PELANCARAN MANIFESTO DAN PENGENALAN CALON-CALON PERPADUAN NEGERI PULAU PINANG 2023
TEKS UCAPAN PENGERUSI PAKATAN HARAPAN PULAU PINANG TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PELANCARAN MANIFESTO DAN PENGENALAN CALON-CALON PERPADUAN NEGERI PULAU PINANG 2023
1 OGOS 2023, SELASA | 9 MALAM |
BUTTERWORTH ARENA, BUTTERWORTH
___________________________________
Barisan Ahli Parlimen; YB-YB Senator
Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam Malaysia Madani.
Syukur, kerana pada malam ini kita dapat berkumpul bersama-sama menyaksikan sebuah catatan sejarah penting bagi negeri Pulau Pinang. Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelima belas ini, kita berganding bahu sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan demi memperjuangkan masa depan negeri dan juga negara kita Malaysia yang amat dicintai ini.
Malam ini, ia turut membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbentuk telah meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Apa yang pasti, kita ingin membuktikan bahawa kita tidak pernah dan juga tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada kita.
Kita sedar dan kita yakin bahawa ikatan perpaduan ini bakal memberi segala kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan khasnya menerusi Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang yang bertunjangkan kepada 16 Tema utama dengan keseluruhan 50 Manifesto yang telah dikongsikan sebentar tadi.
Hadirin sekalian,
Cakna Kebajikan Rakyat; Sosioekonomi Rakyat Diperjuangkan; Suntikan Pekerjaan Berkemahiran Tinggi; Syiar Islam Terus Dipertahankan; Kelengkapan Infrastruktur Utama; Penyeimbangan Pembangunan Kawasan Luar Bandar; Percambahan Modal Insan; Perumahan Untuk Semua; Memperkasakan Golongan Wanita dan Belia; Keterjaminan Rantaian Makanan; Pemantapan Sektor Pelancongan dan Perkhidmatan; Inisiatif Penyuraian Trafik; Keharmonian Masyarakat Majmuk; Demokrasi Dipertahankan; Hak Pulau Pinang dan Persekitaran Berdaya Tahan Terhadap Perubahan Iklim.
Tunjang-tunjang ini akan kita perjuangkan demi rakyat Pulau Pinang yang kita kasihi. Kita senantiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan, dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.
Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang merupakan sebuah mandat baru yang bukan hanya menyediakan negeri ini ke arah lonjakan kedua ekonomi baru sejajar dengan landasan Ekonomi Madani yang menyasarkan KDNK negara bercambah sebanyak enam (6) peratus, malah ia juga terus menyediakan serta mempelbagaikan bantuan-bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira usia, latar belakang dan juga organisasi.
Yang pastinya, manifesto ini akan memperkasakan lagi negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih gemilang dengan memastikan rakyatnya terus hidup dalam suasana aman, harmoni berlandaskan kehidupan yang berkualiti.
Saudara, saudari dan rakan-rakan seperjuangan saya sekalian,
Sebagaimana saya tekankan, saya komited untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan sejak tahun 2008. Malah, jika diberi mandat sekali lagi untuk menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri, kerajaan yang dipimpin akan mewakili nilai-nilai perpaduan bukan perpecahan, pembangunan bukan kemunduran, kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta tadbir urus yang baik.
Saya komited melipatgandakan lagi usaha supaya Pulau Pinang semakin maju yang mana rakyatnya dapat menikmati hasil yang melimpah ruah dari bumi bertuah ini sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 yang dicetuskan oleh saya sendiri iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kita telah membuktikan kejayaan menarik lebih daripada RM200 bilion pelaburan pembuatan diluluskan. Dalam pada itu, bagi terus memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang, sekolah-sekolah di negeri ini memperoleh suntikan peruntukan tahunan melebihi RM146 juta. Berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negeri cakna kebajikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama.
Semua pencapaian ini mampu dan telah menjadi kenyataan ekoran kepercayaan serta mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu. Justeru, mempertahankan Pulau Pinang adalah amat penting dalam memastikan visi kita bersama terus terpelihara dan diperjuangkan.
Kita mahukan generasi muda dan anak cucu kita terus berada di negeri yang kita cintai ini dan memastikan pembangunan sosioekonomi di sini terus cemerlang dan unggul dalam membawa harapan negeri ini untuk tempoh lima (5) tahun lagi iaitu:-
> Meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan;
> Menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah;
> Memperkasa rakyat bagi meningkatkan penyertaan awam;
> Melabur dalam persekitaran terbina bagi menambah baik daya pemulihan.
Perinciannya, kita tekad untuk:-
(i) Menjanakan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baru;
(ii) Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau ‘Penang SEED’ bakal menjadi garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima (5) tahun yang mensasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan gagasan Visi Penang2030. Menerusi ‘Penang SEED’ juga, jangkaan trajektori pertumbuhan semasa sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh 2023 hingga 2028. Malah, garis panduan berkaitan turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehinga 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10 bilion pelaburan pembuatan diluluskan dan pasaran pekerjaan dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus pada tempoh sama;
(iii) Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana projek keutamaan adalah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan serta merealisasikan projek ‘Silicon Island’, Penang South Island (PSI);
(iv) Menambah baik aliran trafik serta penyelesaian mobiliti pengangkutan awam dan menuntut peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan lebuh raya bertingkat atau Juru - Sungai Dua Expressway;
(v) Mengatasi isu perubahan iklim dengan projek-projek tebatan banjir, bandar rendah karbon dan kemudahan kenderaan elektrik (EV);
(vi) Melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang di Pulau Pinang; dan
(vii) Memperkasakan rakyat dan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita dan warga emas.
Hadirin sekalian,
Menyingkap perjalanan sebagai sebuah kerajaan sejak tahun 2008, khasnya dalam tempoh lima tahun ini iaitu pada 2018. Banyak yang kita telah berjaya tempuhi. Kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19 yang mana secara peribadinya, saya merasakan ia diibaratkan sebagai suatu cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Syukur, kerana kita mampu bangkit semula sejajar suntikan LovePENANG dalam setiap sanubari rakyat Pulau Pinang dan proses pemulihan pasca pandemik telah berjaya memulihkan pelbagai sektor terjejas yang kini telah meletakkan kembali Pulau Pinang di persada dunia sebagai sebuah negeri yang terus utuh, sebuah pasukan yang teguh, harmoni dan sayangkan perpaduan.
Sebagaimana senarai pencapaian-pencapaian yang tersenarai dan diuar-uarkan, ini semua merupakan kejayaan kita bersama. Kita bangga kerana Kita Penang Kita Boleh! Ayuh, kita lakukan sekali lagi!
Rakan-rakan seperjuangan saya sekalian,
Saya ingin akhiri ucapan saya pada malam ini dengan dua rangkap pantun sebagai renungan bersama.
Bergerak seiringan mencari kedamaian,
Pesan ibu jangan sesekali dilupai.
Pulau Pinang makmur dan aman,
Manifesto Perpaduan rakyat harmoni.
Dayung sampan singgah di kota,
Pegangan hidup jangan beralih,
Pulau Pinang kebanggaan kita,
Kita Penang pastinya Kita Boleh!
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Manifesto Perpaduan dan Pengenalan Calon-calon Perpaduan Pulau Pinang Tahun 2023.
Sekian, terima kasih. KITA PENANG KITA BOLEH!