Lounge” Lelaki & Perempuan
  • Bilik Doping
  • Kemudahan Tempat Letak Kenderaan.

Adalah diharapkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan projek ini berjalan dengan lancar dan menjelang tahun hadapan, kita dapat menyaksikan landskap baharu menghiasi kawasan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Berulang kali saya nyatakan bahawa masa depan Pulau Pinang terletak di kawasan Seberang Perai dan Kerajaan Negeri komited untuk terus berusaha memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan di negeri ini.

Dalam mengimbangi pembangunan yang seimbang di antara bahagian pulau dan Seberang Perai, Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi bersama-sama menyumbang dari segi penyediaan dan penambahbaikan fasiliti dan kemudahan, sekaligus merealisasikan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kerajaan Negeri akan sedaya upaya memastikan bahawa kemudahan di kawasan luar bandar adalah setaraf dengan kemudahan-kemudahan yang terletak di kawasan bandar.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) dan semua yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini.

Semoga dengan siapnya Nibong Tebal Arena ini, kemudahan fasiliti dapat dimanfaatkan secara optimum bukan sahaja untuk aktiviti sukan badminton,  tetapi juga sebagai dewan serbaguna untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan yang merupakan salah satu wacana untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang