UCAPAN PENGGULUNGAN  MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS PADA 23 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)

 UCAPAN PENGGULUNGAN

 MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS

PADA 23 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)

 OLEH 

YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW,

KETUA MENTERI PULAU PINANG

MERANGKAP

PENGERUSI JAWATANKUASA MMK

KEWANGAN, PEMBANGUNAN EKONOMI & TANAH DAN KOMUNIKASI

 

 

Selamat Sejahtera dan Salam Penang2030.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Yang Berhormat Ketua Pembangkang,

Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,

Ketua-Ketua Jabatan,

Rakan-Rakan Media, serta

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

PENDAHULUAN

1.     Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul terima kasih atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan ini di Majlis Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas pada 17 November 2023 (Jumaat). Terdapat banyak pandangan bernas dan konstruktif yang diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat bagi membantu Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini.

 

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

 

MANIFESTO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

 

2.      Pembentukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada ketika ini adalah hasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang ke-15 di mana Ahli-ahli Dewan yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) buat pertama kalinya telah bergabung di bawah payung Kerajaan Perpaduan dengan kemenangan majoriti dua pertiga.

3.      Saya yakin dan percaya bahawa hasrat semua Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini adalah untuk memastikan kemajuan negeri dan kemakmuran rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Selaras dengan itu, seluruh jentera Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi akan bekerjasama bagi memastikan pencapaian yang cemerlang di dalam menepati janji-janji Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023.

4.      Pada hari ini, dengan penuh rasa kesyukuran, saya ingin berkongsi pencapaian sehingga bulan Jun 2023 bagi manifesto yang kita telah janjikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -14 tahun 2018. Sebanyak 61 manifesto telah ditepati dengan pencapaian sebanyak 92.4 peratus. Tahniah kepada barisan Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri bagi penggal lepas yang bertukus-lumus dalam menjayakan pencapaian ini. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang sentiasa memberikan kerjasama yang erat dan teguh.

5.      Antara tunjang utama yang menyumbang kepada pencapaian ini adalah berkaitan pelaksanaan projek infrastruktur yang mana Pakej 1 - North Coastal Paired Road iaitu Jalan Berkembar dari Tanjung Bunga ke Teluk Bahang akan diteruskan sebagai usaha penguraian kesesakan lalu lintas pada masa ini. Malah, Pakej 2 iaitu Jalan Pintasan (by-pass) dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam pula dijangka akan siap pada 2025.

6.      Bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang sekian lama kita nanti-nantikan, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Bilion (RM10 bilion) bagi pelaksanaan jajaran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke KOMTAR dan seterusnya ke Seberang Perai. Projek ini dilihat akan memberi impak kepada penguraian kesesakan lalu lintas dan seterusnya menarik minat kepada pelancong serta pelabur ke negeri ini.

7.      Dalam usaha memperbanyakkan lagi penyediaan pusat rekreasi kepada rakyat, ikon terbaharu iaitu Gurney Bay sedang giat dibangunkan. Fasa satu projek ini iaitu melibatkan sebuah taman pesisiran awam dengan ruang hijau terbuka dijangka siap dan dibuka kepada orang awam dalam tempoh terdekat ini.

8.      Selain itu, terdapat usaha dalam memodenkan pengurusan sisa pepejal menerusi Kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Pulau Pinang 2050 yang bakal mengenal pasti, mengkaji, meneroka teknologi kaedah rawatan, meneliti perancangan serta operasi dan seterusnya menyediakan sebuah pelan pengurusan yang holistik. Desentralisasi kuasa kepada Kerajaan Negeri yang sekian lama kita perjuangkan juga telah memperlihatkan hasil melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan pada 24 November 2022. Jawatankuasa khas ini akan mengenal pasti permasalahan spesifik dalam hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, termasuk isu-isu pengagihan sumber agar lebih adil.


 

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

 

VISI PENANG2030

 

9.      Pencapaian cemerlang negeri Pulau Pinang pada hari ini tidak terhasil dengan sendirinya. Pembentukan dasar yang kukuh serta arah tuju yang jelas oleh Kerajaan Negeri adalah berpaksikan kepada Visi Penang2030. Bersandarkan kepada tagline “Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara”, matlamat dan sasaran yang jelas ditetapkan dengan mengambil kira harapan, pandangan dan idea seluruh segmen masyarakat dalam mewujudkan keseimbangan dan kestabilan ekonomi dan sosial serta memartabatkan nilai dan akhlak yang tinggi di kalangan penduduk negeri Pulau Pinang. Di samping itu, ia memastikan perancangan dasar dan pembangunan akan mengambil kira bahagian pulau dan Seberang Perai secara menyeluruh.

10.    Terdapat empat (4) tema yang dinyatakan di dalam Visi Penang2030 iaitu meningkatkan daya huni bagi  menambah baik kualiti kehidupan, menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dan melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan.

11.    Visi Penang2030 telah dilancarkan pada 29 Ogos 2018 dan disusuli dengan buku panduan visi pada 27 April 2019. Setelah lima (5) tahun kita bertungkus-lumus dan berganding bahu, hasil titik peluh bersama ini telah membawa kita ke arah pencapaian sebanyak 47 peratus daripada keseluruhan inisiatif strategik Visi Penang2030 yang mana sebanyak 210 projek dan program telah dijalankan atau dalam pelaksanaan.

12.    Terdapat tiga (3) fokus utama Visi Penang2030 iaitu Inisiatif Setempat, Inisiatif Pembinaan Komuniti dan Inisiatif Penglibatan Industri. Melalui Inisiatif Setempat, usaha setempat dikenal pasti sebagai titik fokus untuk membangunkan negeri Pulau Pinang misalnya melalui usaha mewujudkan Daerah Digital Kreatif (Creative Digital District) di George Town, menaik taraf Padang Kota Lama, membangunkan santuari marin di Middle Bank (Pulau Gazumbo), Gurney Bay dan Penang Bay.

13.    Seterusnya, Inisiatif Pembinaan Komuniti melibatkan usaha memperkasakan penduduk secara keseluruhan termasuk melancarkan Kempen LovePENANG yang menyeru semua rakyat untuk bertindak bersama-sama membina semula dan maju ke hadapan untuk          Pulau Pinang yang lebih gemilang, pasca pandemik COVID-19.

14.    Kerajaan Negeri juga membangunkan komuniti bersama-sama dengan Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC), Penang Green Council (PGC), Digital Penang, Penang Science Cluster, Pusat Aktiviti Warga Emas dan Penang STEM bagi menjalankan program berteraskan pendidikan, sains, teknologi dan digital, kepimpinan belia, alam sekitar serta perubahan iklim.

15.    Manakala, yang terakhir adalah Inisiatif Penglibatan Industri yang memfokuskan pembangunan bakat dan masa depan industri semikonduktor, taman-taman perindustrian dan daerah digital swasta di Pulau Pinang seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

16.    Kerajaan Negeri juga mengguna pakai sistem pemantauan Dashboard Penang2030 untuk memantau prestasi dan pencapaian 210 program dan projek yang telah dirancang. Setiap Inisiatif Strategik di bawah Visi Penang2030 diketuai oleh seorang Champion EXCO dan seorang Champion Officer untuk memastikan setiap program dan projek dapat dilaksanakan.

17.    Sebanyak empat (4) bengkel yang berdasarkan empat (4) tema utama Visi Penang2030 akan diadakan pada awal tahun 2024. Tujuan bengkel ini diadakan untuk mengkaji semula dan menambah baik program, projek mahupun polisi Kerajaan Negeri yang sedang/ akan dilaksanakan bersama barisan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu.

18.    Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Penanti, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penerangan dan penjelasan terhadap Visi Penang2030 secara meluas dan mendalam kerana ia perlu dihayati, diserap dan diterjemahkan dengan jelas kepada setiap lapisan masyarakat dan institusi pentadbiran Kerajaan Negeri. Usaha ini telah dilakukan melalui pelbagai sesi penerangan dan sesi libat urus (engagement). Antaranya termasuk sesi yang melibatkan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Parlimen, Yang Berhormat ADUN, ketua-ketua jabatan/ agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, pihak berkepentingan (stakeholders), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan sebagainya. Sesi-sesi berkenaan telah menjelaskan maklumat dan hala tuju Visi Penang2030 supaya pihak-pihak yang terlibat mendapat gambaran jelas mengenai fungsi dan peranan masing-masing. Terkini, sesi Penang2030 Onboarding telah diadakan mulai 3 hingga 5 November 2023 bersama-sama dengan semua barisan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu.

19.    Usaha-usaha Kerajaan Negeri akan diteruskan lagi dengan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak pada masa hadapan. Selain itu, pameran mengenai Visi Penang2030 sentiasa diadakan di dalam acara-acara rasmi Kerajaan mahupun swasta untuk mewar-warkan mengenai Visi Penang2030. Antaranya termasuklah Pesta Pulau Pinang, Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan, The Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) dan sebagainya.

20.    Pelbagai aktiviti komuniti juga dijalankan oleh Yang Berhormat ADUN di seluruh Pulau Pinang supaya penduduk setempat dapat lebih memahami Visi Penang2030. Kempen LovePENANG merupakan cetusan aspirasi Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menyusun semula pembangunan komuniti pasca pandemik COVID-19. Usaha yang merangkumi program yang memerlukan penyertaan komuniti secara bersasar ini bertujuan membangkitkan semula moral dan semangat dalam kalangan rakyat negeri Pulau Pinang. Kempen LovePENANG ini telah bergerak ke peringkat akar umbi secara progresif dengan sokongan 40 KADUN di Pulau Pinang dan turut menekankan mengenai penerangan berkaitan Visi Penang2030.

21.    Selain itu, saluran media sosial juga aktif membawa berita-berita berkaitan dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030. Aktiviti promosi dan penyebaran maklumat Visi Penang2030 akan lebih aktif pada tahun 2024 melalui pelbagai medium publisiti seperti media sosial, media cetak dan sebagainya.

 

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

KEWANGAN

 

22.    Kerajaan Negeri menyambut baik saranan daripada ADUN Air Itam yang mencadangkan supaya diwujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang seperti mana di Forest City, Johor. Zon Kewangan Khas dilihat sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan dan merancakkan industri pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi sesebuah bandar atau kawasan. Hal ini kerana kos-kos seperti pengurusan, pendidikan, kesihatan, perniagaan adalah lebih berpatutan di kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Kewangan Khas dengan bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, Kerajaan Negeri memerlukan kajian yang lebih komprehensif sebelum memutuskan untuk mewujudkan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang. Sekiranya Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewujudkan zon tersebut, sokongan Kerajaan Persekutuan adalah penting. Ini berikutan, ia akan turut melibatkan pelbagai insentif percukaian.

PEMBANGUNAN EKONOMI

 

23.    Berkaitan dengan soalan tambahan yang dibangkitkan oleh YB Machang Bubuk dan YB Sungai Dua berkenaan isu jualan tanah kepada UMECH Land Sdn. Bhd., penetapan harga rizab kolaborasi antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UMECH Land Sdn. Bhd. telah ditetapkan berdasarkan asas kos tanah, infra dan kerja tanah, overhead, faedah pinjaman, nilaian masa hadapan, perbandingan harga transaksi kawasan sekitar, pandangan juru nilai berlesen dari panel PDC bagi kes bantahan mahkamah di Byram dan tanah dalam keadaan “as is where is basis”.

24.    Kolaborasi di antara PDC dan UMECH Land Sdn. Bhd. tidak ditakrifkan sebagai penetapan harga di bawah nilai pasaran memandangkan segala asas pertimbangan penetapan kadar nilaian bagi tanah tersebut telah mengambil kira asas-asas pertimbangan berdasarkan asas kos tanah, infra dan kerja tanah, overhead, faedah pinjaman, nilaian masa hadapan, perbandingan harga transaksi kawasan sekitar, pandangan juru nilai berlesen dari panel PDC bagi kes bantahan mahkamah di Byram dan tanah dalam keadaan “as is where is basis”. Kadar nilaian bagi tanah tersebut juga telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah PDC di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah PDC Bil. 1/2023 bertarikh 9 Februari 2023.

25.    Sebagai makluman, keputusan penamatan Joint Developement Agreement (JDA) yang ditandatangani antara PDC dan UMECH Land Sdn. Bhd. adalah berdasarkan kepada keputusan Lembaga Pengarah PDC yang tidak dapat menerima tindakan UMECH Land Sdn. Bhd. yang membenarkan perubahan pegangan saham utama dalam syarikat tersebut dengan penglibatan Sunway sebagai pemegang 70% saham beberapa hari sebelum JDA ditandatangani tanpa pemakluman dan persetujuan bertulis daripada PDC.

26.    Memandangkan sumber tanah negeri Pulau Pinang semakin terhad, Kerajaan Negeri melalui PDC telah membangunkan beberapa strategi untuk memastikan kesinambungan kelestarian pembangunan ekonomi selain penambakan laut, iaitu pengambilan tanah bagi mewujudkan koridor pembangunan baru serta projek pembangunan semula bandar yang memberi fokus kepada perumahan lama yang mempunyai isu pengurusan. Selain itu, PDC juga menumpukan kepada pembangunan kawasan bandar terutamanya bangunan-bangunan komersial lama yang telah dibangunkan/ dimiliki oleh PDC serta pembangunan yang tidak melibatkan penjualan tanah (pembangunan industri) tetapi melalui pajakan tanah bagi tempoh tertentu dalam memastikan pembangunan masa hadapan dapat diteruskan dan dinamik.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

  1. Bagi memastikan Pulau Pinang kekal menjadi hab pelaburan tempatan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri melalui InvestPenang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaburan di negeri Pulau Pinang. Untuk menjawab kepada pertanyaan YB Batu Uban, salah satu program yang dilaksanakan adalah Hand Holding Programme. Pelabur baharu yang ingin beroperasi di Pulau Pinang akan diberikan khidmat nasihat, sokongan dan fasilitasi untuk memudahkan penubuhan syarikat perniagaan, mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan, membina/ menyewa bangunan kilang yang baharu dan memulakan operasi pengilangan. Ini adalah untuk memastikan ease of doing business, dengan izin di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding dengan negara-negara yang lain seperti Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia dan sebagainya.
  1. Selain itu, InvestPenang telah bekerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Kumpulan Fokus GBS Pulau Pinang dengan menubuhkan Penang GBS Industry Academy (PGIA) pada tahun 2022 bagi memperkasakan industri perkhidmatan dan ekonomi digital. Akademi ini menawarkan peluang peningkatan kemahiran dan latihan bagi memberi nilai tambah serta melengkapkan peserta dengan kemahiran berasaskan teknologi terkini yang amat diperlukan khususnya dalam bidang sains data, pembangunan perisian, keselamatan siber dan sebagainya. Ini secara tidak langsung dapat membantu Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai bakat baharu pada masa hadapan dan meningkatkan tahap kebolehpasaran individu di negeri ini.

29.     Terdapat pelbagai perancangan Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelabur dan mengekalkan syarikat yang telah melabur di Pulau Pinang. Antaranya adalah membangunkan taman-taman perindustrian baharu bertaraf antarabangsa melalui PDC. Pembangunan taman-taman perindustrian baharu seperti Taman Teknologi Bandar Cassia (Bandar Cassia Technology Park), Batu Kawan Timur (East Batu Kawan) dan Taman Sains Pulau Pinang Selatan (Penang Science Park South) sedang giat dirancang dan dibangunkan. Taman-taman perindustrian baharu ini akan meningkatkan jumlah kawasan perindustrian melebihi 800 ekar bagi menampung jumlah permintaan tanah perindustrian yang tinggi oleh pelabur asing dan tempatan. Para pelabur baharu boleh memulakan projek pembinaan kilang mereka di Taman Teknologi Bandar Cassia seawal suku ketiga tahun 2023.

30.    Selain daripada memfokuskan kepada industri elektrik dan elektronik sedia ada, Kerajaan Negeri akan memberikan fokus untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab teknologi perubatan (medical technology), membangunkan rantaian bekalan (supply chain) untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan (front-end manufacturing equipment) dan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga membantu dan menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan terlibat dalam rantaian nilai global untuk menggerakkan rantaian nilai (move up the value chain) serta memantapkan ekosistem sedia ada.

31.    Berdasarkan status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri perindustrian berteknologi tinggi, maka Pulau Pinang memerlukan lebih ramai bakat teknikal yang terlatih untuk menyokong industri sedia ada dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) baharu. Bagi memenuhi permintaan ini, Kerajaan Negeri melalui Pusat STEM seperti Penang Science Cluster telah melancarkan Program Girls in Engineering & Technology (GET) untuk menggalakkan pelajar perempuan sekolah menengah atas untuk menceburi pengajian dan kerjaya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. Setiap tahun, seramai 150 hingga 200 orang pelajar perempuan dari Pulau Pinang mengambil bahagian dalam program selama sembilan (9) bulan yang disokong oleh 15 buah syarikat yang menaja program dan menyediakan profesional wanita sebagai mentor. Selain itu, program-program pra-GET telah dilancarkan untuk menyokong Program GET ini, misalnya program Girls in STEM untuk pelajar sekolah menengah rendah dan Girls in STEM Jr. untuk pelajar sekolah rendah. Seramai 500 orang pelajar sekolah menengah rendah dan 500 orang pelajar sekolah rendah telah mengambil bahagian dalam program-program ini setiap tahun.

32.    Selain itu, Kerajaan Negeri juga memupuk program penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi dan inovasi terutamanya yang berkaitan dengan aspek pendigitalan kerana langkah ini mampu mengubah struktur perindustrian bernilai tinggi, mapan dan memberi manfaat kepada peningkatan pekerjaan mahir serta berpendapatan tinggi.

33.    Kerajaan Negeri telah meletakkan komitmen yang teguh terhadap evolusi infrastruktur dalam membentuk landskap pelaburan yang kondusif. Sehingga kini, 11 buah fasiliti pejabat dan prasarana telah dibina untuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri ekonomi digital. Antaranya ialah GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) dan beberapa projek swasta seperti One Precinct, Livingston Tower dan sebagainya. Selain itu, PDC juga sedang dalam pembinaan dua (2) bangunan pejabat iaitu GBS By The Sea dan GBS Tech Space yang terletak di Bayan Lepas yang mana kedua-dua bangunan pejabat ini bakal menyediakan luas lantai sebanyak 360,000 kaki persegi, dilengkapi lebih daripada 800 plot parkir kereta bertingkat. Fasiliti ini dijangka siap pada penghujung tahun 2024 yang mana akan membuka tambahan lebih kurang 2,000 sehingga 3,000 peluang pekerjaan baharu.

34.    Salah satu elemen penting dalam menarik minat pelabur baharu dan mengekalkan pelabur sedia ada adalah sistem pengangkutan yang holistik. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri terus komited untuk memperkasakan pengangkutan awam dengan meneruskan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang  (Penang Transport Master Plan, PTMP).

35.    Melalui pelaksanaan Projek Penang South Reclamation (PSR) yang kini dikenali sebagai Penang South Islands (PSI), dijangkakan pelaburan dalam bidang baharu akan meningkat dan dapat merealisasikan impian untuk rakyat hidup di dalam persekitaran yang bersih, hijau dan selamat. Peluang pekerjaan baharu juga akan terbuka luas untuk rakyat. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mempertingkatkan mutu hidup komuniti nelayan melalui projek ini. Pelbagai faedah dan bantuan sedang diberikan kepada komuniti di sekitar selatan Pulau Pinang terutama komuniti nelayan termasuk peluang menceburi bidang-bidang ekonomi yang baharu seperti akuakultur, perikanan laut dalam, perikanan rekreasi dan lain-lain lagi.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

PEMBANGUNAN TANAH

36.    Kerajaan Negeri menyambut baik syor yang dibangkitkan oleh YB. Teluk Air Tawar berkaitan pemberian geran tanah kepada penduduk Kampung Tersusun di Telok Ayer Tawar. Namun, berdasarkan kepada semakan semula Pejabat Tanah dan Daerah, Seberang Perai Utara mendapati bahawa pertanyaan merujuk kepada Kampung Contoh di Telok Ayer Tawar yang terletak di Mukim 9, Seberang Perai Utara. Lot-lot tanah di kawasan tersebut adalah tanah milik dengan tempoh pegangan selama 60 tahun. Kebanyakan hak milik tersebut akan tamat pada tahun 2048.

37.    Memandangkan isu yang dibangkitkan adalah geran tanah, isu ini tidak berbangkit memandangkan penduduk-penduduk di kawasan ini telah mempunyai hak milik tanah. Sekiranya terdapat penduduk yang masih belum menerima hak milik tanah atau pemilik tanah ingin melanjutkan tempoh pegangan, permohonan boleh dikemukakan kepada Pentadbir Tanah SPU untuk dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

38.    Berdasarkan kepada soalan YB Kebun Bunga berkaitan perancangan Kerajaan Negeri terhadap tanah Kelab Lumba Kuda yang akan tamat pengoperasiannya. Dari segi permohonan tanah, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 11 November 2021 telah meluluskan permohonan penyerahan balik dan pemberian semula tanah di bawah Seksyen 204D, Kanun Tanah Negara bagi Lot 28, 403 dan 728, Seksyen 2, Bandar George Town, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang daripada Penang Turf Club (“pemohon”) bagi tujuan pembangunan bercampur. Berdasarkan kelulusan ini, tapak yang digunakan sebagai padang lumba kuda dan golf dikekalkan penggunaan seperti sedia ada. Lanjutan daripada kelulusan tersebut, pemohon kemudiannya telah mengemukakan permohonan pindaan syarat nyata bagi tapak “Padang Lumba Kuda dan Golf sahaja” kepada “Perniagaan sahaja” dan permohonan ini telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 27 September 2023. Manakala berkaitan penamatan operasi Kelab Lumba Kuda, tiada maklumat berkenaan perkara ini memandangkan tanah yang terlibat adalah tanah milik dan terpulang kepada pemilik tanah bagi menentukan perancangan bagi tanah tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memastikan sebarang cadangan pembangunan masa hadapan di Penang Turf Club mematuhi garis panduan semasa untuk mengurangkan impak kepada penduduk sekitar.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

KESELAMATAN

39.    Rentetan daripada insiden-insiden bencana alam luar biasa dalam negeri khususnya banjir yang telah mengakibatkan kerosakan harta benda, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Unit Pengurusan Bencana (UPB), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan 10 perjawatan pada 23 Februari 2022. Penubuhan ini adalah usaha untuk mewujudkan medium yang boleh menggembleng kerjasama semua pihak bagi menguruskan isu berkaitan perancangan, kesediaan, kesiapsiagaan dan pemulihan dalam bencana.

40.    Menjawab kepada permohonan YB Machang Bubuk supaya Unit Pengurusan Bencana berusaha mengurus dan menyelaras segala aktiviti berkaitan bencana, UPB telah berjaya melaksanakan beberapa pencapaian yang signifikan. Antaranya penubuhan Pusat Logistik Kemanusian Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre) dengan anggaran kos RM6,500,000.00 di Bukit D.O., Seberang Perai Tengah. Projek ini mengambil masa tiga (3) tahun ini bermula 2023 sehingga 2025. Pusat Logistik ini penting kerana pada masa kini Pulau Pinang tidak mempunyai Pusat Logistik yang khas bagi menyimpan barang-barang keperluan dan barang sumbangan dan Kerajaan hanya bergantung sepenuhnya kepada Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Bedong, Kedah di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dengan itu, pada tahun 2025 ini, Negeri Pulau Pinang akan memiliki satu Pusat Logistik keperluan bencana sendiri yang dapat menyimpan bantuan kebajikan dan sumbangan yang diterima oleh Kerajaan Negeri. Pusat Logistik ini juga turut diselia oleh pihak JKM.

  1. Di samping itu, Unit Pengurusan Bencana juga telah melantik Focal Person Bencana yang akan menjadi penghubung kepada Jabatan dan Agensi kepada Kerajaan Negeri dalam pemakluman yang pantas dan pengurusan yang cekap. Unit Pengurusan Bencana berperanan dalam memastikan koordinasi yang sistematik di antara Focal Person yang dilantik seterusnya dapat mengelakkan kecelaruan informasi. Malah, beberapa siri Bengkel Pengurusan Bencana Bersama Focal Person telah berjaya diadakan bagi memastikan pendedahan terhadap skop tugas setiap Jabatan dan Agensi ketika bencana sentiasa berterusan.
  1. Di samping itu, pada 21 Mac 2023, Latihan Simulasi Bencana Udara peringkat Negeri Pulau Pinang juga turut berjaya dianjurkan. Latihan Simulasi melibatkan kerjasama daripada pelbagai Jabatan dan Agensi telah diselaraskan di bawah pentadbiran Unit Pengurusan Bencana yang mana latihan ini merupakan Latihan Simulasi pertama yang diadakan di Lapangan Terbang yang melibatkan semua Pejabat Daerah. Latihan Simulasi ini penting kerana dengan ini, kita dapat membuat persiapan awal bagi melatih jabatan/ agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di samping meningkatkan penyelarasan dalam memastikan tahap respons yang berkesan. Unit Pengurusan Bencana juga telah mengadakan beberapa bengkel, sesi libat urus dan mesyuarat yang melibatkan aspek kewangan, pemilikan sistem-sistem pengurusan bencana serta pengurusan aset dan operasi bencana bagi mewujudkan sebuah pengurusan bencana peringkat negeri Pulau Pinang secara holistik dan menyeluruh.
  1. Bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar, sebuah Bilik Pemantauan Pengurusan Bencana telah diwujudkan pada 31 Oktober 2023 bagi memastikan penyelarasan, pemantauan dan pengumpulan data dilaksanakan secara teratur dan terkawal dengan menggunakan Sistem Alert dan Geobencana. Unit Pengurusan Bencana berhasrat untuk menjadikan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah diperkasakan dengan melaksanakan beberapa kaedah dan mekanisme yang lebih baik secara holistik di samping memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan bagi tiga golongan sasaran, iaitu agensi kerajaan, komuniti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang membantu.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

PENGURUSAN AIR  

 

44.    Berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh YB Machang Bubuk, YB Seberang Jaya dan YB Sungai Dua berkaitan air terawat dan rundingan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, perbincangan dan rundingan antara Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah diadakan pada 9 November 2023. Antara fokus perbincangan tersebut adalah mendapatkan persetujuan dasar dan membina persefahaman bagi pembelian air terawat dari negeri Perak. Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju secara prinsip untuk menjual air terawat kepada Negeri Pulau Pinang. Perbincangan dan susulan lanjut perlu diadakan bersama dengan negeri Perak bagi membincangkan secara terperinci berkaitan dengan kos pembelian air terawat tersebut kerana perkara ini perlu diteliti secara teknikal. Walau bagaimanapun, harapan kedua-dua negeri sudah semestinya untuk memastikan pelaksanaan projek ini dapat dimulakan dengan kadar segera dan Kerajaan Persekutuan perlu memberi keutamaan dalam meluluskan peruntukan supaya projek ini dapat dimulakan dengan segera demi kepentingan kedua-dua negeri bagi memastikan manfaat dalam penyelesaian jangka masa panjang untuk memenuhi permintaan air sehingga tahun 2050 tercapai, termasuk di bahagian utara negeri Perak.

45.    Projek ini memerlukan pembinaan infrastruktur yang sangat kompleks di mana melibatkan pembinaan terowong penyaluran air mentah, kerja-kerja pembinaan rangkaian paip air mentah dan pembinaan loji rawatan air yang baharu. Pembinaan ini memerlukan penyiapan kemudahan infrastruktur di sebelah negeri Perak terlebih dahulu bagi membolehkan penyaluran air terawat dapat disalurkan ke Pulau Pinang. Pulau Pinang seterusnya akan menyediakan kolam takungan untuk simpanan air dan sistem perpaipan retikulasi bekalan air untuk dibekalkan terus kepada pengguna yang terlibat.

46.    Sehubungan dengan itu, tempoh pembinaan ini akan mengambil masa yang panjang dan tertakluk kepada peruntukan.  Kedua-dua negeri amat memandang serius supaya pembinaan ini dapat dimulakan dengan segera dan Kerajaan Persekutuan perlu memberi keutamaan memberi kelulusan peruntukan dana supaya projek ini dapat dimulakan.

47.    Kerajaan Negeri melalui PBAPP juga sentiasa meneroka untuk melihat sumber-sumber baharu yang berpotensi untuk dijadikan sumber bekalan air bagi Negeri Pulau Pinang termasuk menggunakan air laut (desalination) dan kitar semula air sisa untuk kegunaan bukan domestik. Walau bagaimanapun, Kajian Kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan-keperluan teknikal dari segi kualiti dan kuantiti sumber serta kos rawatan tersebut.

48.    Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada YB Air Putih kerana membangkitkan isu penting berkenaan kelestarian bekalan air untuk        Pulau Pinang menjelang 2030 dan seterusnya sehingga 2050.

49.    Walau bagaimanapun, saya ingin membuat beberapa penjelasan penting dalam isu bekalan air di Pulau Pinang. Untuk makluman, gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang pada Julai 2022, Mei 2023 dan September 2023 adalah disebabkan oleh bencana di Sungai Muda, Kedah dan bukannya di kawasan Pulau Pinang. Kejadian ini membawa kepada isu abstraksi air mentah dari Sungai Muda di mana sumber air mentah utama Pulau Pinang terjejas. Oleh itu, bekalan air untuk kira-kira 465,000 pengguna di Pulau Pinang terjejas apabila PBAPP tidak dapat mengambil air mentah yang mencukupi daripada Sungai Muda.

50.    Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) ialah “empangan kemarau strategik” yang dibina pada 1985 dan ia telah diperbesar di bawah Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) dengan kapasiti maksimum penyimpanan air mentah sebanyak 86.4 bilion liter air pada tahun 2020. Peranan utamanya adalah untuk mengurangkan risiko kekurangan air mentah di Pulau Pinang, khususnya semasa musim kemarau yang berpanjangan. Dimaklumkan juga bahawa Empangan Mengkuang tidak dibina atau diperbesarkan untuk berfungsi sebagai “empangan harian” sepertimana Empangan Air Itam atau Empangan Teluk Bahang. Empangan Mengkuang juga tidak boleh melepaskan 1,200 juta liter air mentah sehari (JLH) ke Loji Sungai Dua apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air dengan selamat dari Sungai Muda.

 

51.    Sumber air mentah harian utama untuk LRA Sungai Dua adalah Sungai Muda iaitu sungai yang mengalir melalui negeri Kedah dan Pulau Pinang. Oleh itu, aset air mentah “berisiko tinggi” di Pulau Pinang adalah Sungai Muda (sungai), dan bukannya Empangan Mengkuang (empangan).

  1. Sebagai langkah respons kecemasan, PBAPP memanfaatkan rizab Empangan Mengkuang ketika tiga (3) insiden Sungai Muda yang lalu untuk meminimumkan impak negatif terhadap pengguna air di Pulau Pinang. Kapasiti pelepasan maksimum semasa Empangan Mengkuang ialah 300 juta liter sehari manakala LRA Sungai Dua memerlukan 1,200 juta liter sehari untuk memenuhi keperluan air terawat kepada kira-kira 465,000 pengguna. Menjelang Januari 2024, kapasiti pelepasan maksimum Empangan Mengkuang akan ditingkatkan kepada 600 juta liter sehari apabila Kerajaan Persekutuan menyerahkan Fasa 2B - Projek Pembesaran Empangan Mengkuang. Walau bagaimanapun, pelepasan ini masih kekurangan 600 juta liter sehari berbanding 1,200 juta liter sehari yang diperlukan di LRA Sungai Dua.
  1. Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa Empangan Mengkuang tidak dirancang untuk berfungsi bagi menggantikan Sungai Muda sebagai sumber air mentah utama untuk LRA Sungai Dua dan fungsi utamanya adalah sebagai empangan “rizab kemarau strategik”. Empangan Mengkuang mungkin menjadi sumber air mentah “sokongan kecemasan” untuk Sungai Muda selama beberapa hari apabila kapasiti pelepasan maksimumnya ditingkatkan semula kepada 1,200 juta liter sehari. PBAPP merancang untuk memanfaatkan sebahagian daripada rizab Empangan Mengkuang setiap hari untuk menghasilkan 114 juta liter sehari air terawat di LRA baharu berhampiran di Empangan Mengkuang. Walau bagaimanapun, PBAPP tidak boleh merancang untuk melepaskan 1,200 juta liter sehari setiap hari bagi memenuhi keperluan rizab Empangan Mengkuang terutama apabila menghadapi musim kemarau.
  1. Projek Pembesaran Empangan Mengkuang ialah projek yang dibiayai oleh Geran Persekutuan sebanyak RM1.2 bilion yang diumumkan pada tahun 2011. Sehingga November 2023, terdapat tiga (3) fasa yang masih belum selesai iaitu Fasa 2B yang merangkumi pemasangan saluran paip untuk menaik taraf kapasiti pelepasan kepada 1,200 juta liter sehari yang masih menunggu penyerahan oleh Kerajaan Persekutuan, Fasa 2C iaitu pembinaan rumah pam 440 juta liter sehari baharu di Sungai Muda untuk membolehkan pengisian semula Empangan Mengkuang yang efisien semasa musim hujan dan Fasa Baraj Sungai Muda Baharu untuk menyokong pengabstrakan tambahan air mentah dari sungai semasa musim hujan untuk mengisi semula Empangan Mengkuang. Penyelesaian sepenuhnya semua fasa Projek Pembesaran Empangan Mengkuang adalah sangat penting bagi memastikan pelepasan maksimum 600 juta liter sehari semasa musim kemarau dan pengisian semula empangan dengan efektif semasa musim hujan. Selepas selesai Fasa 2B, PBAPP memerlukan Fasa 2C dan pembinaan baraj untuk meningkatkan lagi kapasiti pelepasan kepada 1,200 JLH. Hanya dengan itu, Empangan Mengkuang boleh berfungsi sebagai “sumber sokongan” yang efektif untuk mengelak insiden-insiden Sungai Muda memberi kesan kepada pengguna.
  1. Sejak tahun 2018, Kerajaan Negeri dan PBAPP telah berulang kali memohon agar Projek Pembesaran Empangan Mengkuang disiapkan sepenuhnya melalui semua saluran rasmi iaitu semasa persidangan parlimen, mesyuarat kementerian dan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memandangkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang adalah projek Persekutuan. Pihak PBAPP telah mengeluarkan sejumlah 12 siaran akhbar mengenai Empangan Mengkuang dan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang dalam tempoh dari 2018 sehingga 2023. Siaran akhbar ini telah menghasilkan lebih daripada 120 laporan berita dalam talian dan cetak. Sehubungan dengan itu, saya berharap lebih ramai ahli parlimen Pulau Pinang akan lebih aktif dan lebih lantang dalam membantu Kerajaan Negeri mendesak untuk menyiapkan sepenuhnya Projek Pembesaran Empangan Mengkuang secepat mungkin.
  1. Penyiapan sepenuhnya Projek Pembesaran Empangan Mengkuang adalah penting untuk mengurangkan ancaman berganda iaitu musim kemarau yang berpanjangan serta insiden Sungai Muda pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, Empangan Mengkuang dan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang bukan penyelesaian jangka panjang untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang yang semakin meningkat berdasarkan unjuran masa hadapan. Penyelesaian jangka panjang yang rasional untuk Pulau Pinang ialah Projek Air Perak - Pulau Pinang dan inisiatif strategik seperti kitar semula air sisa dan penyahgaraman. Projek Air Perak - Pulau Pinang seharusnya menangani permintaan air di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT). Ini akan membolehkan PBAPP mengalihkan semula lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang melalui tiga (3) set saluran paip dasar laut berkembar. Kitar semula air sisa dan penyahgaraman boleh digunakan di kawasan strategik untuk mengekalkan 100 peratus liputan bekalan bandar dan 99.8 peratus liputan bekalan luar bandar di bahagian pulau pada masa hadapan.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP sedang berusaha keras untuk mengurangkan risiko pengurusan air Pulau Pinang dalam jangka masa sederhana dan panjang. Malah, dua (2) daripada lapan (8) projek WCP 2030 dijadualkan untuk pengoperasian pada awal 2024. Perancangan untuk enam (6) projek WCP 2030 juga sedang dijalankan. Kita perlu memastikan bahawa semua projek WCP 2030 dilaksanakan mengikut konsep “Cekap, Akauntabiliti dan Telus”. PBAPP juga perlu mendapatkan pembiayaan yang mencukupi dan memastikan semua projek WCP 2030 dibina dan berfungsi cekap selama 50 tahun atau lebih, sama seperti Empangan Air Itam yang berusia 60 tahun.
  1. Peratusan Non-Revenue Water (NRW) Pulau Pinang ialah sebanyak 26.3% pada 2022 dan kedudukan ini adalah lebih rendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia pada 2020, seperti yang dinyatakan dalam Malaysian Water Industry Guide 2022. Peratusan NRW tertinggi yang dilaporkan oleh sesebuah negeri ialah sebanyak 64.9 peratus dan purata kebangsaan ialah sebanyak 36.4 peratus. Dimaklumkan bahawa pada tahun 2022, terdapat dua (2) gangguan bekalan air utama di seluruh negeri yang menyebabkan peratusan NRW Pulau Pinang meningkat pada Julai dan Disember 2022. Gangguan bekalan air tidak berjadual ini adalah disebabkan oleh insiden air banjir lumpur dari Baling, Kedah dan gangguan bekalan air berjadual akibat kerja-kerja pembaikan penting di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
  1. Punca utama NRW di Pulau Pinang iaitu saluran paip bocor dan pecah. Di bawah jalan raya Pulau Pinang, terdapat sepanjang 1,200 kilometer paip air simen asbestos (AC) dengan jangka hayat melebihi 30 tahun. Paip AC yang sudah usang ini perlu diganti yang mana unjuran kos adalah sebanyak RM2.2 billion dengan anggaran kos purata RM1.834 juta bagi setiap kilometer. PBAPP tidak mampu untuk melabur sebanyak RM2.2 bilion serta-merta demi menurunkan peratusan NRW Pulau Pinang namun penggantian paip AC ini akan dijalankan secara berperingkat. Pada 2024, PBAPP akan melabur sebanyak RM250 juta untuk menggantikan kira-kira 138 kilometer saluran paip AC yang sudah usang.

PENUTUP

  1. Dengan berbekalkan hasrat yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha untuk mencapai perkara-perkara seperti berikut:
  1. Mencapai 100% janji yang telah diberikan dalam Manifesto;
  1. Mempercepat pencapaian Visi Penang2030;
  1. Memberikan fokus untuk pembangunan ekonomi, mempromosikan Pulau Pinang sebagai tempat pilihan pelabur baharu dan mengekalkan pelabur sedia ada;
  1. Mentadbir negeri Pulau Pinang dengan Good Governance, dengan izin atas prinsip Cekap, Akauntibiliti dan Telus (CAT); dan
  1. Memastikan serta menjaga kebajikan rakyat negeri Pulau Pinang.
  1. Satu perkara penting yang dilafazkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas adalah perpaduan yang menyatupadukan masyarakat Malaysia berbilang kaum, agama dan keturunan. Segala kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri akan menjadi tidak bermakna sekiranya perpaduan yang kita kekalkan selama ini tergugat. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengekalkan perpaduan masyarakat agar keharmonian dapat dinikmati dan diwariskan kepada generasi akan datang. Selain itu, sokongan yang padu dari Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut ditagih agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada barisan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang yang selama ini telah memberikan komitmen yang amat tinggi dalam merealisasikan misi mencapai sasaran di bawah empat (4) Tema dan enam belas (16) Inisiatif Strategik - Visi Penang2030. Sesungguhnya, visi ini akan dijadikan sebagai pegangan dan hala tuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Saya mohon menyokong.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang