MAJLIS PERASMIAN  KEJOHANAN E-SPORT LOVEPENANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

 KEJOHANAN E-SPORT LOVEPENANG

 

27 OGOS 2022

1ST AVENUE PENANG

 

YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan

Merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PYDC

Dr. Gwee Sai Ling

Pengurus Besar

Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)

En. Harry Chai Heng Hua

Pengarah

Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

En. C.C Yeap

Pengurus Besar 1st Avenue Mall

Para Peserta

 

Rakan-rakan Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur Kejohanan E-Sport yang telah memastikan penganjuran yang julung kali diadakan di bawah kempen LovePENANG ini dapat diadakan dengan jayanya.

Sebelum ini, sukan hanya dikenali dengan aktiviti yang banyak melibatkan sentuhan secara fizikal, namun seiring dengan perkembangan arus kemodenan teknologi yang membawa kepada kemunculan pelbagai aplikasi permainan video melalui telefon pintar dan komputer, sukan ini telah mencipta fenomena baharu kepada industri sukan dan mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri.

Seiring dengan perkembangan inilah telah mendorong Kerajaan Negeri untuk tidak melepaskan peluang bagi menganjurkan kejohanan ini. Terima kasih diucapkan kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Howei Events, Pasukan Blackbox dan REF Venture atas kerjasama yang diberikan dalam menganjurkan acara yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan ini.

Sepertimana objektif utama penganjuran, sudah tentu kita mahu mencari pemenangnya, namun jangan dilupa pertandingan di bawah kempen LovePENANG yang diperkenalkan ini merupakan platform yang diperkenalkan untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat di negeri ini pasca pandemik COVID-19.

Selama lebih dua (2) tahun berhadapan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19, kini tiba masanya lembaran baharu dibuka menerusi pendekatan menyeluruh masyarakat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada kejohanan hari ini ini, dua (2) jenis permainan e-sport akan dianjurkan iaitu Mobile Legends Bang Bang dan juga Tekken 7. Kedua-dua permainan ini merupakan satu permainan yang sangat kompetitif dengan hadiah terkumpul sebanyak RM10,000.00. Untuk Mobile Legends Bang Bang hadiah terkumpul sebanyak RM8,500.00 manakala untuk Tekken 7 hadiah terkumpul sebanyak RM1,500.00.

Saya difahamkan bahawa pusingan kelayakan telah pun berlangsung pada 20 Ogos 2022, dan hari ini pusingan akhir akan berlangsung sebentar nanti.

Semoga berjaya dan bersainglah dengan penuh semangat kesukanan. Jadikanlah platform ini sebagai wadah untuk mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang tanpa mengira etnik kaum, agama dan bangsa.

Akhir kata, saya amat berharap melalui penganjuran acara hibrid seperti ini, ia dapat membantu para pemain untuk berhubung dan memahami antara satu sama lain serta mencungkil bakat baru di negeri ini.

Marilah kita bersama-sama mewujudkan negeri Pulau Pinang yang terus berkembang maju dalam transformasi digital yang inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya saing dan progresif, sekaligus sebagai sebuah pusat pembangunan industri e-sport.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang