MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI KADUN MACHANG BUBUK TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI

KADUN MACHANG BUBUK TAHUN 2023

 

18 NOVEMBER 2023 (SABTU)| 3 PETANG

 

GELANGGANG BOLA KERANJANG TAMAN IMPIAN ALMA

__________________________________

YB Daniel Gooi Zi Sen

ADUN Padang Lalang merangkap Exco Belia, Sukan dan Kesihatan

YB Lee Khai Loon

ADUN Machang Bubuk merangkap tuan rumah penganjuran program pada hari ini

YB Heng Lee Lee

ADUN Berapit

YBrs. Encik Ong Jing Cheng

Ahli Majlis MBSP

YBrs. Encik K.Predeeb Kumar

Ahli Majlis MBSP

Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak tuan rumah kerana sudi menjemput saya untuk hadir pada program kali ini. Ini merupakan program rumah terbuka kedua yang saya hadir pada hari ini bersempena sambutan Hari Deepavali, dan saya amat teruja untuk bersama-sama hadirin sekalian pada petang ini.

Hari Deepavali merupakan suatu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu. Saya amat teruja kerana apabila tibanya Pesta Cahaya, saya dapat melihat warna-warni perayaan ini disambut dengan meriah sekali. Sebagai contoh hari ini, majlis sambutan Hari Deepavali di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk memperlihatkan ikatan keharmonian dalam kalangan komuniti di sini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan juga kepercayaan.

Keharmonian kaum adalah aspek yang amat penting dalam pembentukan sesebuah negara yang majmuk serta maju. Dalam memperkukuhkan nilai ini, seseorang pemimpin memainkan peranan yang amat penting bagi menjamin keadilan kepada setiap lapisan masyarakat supaya tiada sebarang isu yang mampu memecah-belahkan keharmonian sedia terjalin.  

Hadirin sekalian,

Saya difahamkan bahawa YB Khai Loon telah menyumbangkan baucar kepada 125 keluarga kurang berkemampuan di KADUN ini untuk digunakan bagi membeli barang-barang keperluan di Pasaraya Wonderful yang terletak di Alma. Serentak itu, sebanyak 100 bakul barangan keperluan yang disumbangkan oleh YAB Perdana Menteri bersempena sambutan Hari Deepavali juga turut diedarkan kepada keluarga layak di sini.

Saya mengakui bahawa keperihatinan yang ditunjukkan oleh ADUN Machang Bubuk iaitu YB Khai Loon bukan hanya terhad pada tempoh perayaan ini, sebaliknya ia turut dilaksanakan menjelang bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina serta perayaan-perayaan lain bagi memastikan setiap penduduk di kawasan ini diketengahkan dan tiada yang dipinggirkan. Inilah salah satu contoh pemimpin yang bertanggungjawab dan adil. Syabas saya ucapkan!

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Menyentuh mengenai aspek kemiskinan, YAB Perdana Menteri pada 11 September lalu telah menyentuh soal usaha Kerajaan Madani untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Walaupun Pulau Pinang telah memperoleh pujian daripada YAB Perdana Menteri sebagai negeri yang mencatatkan jumlah keluarga miskin tegar paling rendah berbanding negeri-negeri lain, saya telah menjadikan ianya sebagai sebuah misi untuk terus berusaha menerusi pelaksanaan di bawah kerangka Visi Penang2030.

Meneliti intipati Manifesto Perpaduan 2023, di samping Kerajaan Negeri berusaha untuk memastikan pelaksanaan projek-projek mega, pembangunan modal insan juga turut diberikan penekanan ke arah memacu Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memasukkan institusi kekeluargaan sebagai salah satu teras dalam visi ini kerana pembangunan modal insan adalah bermula daripada didikan keluarga.

Bagi menjamin pembangunan modal insan ini dapat mencapai tahap yang optimum, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan serta menggalakkan cungkilan bakat anak-anak di dalam negeri ini. Oleh itu, selain bantuan dan penyaluran peruntukan sedia ada, Kerajaan Negeri menerusi pelaksanaan Manifesto Perpaduan 2023 akan berusaha untuk:-

>> Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030;

>> Menyalurkan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS);

>> Mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40;

>> Menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA;

>> Mewujudkan Akademi e-Sports di setiap daerah manakala Gimnasium Rakyat dan Pusat Belia di setiap KADUN.

Dalam pada itu, pelbagai pendekatan juga telah diambil oleh Kerajaan Negeri terutamanya ke arah meningkatkan keselesaan rakyat secara keseluruhan. Sebagai contoh, masalah banjir di sekitar kawasan Machang Bubuk telah diberikan perhatian sewajarnya. Setelah diteliti, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk membina kolam takungan Alma yang mana ia dijangka bakal menampung air hujan serta memperlahankan aliran air ke Parit Enam. Malah, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga telah meluluskan projek-projek tebatan banjir di Taman Machang Bubuk, Taman Sejahtera dan Taman Impian bagi membantu mengurangkan impak banjir di kawasan ini.


Saudara dan saudari sekalian,

Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang, namun saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela di samping memastikan kekukuhan ekonomi di negeri ini. Dalam pada itu, mengambil kesempatan ini, saya menyeru supaya seluruh rakyat Pulau Pinang supaya bersama-sama bergandingan dengan barisan kepimpinan saya untuk terus membawa negeri ini ke arah kecemerlangan.

Sebelum mengakhiri ucapan pada hari ini, sekalung penghargaan diucapkan kepada YB Khai Loon serta pasukannya yang menjayakan penganjuran pada hari ini. Ribuan terima kasih juga di atas kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh Tuan-tuan dan Puan-puan di sini.

Dengan ini, dengan hati tulus ikhlas Selamat Menyambut Hari Deepavali, ‘Deepavali Valthukkal’ daripada saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

DEEPAVALI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang