UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2024 NEGERI PULAU PINANG   OLEH   YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG   KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2024 DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PADA 24 NOVEMBER 2023, JUMAAT

UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2024

NEGERI PULAU PINANG

 

OLEH

 

YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

 

KETIKA MEMBENTANGKAN

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN

DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2024

DI DEWAN UNDANGAN NEGERI

PADA 24 NOVEMBER 2023, JUMAAT

 

 

 

 

Dato’ Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang tersebut untuk tahun 2024” dibaca bagi kali kedua sekarang.

MUKADIMAH

  1. Saya berasa bersyukur atas peluang yang diberikan untuk terus memimpin negeri tercinta ini, dan sekali lagi membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang di Dewan yang mulia pada hari ini. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kepercayaan melantik saya semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selaras dengan Perkara 7 (2) (a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama barisan kepimpinan baharu selepas Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang Ke-15.
  1. Sesungguhnya, amanat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada pentadbiran ini sejak tahun 2008 akan terus dipikul dengan penuh tanggungjawab beraspirasikan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara - demi kemakmuran bersama.

PERIHAL EKONOMI NEGERI

Dato’ Speaker,

  1. Pada tahun 2022, KDNK Negeri Pulau Pinang bukan sahaja berkembang melebihi pertumbuhan KDNK nasional, malah mengatasi KDNK negeri-negeri lain dalam negara. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA melaporkan Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion. Seperti lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang tertinggi dan mencatatkan peningkatan bagi tahun 2022 pada kadar 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 12.4 peratus.

                                                  

  1. Jumlah pelaburan ini didorong oleh pertumbuhan positif industri elektronik dan elektrik (E&E), jentera dan peralatan (M&E), saintifik dan perubatan serta peralatan industri yang menyumbang sebanyak 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk negeri ini untuk tahun 2022 atau bersamaan 27 peratus daripada pelaburan Malaysia bagi sektor-sektor tersebut. Pulau Pinang terus berada pada landasan yang kukuh apabila berjaya menarik kemasukan pelaburan baharu berimpak tinggi sepanjang tahun lalu di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
  1. Sektor perkhidmatan merekodkan peningkatan sebanyak RM5.3 bilion dengan jumlah RM52.4 bilion berbanding tahun 2021 sebanyak RM47.1 bilion, sekaligus mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 11.3 peratus. Faktor-faktor yang mendorong perkembangan positif sektor ini adalah lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan serta utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi. Seterusnya, aktiviti pelancongan turut memberikan sumbangan terbesar kepada sektor perkhidmatan apabila jumlah penumpang antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) meningkat seramai 629,476 orang pada tahun 2022 yang mana kebanyakan pelancong adalah dari negara Asia Tenggara. Jumlah tetamu hotel daripada pelancong asing pada tahun ini turut melonjak kepada seramai 5.58 juta orang berbanding 1.32 juta orang pada tahun 2021.
  1. Sektor pembinaan juga meningkat pada kadar 7.9 peratus (2021: 12.9 peratus) dengan nilai ditambah berjumlah RM2.7 bilion (2021: RM2.5 bilion). Prestasi ini dipengaruhi oleh pertumbuhan nilai kerja binaan dalam subsektor pembinaan bangunan. Kerajaan Negeri juga telah menerima kelulusan peruntukan dana daripada Bank Dunia untuk melaksanakan projek seperti Urban Greening bagi pembinaan pocket park. Dana tersebut juga digunakan untuk projek Storm Management bagi pembinaan blue-green corridors, upstream retention ponds dan infiltration wells.
  1. Seterusnya, prestasi sektor pertanian bertumbuh 3.4 peratus (2021: -2.3 peratus) dengan nilai ditambah RM2.1 bilion (2021: 2.0 bilion). Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam pengeluaran subsektor perikanan, terutamanya dalam aktiviti akuakultur. Bagi memastikan sektor ini kekal berdaya tahan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dikelolakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah. Dalam pada itu, sejumlah RM6.3 juta telah diperuntukan bagi tujuan membangunkan serta menaik taraf teknologi pertanian di Pulau Pinang melibatkan pelbagai projek.
  1. Sektor perlombongan dan pengkuarian di Pulau Pinang memulih 7.9 peratus (2021: - 6.6 peratus) dengan nilai ditambah RM140.2 juta berbanding RM130.0 juta pada tahun 2021. Sektor ini menyumbang 0.1 peratus kepada KDNK Pulau Pinang. Prestasi tersebut didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pengkuarian granit dan pemecahan batu. Selain itu, aktiviti pengkuarian pasir dan batu kapur juga menyumbang kepada prestasi keseluruhan sektor ini.
  1. Dari segi perdagangan antarabangsa, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia. Sehingga September 2023, Pulau Pinang menyumbang 34.6 peratus daripada jumlah eksport negara dengan PIA menjadi saluran eksport terbesar di Malaysia.
  1. Di samping itu, nisbah perdagangan kepada KDNK Pulau Pinang turut berkembang, menunjukkan keterbukaan negeri kepada perdagangan antarabangsa dan mendapat manfaat daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat dan Republik China. Dari segi produk, jentera dan kelengkapan pengangkutan adalah antara produk pengeksport teratas. Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh industri sederhana dan berteknologi tinggi seperti automasi, aeroangkasa serta perkhidmatan pembuatan elektronik.

STRATEGI KERAJAAN NEGERI

Dato’ Speaker,

  1. Secara inklusif, Visi Penang2030 sudah lima (5) tahun dilancarkan dan kini mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus, yang mana telah merekodkan kejayaan pelaksanaan sebanyak 210 projek dan program sepanjang tempoh tersebut. Malah, selain memperjuangkan tadbir urus berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur dan pembentukan rantaian ekosistem yang sempurna, negeri ini terus memfokuskan kepada bidang teknologi pendigitalan dan inisiatif smart city yang berlandaskan kepada pembangunan modal insan dalam menjadikan negeri ini terus cemerlang dan gemilang dari segenap sudut.
  1. Kerajaan Negeri kini bersedia dan sedang berusaha memperkasakan pembangunan serta pencapaian negeri Pulau Pinang menerusi lapan (8) bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian untuk tempoh lima (5) tahun akan datang. Antaranya adalah seperti:
  2. peluang pekerjaan;
  3. pembangunan jaringan ekosistem;
  • ketersambungan jaringan pengangkutan dan penambahbaikan aliran trafik
  1. strategi mengatasi isu perubahan iklim;
  2. pembekalan air;
  3. pembangunan komuniti termasuk belia, wanita serta warga emas;
  • peralihan tenaga boleh baharu (TBB) atau ‘energy transition’; dan
  • sumber pendapatan baharu
  1. Sejajar dengan gelaran Lembah Silikon Timur atau ‘Silicon Valley of the East’, Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan ekosistem khususnya dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baharu. Kerancakkan sektor ini akan terus diperhebatkan dengan projek ‘Silicon Island’, Penang South Island (PSI) yang akan memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor E&E di negeri ini dan terus diperkukuhkan dengan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan memfokuskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dengan menambah baik aliran trafik melalui inisiatif-inisiatif mobiliti pengangkutan awam di negeri ini. Kerajaan Negeri juga menyahut seruan dan harapan Tuan Yang Terutama Tun untuk berusaha dalam mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan sebuah Lebuh Raya Bertingkat atau Juru – Sungai Dua Expressway.
  1. Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik selari dengan kepesatan pembangunan yang berterusan di negeri yang tercinta ini. Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha keras bagi mencari alternatif lain agar infrastruktur yang akan dibina adalah yang terbaik dan usaha ini dilakukan secara berterusan dan berperingkat demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat Negeri Pulau Pinang.
  1. Selanjutnya, Kerajaan Negeri akan terus mengambil pendekatan proaktif dalam mengatasi isu perubahan iklim menerusi projek-projek tebatan banjir, projek bandar rendah karbon dan penyediaan kemudahan seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta pelaksanaan Pelan Kontingensi Air 2030 menerusi Projek Air Perak dan Pulau Pinang.
  1. Pada 12 Jun 2023, Kerajaan Negeri telah melancarkan ‘Penang Strategy for Economic Ecosystem Development’ atau ‘Penang SEED’ iaitu sebuah garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima (5) tahun yang menyasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan gagasan Visi Penang2030.
  1. Menerusi ‘Penang SEED’ juga, jangkaan pertumbuhan trajektori semasa iaitu sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh tahun 2023 sehingga tahun 2028. Malah, garis panduan ini turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehingga 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10.0 bilion pelaburan pembuatan dengan pasaran pekerjaan dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus dalam tempoh yang sama.
  1. Kejayaan pembangunan dan pemulihan ekonomi yang dicapai sehingga kini adalah hasil usaha bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berganding bahu demi memastikan pelaksanaan projek atau program yang memberikan manfaat kepada rakyat. Penyediaan peruntukan kepada inisiatif berimpak tinggi juga merupakan salah satu strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi. Saya ingin menekankan bahawa hala tuju Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 adalah selari dengan hasrat yang diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Momentum kerjasama yang baik ini dengan berpaksikan hala tuju yang sama membolehkan agenda pembangunan negeri dan negara dapat dijayakan dengan seoptimum mungkin. Di kesempatan ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama yang telah diberikan dan diharapkan agar hubungan ini berkekalan dan dapat dieratkan lagi pada masa hadapan.
  1. Umumnya, sesi libat urus bersama-sama pemegang taruh telah menjadi agenda penting dalam penyediaan Belanjawan Tahunan Negeri untuk mendapatkan input daripada YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan YB Ahli Parlimen untuk penyediaan anggaran perbelanjaan tahunan yang komprehensif. Sesi Libat Urus pada kali ini telah diadakan pada 10 Oktober 2023 telah mengumpulkan input berkaitan dan beberapa cadangan projek telah dimasukkan dalam Bajet Pembangunan Tahun 2024. Antara projek yang telah dimasukkan adalah seperti pembinaan menara penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pantai Golden Sands; kerja-kerja menaik taraf jeti pendaratan di Sungai Chenaam, Nibong Tebal dan pembinaan dewan di Batu Maung (Daerah Barat Daya) iaitu Dewan Kampung Baru Alma serta Dewan Taman Senangin yang menjadi projek sambungan pada tahun 2024. Kerajaan Negeri akan terus meneliti cadangan projek yang dikemukakan melalui Sesi Libat Urus tersebut dan akan memberikan pertimbangan berdasarkan kedudukan kewangan negeri.

PERDAGANGAN, INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

Dato’ Speaker,

  1. Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM4.3 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2023. Nilai pelaburan ini diperoleh daripada 67 projek yang dicatatkan oleh MIDA dan dianggarkan akan mewujudkan sebanyak 4,738 peluang pekerjaan baharu. FDI menyumbang sebanyak 66 peratus atau RM2.8 bilion manakala DDI menyumbang 34 peratus atau RM1.4 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tempoh tersebut.
  1. Bagi memastikan semua projek pelaburan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, InvestPenang senantiasa menawarkan perkhidmatan “hand holding” kepada para pelabur, sama ada di peringkat permulaan, peringkat operasi mahupun di peringkat pengembangan perniagaan.
  1. Para pelabur baru yang ingin beroperasi di Pulau Pinang akan diberi sokongan khidmat nasihat untuk memudahkan mereka menubuhkan syarikat perniagaan, mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan, membina atau menyewa bangunan kilang yang baharu dan memulakan operasi pengilangan.  Ini adalah untuk memastikan kesenangan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding dengan negara lain
  1. Pada penghujung tahun 2022 dan awal tahun 2023, Pulau Pinang melalui InvestPenang telah melaksanakan misi-misi pelaburan ke negara-negara bersasar seperti Singapura, Korea Selatan dan beberapa buah negara di Eropah bertujuan memastikan Pulau Pinang senantiasa aktif dan kekal dinamik dalam radar pelaburan asing. Di samping itu, kerjasama dan sinergi dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), pihak berkepentingan (stakeholders), swasta serta hubungan baik dengan syarikat-syarikat antarabangsa sedia ada di Pulau Pinang terus diperkukuhkan demi menjamin keberlangsungan aktiviti pelaburan di Pulau Pinang.
  1. Seterusnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan taman-taman perindustrian baharu seperti Taman Teknologi Bandar Cassia (Bandar Cassia Technology Park), Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (Batu Kawan Industrial Park 2) dan Batu Kawan Timur (East Batu Kawan) demi memastikan Pulau Pinang mempunyai tanah perindustrian yang mencukupi bagi menampung permintaan para pelabur. Taman Teknologi Bandar Cassia bakal menawarkan sebanyak 250 ekar tanah perindustrian baharu dan para pelabur dijangka dapat memulakan projek pembinaan kilang mereka di taman perindustrian tersebut dari tempoh 2023 hingga 2025.
  1. Selain daripada terus mengembangkan aktiviti elektrikal dan elektronik (E&E) sedia ada, Kerajaan Negeri akan turut memberi fokus dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah hab teknologi perubatan (medical technology) untuk rantau Asia Pasifik (APAC). Hasrat ini dapat dijayakan dengan membangunkan rantaian bekalan (supply chain) untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan (front-end manufacturing equipment) dan terus menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan design & development(D&D) di Pulau Pinang.
  1. Pulau Pinang cukup bertuah dengan berpeluang menganjurkan Persidangan SEMICON Southeast Asia (SEA) 2023 yang merupakan salah satu persidangan paling besar bagi industri semikonduktor dan elektronik di Asia Tenggara pada 23 sehingga 25 Mei 2023. Persidangan ini merupakan usaha kolaboratif bersama dengan rakan-rakan strategik seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA. Antara agenda yang dibincangkan adalah kemampanan, pembuatan pintar, mobiliti pintar, medtech pintar dan pembangunan tenaga kerja. Persidangan yang bertemakan “Boosting Agility and Resiliency for the Electronics Supply Chain” berkaitan telah berjaya menghimpunkan peneraju-peneraju industri dalam membincangkan dan meneroka kaedah terbaik bagi pemain industri elektronik untuk membina rantaian bekalan yang lebih teguh di masa akan datang. Persidangan ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui penyertaan sebanyak 571 reruai pameran dan telah dihadiri seramai 19,000 pelawat dari dalam dan luar negara.

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS)

 

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui InvestPenang dan PDC sentiasa meneruskan inisiatif-inisiatif bagi menyokong pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Pulau Pinang. Antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah mewujudkan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS (SME Market Advisory, Resource & Training - S.M.A.R.T Centre) dan Pusat IKS (SME Centre) dengan kadar sewa subsidi kepada para usahawan IKS tempatan. S.M.A.R.T Centre memberikan khidmat nasihat mengenai maklumat-maklumat yang diperlukan untuk memulakan perniagaan, urusan berkaitan permohonan lesen perniagaan, pendaftaran syarikat, insentif-insentif sedia ada dan sebagainya kepada para IKS. Sejak penubuhannya pada tahun 2010, pusat ini telah berjaya memberikan khidmat nasihat kepada 2,600 kes/atau syarikat daripada pelbagai sektor industri.
  1. Para usahawan IKS yang ingin meningkatkan peluang mendapat peluang perniagaan daripada pelabur asing boleh menyenaraikan profil syarikat mereka dalam direktori atas talian yang terdapat dalam sesawang InvestPenang secara percuma. Syarikat tempatan yang berdaftar dalam direktori tersebut akan diberi keutamaan sekiranya pihak InvestPenang menerima sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan tempatan. Sehingga kini, sebanyak 610 syarikat telah berdaftar dalam direktori ini.
  1. Pusat IKS Pulau Pinang juga telah dibangunkan di kawasan Perindustrian Bayan Lepas yang bermatlamat untuk membantu usahawan-usahawan baharu dan sedia ada bagi mengurangkan kos operasi dengan menyediakan ruang operasi dengan kadar sewa bersubsidi, yang mana kemudahan disediakan merangkumi bilik mesyuarat, bilik pantri, lif, lif kargo, ruang utiliti, pengawal dan kamera pengawasan.

MENGGALAKKAN SEKTOR ‘START-UP’ NEGERI

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri melalui InvestPenang juga telah menyediakan peruntukan khas bagi membantu syarikat-syarikat pemula atau ‘start-up’ dengan menawarkan bantuan kewangan. Pada awal tahun 2018, Kerajaan Negeri telah melancarkan ‘Penang i4.0 Seed Fund’ untuk pembangunan projek-projek ‘start-up’ yang berpotensi tinggi khasnya yang terlibat dalam industri digital, e-commerce dan IoT. Program ini menyediakan dana permulaan daripada RM50,000 sehingga RM250,000 untuk setiap projek.
  1. Sehingga kini, sebanyak RM5.0 juta ‘Seed Fund’ telah dianugerahkan kepada 49 buah ‘start-up’ tempatan yang memiliki produk dengan teknologi inovatif dan perkhidmatan. Selain itu, pelbagai program telah dianjurkan khusus untuk penerima dana seperti program bimbingan serta latihan dari mentor berpengalaman, akses ke rangkaian industri, peluang pemadanan dengan pelabur berpotensi dan sebagainya.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN, PENDIDIKAN DAN SAINS DAN TEKNOLOGI

Dato’ Speaker,

  1. Pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Peralihan sektor ekonomi kepada pengetahuan, teknologi dan aktiviti berintensif inovasi memerlukan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sedia ada. Menuju ke arah ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merangka dasar dan hala tuju yang lebih holistik supaya Pulau Pinang dapat mencapai kelebihan daya saing dalam menarik dan mengekalkan bakat-bakat muda.
  1. Umum mengetahui, Pulau Pinang dikenali sebagai Lembah Silikon Timur dengan mempelopori industri E&E dan pembuatan. Bagi meneruskan kesinambungan ekosistem ini, Pulau Pinang memerlukan lebih ramai bakat-bakat teknikal yang terlatih untuk menyokong industri sedia ada di negeri ini di samping menarik lebih banyak FDI baharu. Selain itu, banyak syarikat multinasional (MNC) di Pulau Pinang memfokuskan kepada matlamat yang sama iaitu ke arah memperkasakan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman  (DEI) dalam tenaga kerja mereka. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Pusat STEM seperti Penang Science Cluster antaranya telah melancarkan program Girls in Engineering & Technology (GET) untuk menggalakkan pelajar-pelajar perempuan sekolah menengah atas untuk menceburi pengajian dan kerjaya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. Saban tahun, seramai 150 hingga 200 pelajar perempuan dari Pulau Pinang akan menyertai Program GET menerusi latihan selama sembilan (9) bulan melalui tajaan dan sokongan daripada 15 syarikat yang terlibat yang secara tidak langsung memupuk minat khususnya di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan mereka.
  1. Sejak penubuhan Tech Dome Penang pada tahun 2016, selain bengkel-bengkel STEM melibatkan sekolah-sekolah di Pulau Pinang dan seluruh Semenanjung Malaysia. pihak berkaitan pada tahun lalu juga telah menyelaras penyertaan peserta dari Pulau Pinang ke pertandingan Techlympics yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan kontigen Pulau Pinang telah memenangi Anugerah Kontigen Terbaik di Malaysia. Susulan daripada itu, pihak tersebut juga telah menghantar dua (2) pasukan bagi mewakili negara ke Pertandingan Codeavour 2022, dan berjaya memenangi Anugerah Best AI (Artificial Intelligence) & Ml (Machine Learning) Project Award bagi projek The Trash-bot dan turut memenangi hadiah saguhati bagi projek Balcony Farming. Tahniah diucapkan.
  1. Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Talent Centre) atau lebih dikenali sebagai Penang CAT Centre terus memainkan peranannya untuk meningkatkan pertumbuhan modal insan di negeri ini. Dimensi dan peranan Penang CAT Centre terus berevolusi sejajar dengan perkembangan dan situasi semasa yang mana pada masa kini, syarikat-syarikat berdepan dengan cabaran baharu iaitu untuk mengekalkan tenaga kerja sedia ada dalam organisasi mereka.
  1. Penang CAT Centre juga terus memainkan peranannya sebagai sekretariat kepada program biasiswa, Penang Future Foundation (PFF). Program PFF merupakan satu inisiatif yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik dan mengekalkan bakat di Pulau Pinang. Sejak tahun penubuhannya iaitu pada tahun 2014 sehingga Disember 2022, PFF telah melahirkan seramai 700 pemegang biasiswa yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang “Science, Technology, Engineering, Mathematics and Accounting/Finance” (STEMA).

 

 

  1. Penang Skills Development Centre (PSDC) kekal memainkan peranannya sebagai sebuah institut latihan terulung di Pulau Pinang. Tumpuan PSDC adalah untuk membolehkan industri tempatan mendapat tenaga kerja yang sesuai. Oleh yang demikian, PSDC menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan panjang serta seminar dalam bidang teknikal, soft skills dan IT bagi mewujudkan pasaran tenaga kerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.
  1. Serentak itu, usaha-usaha tambahan bagi meningkatkan pertumbuhan sumber manusia juga adalah melalui kempen My Penang, My Workplace yang bertujuan untuk menarik bakat-bakat daripada seluruh negara bagi memilih Pulau Pinang sebagai destinasi kerjaya mereka. Di bawah kempen ini, Penang Internship Subsidy Programme (PISP) telah diperkenalkan yang membantu dalam memberi bantuan subsidi kepada syarikat-syarikat tempatan bagi membuka peluang latihan industri dan seterusnya menarik bakat-bakat baharu untuk mendapatkan pengalaman bekerja di syarikat mereka.
  1. Pada tahun 2022, sebanyak 15 syarikat telah dianugerahkan dengan subsidi PISP dengan seramai 285 pelatih telah menerima manfaat daripada program ini. Rentetan daripada sambutan yang menggalakkan ini, sebanyak RM1.0 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menyambung program ini sepanjang tahun 2023 dengan menyasarkan seramai 416 pelatih.
  1. Sebagai tambahan, bagi merevolusikan persekitaran pembelajaran digital, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Program Perpustakaan Digital dengan melengkapkan kemudahan jalur lebar 5G di 88 sekolah di negeri ini. Program berkenaan telah dijayakan dengan jalinan kerjasama dan usaha kolaboratif antara pelbagai pihak melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri bagi mencipta sebuah landasan serta peluang pembelajaran yang baharu ke arah transformasi digital dalam pendidikan. Perpustakaan Digital akan terus menjadi sebuah platform terbaik dalam menempatkan kandungan-kandungan pembelajaran secara digital di samping memberi nilai tambah kepada perkembangan dunia pendidikan pada masa kini.

 

 

EKONOMI DIGITAL DAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI

Dato’ Speaker,

  1. Pulau Pinang terus komited dalam menerajui industri ekonomi digital sebagai pemacu baharu ekonomi negeri ini. Ini adalah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi digital strategik yang mana Malaysia menyasarkan sektor pelaburan ekonomi digital bakal menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan menjelang 2025 serta sebanyak RM130 bilion pelaburan turut disasarkan menjelang tahun tersebut.
  1. Selain memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran dan ‘research & development’ (R&D) dan ‘embedded software’, Pulau Pinang juga komited untuk menerajui industri ekonomi teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘big data’, IoT, ‘Integrated Circuit (IC) Design’, ‘Agro/Food Tech’, ‘data centre’ dan sebagainya. Sehingga kini, terdapat lebih 200 syarikat dari Pulau Pinang memperoleh pengiktirafan ‘Malaysia Digital’ atau dahulu dikenali sebagai Multimedia Super Corridor Malaysia(MSC Malaysia) dan telah mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan bernilai tinggi. Pulau Pinang merupakan negeri kedua tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendapat tumpuan dalam kalangan syarikat berteraskan kepada ekonomi digital.
  1. Kerajaan Negeri dalam pada itu juga akan terus menumpukan usaha pada masa hadapan dengan memberi tumpuan untuk  membina ekonomi digital negeri melalui pelbagai inisiatif yang lebih baik termasuk melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur serba lengkap dalam memastikan negeri ini terus kekal sebagai hab pelaburan digital bertaraf dunia.
  1. Lazimnya, Pulau Pinang kini mengorak langkah ke arah pembentukan negeri pintar bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030 selaras dengan gagasan Visi Penang2030. Status negeri atau bandar pintar amat penting dan memainkan peranan utama dalam menambah baik pertumbuhan ekonomi melalui kuasa teknologi. Penerapan konsep teknologi pintar ini dapat memudahkan kehidupan seharian serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang. Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) berperanan penting dalam memastikan hala tuju berkaitan melalui penterjemahan dasar-dasar di peringkat global, nasional dan negeri kepada pelan tindakan jangka panjang serta pelaksanaan inisiatif-inisiatif pintar di peringkat tempatan.
  1. Antara sejumlah 113 inisiatif pintar yang bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan 51 inisiatif manakala 38 inisiatif sedang dilaksanakan dan 24 lagi inisiatif masih dalam perancangan. Salah satu inisiatif pintar dikenali sebagai inisiatif tanpa tunai atau e-pembayaran. Jumlah kutipan yang diperoleh melalui platform e-pembayaran di kesemua 56 pasar awam di Pulau Pinang adalah sebanyak 4,116,332 transaksi bernilai RM39.771 juta. Pada masa sama, seluruh 23 jabatan dan agensi kerajaan terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini. Antara 1 Januari dan 30 September 2023, sebanyak 5,831,402 transaksi iaitu 92.25 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhan, manakala jumlah kutipan hasil yang diperoleh pula adalah sebanyak RM 684.3 juta iaitu 57.37 peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan hasil.
  1. Inisiatif lain adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang mana sebanyak 1,217 unit CCTV telah dipasang oleh kedua-dua PBT iaitu 1,019 CCTV di kawasan pulau manakala Seberang Perai (198 CCTV). Tambahan pula, aplikasi Penang Smart Parking (PSP) telah digunakan secara meluas oleh warga Pulau Pinang sejak ia dilancarkan secara perintis pada tahun 2019 dengan jumlah muat turun setakat 22 Oktober 2023 adalah sebanyak 1,245,594 dan aplikasi ini juga digunakan secara aktif oleh 262,728 pengguna. Setakat ini, PSP telah merekodkan jumlah kutipan tempat letak kereta sebanyak RM68.66 juta bagi kedua-dua PBT dengan pecahan kutipan di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebanyak RM45.7 juta dan kutipan di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) adalah berjumlah RM23 juta.
  1. Selaras dengan transformasi digital yang sedang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan melalui program Jaringan Digital Negara (JENDELA), Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak ketinggalan mengambil peluang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi untuk kemudahan rakyat Pulau Pinang. Satu pelan yang dinamakan Penang Connectivity Master Plan (PCMP) telah diwujudkan oleh BKT melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan. Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan Pulau Pinang mempunyai kadar liputan telekomunikasi yang menyeluruh dan stabil di samping menambah baik liputan sedia ada di kawasan berpenduduk. Setakat ini, kadar liputan rangkaian 4G di Pulau Pinang telah meliputi 99.85 peratus kawasan berpenduduk dan menyasarkan pencapaian 100 peratus menjelang penghujung tahun 2023. Bagi pelaksanaan 5G pula, sebanyak 282 lokasi telah disiapkan pihak Digital Nasional Berhad (DNB) dan menyasarkan sebanyak 470 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang akan memberi liputan sebanyak 80 peratus rangkaian 5G. Sehingga kini, Pulau Pinang telah menikmati lebih 50 peratus liputan rangkaian 5G dan Kerajaan Negeri akan membantu serta memudah cara pelaksanaan 5G bagi memastikan capaian rangkaian 5G di Pulau Pinang dapat disiapkan mengikut perancangan pihak DNB.
  1. Serentak itu, pelbagai inisiatif juga telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan negeri ini ke arah negeri digital. Antaranya adalah pembangunan modal insan dan keusahawanan digital melalui projek Creative Digital District, ESG Incubation Hub, SME100 Digital Champion, Founder’s Grit Seed Programme dan lain-lain.
  1. Kerajaan Negeri melalui InvestPenang selaku Penang Cybercity Manager juga menjalinkan kerjasama dengan agensi Kerajaan Pusat dan badan berkaitan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MIDA dan GBS Malaysia (Digital Global Business Services Council) bagi menyediakan sokongan untuk mempromosi dan mengembangkan Pulau Pinang sebagai hab global untuk industri ini.
  1. Dalam memperkasakan ekonomi digital kreatif, Kerajaan Negeri melalui Digital Penang telah menjalinkan kerjasama dengan Sunway Education Group (SEG) dan Khazanah Nasional Berhad untuk menubuhkan ‘42 Penang’ di Creative Digital District yang menawarkan pendidikan percuma dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat. Ini akan menggalakkan pembangunan bakat serta menarik lebih banyak pelabur untuk datang ke Pulau Pinang.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri juga amat menggalakkan peningkatan kemahiran dalam kalangan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui program ‘SME Go’ yang mendidik para peserta mengenai pengetahuan asas, prinsip peringkat tinggi dan pemahaman Industri 4.0 bagi memastikan pengusaha-pengusaha ini bersedia untuk beradaptasi ke arah dunia digital.
  1. Kerajaan Negeri melalui Digital Penang juga telah bekerjasama dengan Malaysian Business Angel Network (MBAN) dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan kejayaan syarikat pemula di Pulau Pinang. MBAN telah menubuhkan cawangannya di Pulau Pinang yang akan memudahkan syarikat-syarikat pemula untuk mendapatkan modal permulaan bagi perniagaan mereka.
  1. Dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan pusat-pusat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan sistem Digital Integrated Service Centre (DISC) di 40 KADUN seluruh negeri. Sehingga kini, sebanyak 17 KADUN telah menggunakan sistem ini secara aktif.
  1. Dalam usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi, pemasangan gentian optik akan dilaksanakan di seluruh kawasan pulau dalam empat (4) fasa. Fasa pertama dari George Town ke Batu Maung telah siap dilaksanakan pada Mac 2023. Fasa kedua dari George Town ke Batu Feringghi dan fasa ketiga dari Batu Maung ke Balik Pulau kini sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Mei 2024. Manakala, fasa keempat iaitu dari Balik Pulau ke George Town pula kini sedang dalam perancangan dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2025. Pembangunan infrastruktur telekomunikasi ini akan meningkatkan lagi ketersambungan digital dalam kalangan rakyat dan perusahaan di Pulau Pinang yang akan memangkin perkembangan digital negeri di masa akan datang.

HAL EHWAL AGAMA ISLAM

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah 48 juta untuk kegunaan Maksud Pembangunan di bawah P.13 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP). Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM10.18 juta telah diluluskan untuk tujuan membina, menambah baik dan mengubah suai masjid serta surau di Pulau Pinang. Antara komitmen Kerajaan Negeri adalah bagi menjalankan projek bagi kerja-kerja membina semula bangunan Masjid Papan, Kampung Pertama, Seberang Perai Tengah, projek meroboh dan membina semula Masjid Jamek, Nurul Hidayah Sungai Lokan, Seberang Perai Utara dan kerja-kerja pembaikan pendawaian sistem elektrik Masjid Abdullah Fahim, Seberang Perai Utara.
  1. Komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi di negeri ini terus diperkukuhkan dengan jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dalam membina masjid baharu serta menaik taraf masjid-masjid di Pulau Pinang. Projek masjid yang telah siap dibina pada tahun 2023 adalah seperti Masjid Jamek Sungai Puyu di Butterworth, Masjid Sungai Nibong Besar di Bayan Lepas, Masjid Taman Pelangi di Perai dan Masjid Jamek Perai dengan jumlah pembiayaan sebanyak 5 juta daripada Kerajaan Negeri. Peruntukan RM10.18 juta yang diluluskan bagi tahun 2024 ini turut merangkumi RM2.0 juta bagi menaik taraf masjid-masjid dan surau-surau yang uzur di seluruh Pulau Pinang. Segala usaha yang dicurahkan ini adalah bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.
  1. Kerajaan Negeri dalam pada itu turut berasa bangga apabila Pulau Pinang telah terpilih sebagai lokasi penganjuran bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah atau 2023 Masihi yakni pada 11 – 16 Jun lalu di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
  1. Usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umatnya terus diperkasakan melalui JHEAIPP dengan penganjuran pelbagai majlis-majlis rasmi lain di peringkat negeri seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur-Rasul dan Festival Nasyid dengan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri berjumlah RM718,250.00.
  1. Kerajaan Negeri jua telah menjenamakan semula “Gagasan Khaira Ummah 2030” yang seiring dengan gagasan Visi Penang2030. Selaras dengan penjenamaan ini, Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang, Al-Hady Centre (AHC) telah diilhamkan dan berfungsi sebagai pusat yang bertanggungjawab dalam mengintegrasikan pemikiran dan ketamadunan bagi tujuan penyelidikan dalam bidang Politik, Ekonomi, Sosial dan Sains & Teknologi (PEST) berdasarkan perspektif Islam.
  1. Inisiatif mengembangkan pendidikan di sekolah-sekolah Islam yang merangkumi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas KAFA, Maahad Tahfiz, Pusat Tahfiz, Sekolah Rendah dan Menengah Tahfiz, pondok-pondok pengajian tradisional serta Sekolah Rendah dan Menengah Agama Rakyat di seluruh negeri Pulau Pinang turut diberi perhatian. Projek sekolah-sekolah Islam dalam fasa pembinaan bagi tahun 2023 adalah dua (2) buah sekolah agama iaitu Madrasah al-Ittihadiyah al- Wataniyah di Cherok Tok Kun dan Sekolah Agama Rakyat Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Telok Air Tawar dengan siling peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak 36 juta. Di samping itu, sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menaik taraf Sekolah Agama Rakyat yang uzur di seluruh Pulau Pinang bagi tahun 2023 antaranya, tiga (3) Sekolah Agama Rakyat (SAR) iaitu SAR Nurul Falah Taman Berjaya di Nibong Tebal, Daerah Seberang Perai Selatan dan SAR Masjid Bandar Baru Ayer Itam di Daerah Timur Laut serta SAR Madrasah An-Najah Kampung Selamat di Daerah Seberang Perai Utara. Kerja-kerja bagi pembinaan SAR yang dinyatakan akan diteruskan pada tahun 2024 dengan sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan secara keseluruhan untuk SAR tersebut.
  1. JHEAIPP melalui Bahagian Pengurusan Halal sentiasa berusaha memberikan kesedaran halal, meningkatkan kefahaman mengenai pensijilan Halal Malaysia dan perundangan berkaitan halal melalui penglibatan dalam pameran peringkat domestik dan antarabangsa serta penganjuran kursus, taklimat, bengkel dan aktiviti interaktif melibatkan orang awam, agensi pembimbing, pemain industri sama ada pemegang atau bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal
  1. Sehingga September 2023, sebanyak 1,784 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) direkodkan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang baik jika dilihat kepada rekod sepanjang tahun 2022 yang keseluruhannya berjumlah 1,729. Skim Produk Makanan adalah antara Skim Pensijilan Halal Malaysia yang paling tinggi iaitu seramai 1,064 pemegang dan diikuti dengan skim-skim yang lain. Bagi tempoh Januari sehingga September 2023 juga, sebanyak 250 syarikat pemegang SPHM telah dipantau bagi memastikan prosedur dan standard pensijilan halal Malaysia dipatuhi secara

   

 

PEMBANGUNAN SOSIAL, KEBAJIKAN DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM

Dato’ Speaker,

  1. Dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan saksama, saya bangga menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satu negeri di Malaysia yang telah memperkenal dan mengguna pakai Dasar Keterangkuman Gender (DKG) dalam memastikan wujudnya satu keseimbangan gender di negeri ini di samping mempromosikan kesaksamaan gender di semua agensi serta jabatan Kerajaan Negeri. Dasar ini akan terus dilaksanakan selaras dengan Visi Penang 2030 dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menjadi tunjang serta agensi pelaksana utama dalam mengintegrasikan nilai keterangkuman gender ke dalam dasar, program dan amalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
  1. Berdasarkan rekod daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan 0.707 atau 70.7 peratus pada tahun 2021 berbanding 0.714 atau 71.4 peratus pada tahun 2020 dengan pencapaian wanita adalah melebihi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060. Menelusuri perkembangan ini, PWDC akan terus menjadi tunjang utama dalam memperkasakan lebih banyak peluang dan penyertaan golongan wanita di dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik di negeri ini.
  1. Dasar Keluarga Selamat sebagai langkah awal dalam menawarkan khidmat sokongan melalui pusat ‘First Support Point’ yang diwujudkan di pusat-pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan di kaunter agensi-agensi Kerajaan Negeri. Ianya bertindak sebagai pelindung kepada mangsa-mangsa keganasan domestik atau keganasan rumah tangga malah adalah bagi mewujudkan sebuah ekosistem yang selamat untuk semua keluarga di negeri ini . Sehingga kini, seramai 387 orang (sehingga 30 Oktober 2023) atau First Support Point telah dilatih dan sebanyak 56 Pusat First Support Point telah ditubuhkan di bawah dasar ini.
  1. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan dasar pembasmian kemiskinan tegar melalui Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang merupakan bantuan kewangan secara bulanan untuk membantu isi rumah miskin. Seiring dengan peredaran masa dan keperluan semasa, program bantuan ini telah dijenamakan semula sebagai Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) dalam mengoptimumkan sumber kewangan dan urus tadbir yang lebih efisien. Program BAES dilaksanakan untuk memastikan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya Ringgit Malaysia sembilan ratus empat puluh empat (RM944.00) sebulan dan kadar perkapita Ringgit Malaysia dua ratus enam puluh (RM 260.00) berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2016. Sehingga Oktober 2023, Kerajaan Negeri telah berjaya membantu seramai 1,011 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin di bawah Program BAES ini, dengan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak 7 juta.
  1. Kerajaan Negeri terus mengungguli dalam usaha memperkasa pembangunan sosial rakyat di negeri ini dengan memperuntukkan sebanyak 4 juta bagi merealisasikan pembinaan sebuah Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di negeri ini. Pusat Transit Gelandangan yang terletak di Jalan C.Y. Choy ini memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan kepada golongan gelandangan sebagai tempat tinggal sementara serta sebagai pusat pengedaran makanan oleh pertubuhan sukarela mahupun orang perseorangan. Saya juga ingin menegaskan bahawa kewujudan pusat ini merupakan satu titik tolak baharu dalam mengupayakan kehidupan golongan gelandangan di negeri ini ke arah kualiti hidup, kebahagiaan dan emosi yang lebih baik. Sehingga 27 Oktober 2023, pusat ini telah menerima masuk seramai 123 individu yang terdiri daripada 106 orang lelaki dan 17 orang wanita. Bilangan ini juga sentiasa berubah dengan jumlah antara 50 sehingga 60 orang yang menikmati kemudahan di pusat ini dalam sesuatu masa.



KERAJAAN TEMPATAN DAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan memandang serius bagi isu-isu di peringkat tempatan dan juga perkara berkaitan taraf kualiti hidup rakyat Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT sentiasa mengambil cakna dan mencari penyelesaian melalui pembangunan dasar-dasar di peringkat negeri serta menyelaras dan memantau urusan pelaksanaan dasar serta polisi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Antaranya adalah perkara berkaitan tanah lapang awam, pengoperasian tempat inap persendirian di skim Hartanah Berstrata dan Skim Kediaman Bertanah, serta Sistem Retikulasi Paip dan Tangki di kediaman bertingkat di negeri ini. Usaha-usaha tersebut bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan Kerajaan Negeri dan juga memastikan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang terjamin.
  1. Malah, Kerajaan Negeri melalui BKT juga sedang giat berusaha untuk merealisasikan Dasar Total Solution bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini. Objektif pelaksanaan dasar tersebut adalah untuk mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan melalui inisiatif-inisiatif yang dirancang iaitu pelaksanaan teknologi rawatan sisa pepejal seperti teknologi MRF dan ‘anaerobic digestior’ serta penerapan konsep ekonomi kitaran secara menyeluruh dalam membangunkan Penang Waste Eco Park @ Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung bagi menghasilkan biogas atau tenaga dan bahan mentah sekunder.

PERUMAHAN

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dan serius dalam agenda perumahan di negeri ini sebagaimana yang ditetapkan dalam Visi Penang2030 di bawah Inisiatif Strategik A1: Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan. Komitmen ini juga merupakan salah satu Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023.
  1. Ingin saya maklumkan bahawa, usaha untuk membekalkan perumahan mampu milik pelbagai kategori telah mencapai 152,263 unit atau 69.2 peratus bagi Rumah Mampu Milik (RMM) Kategori A, B dan C merangkumi kategori projek siap, dalam pembinaan dan dalam perancangan daripada 220,000 unit yang telah disasarkan menjelang tahun 2030.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi pertimbangan khusus kepada pemohon yang gagal untuk mendapatkan pinjaman bank selepas ditawarkan rumah mampu milik. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri di bawah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang menyasarkan penyediaan sebanyak 22,000 unit atau bersamaan 10 peratus daripada perumahan mampu milik untuk ditawarkan melalui kaedah sewa beli atau rent to own. Sehingga kini, sebanyak 4,191 unit RMM atau 19 peratus telah dikenal pasti untuk ditawarkan di bawah kaedah ini dan ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi memastikan penduduk di negeri ini memiliki rumah untuk didiami.
  1. Pulau Pinang juga sebagai sebuah negeri berstrata memberi perhatian khusus kepada penyelenggaraan skim-skim perumahan awam dan swasta yang layak. Sejak 2008 hingga kini, sebanyak 5 juta telah diperuntukkan bagi menyelenggara skim-skim perumahan ini dan ia akan terus dilaksanakan agar terus berdaya huni. Bagi pelan jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan menilai kebolehlaksanaan pembaharuan semula skim atau ‘scheme redevelopment’ sekiranya ia tidak ekonomik untuk diselenggara atau ada keperluan kritikal.
  1. Buat permulaan, sebanyak lima (5) skim telah dikenal pasti iaitu di Mahsuri 5 Point Blok, Daerah Barat Daya, Taman Free School, Daerah Timur Laut, Rumah Pangsa Padang Tembak, Daerah Timur Laut, Rumah Pangsa Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara dan Rumah Pangsa Siakap, Daerah Seberang Perai Tengah. Skim-skim perumahan yang telah berusia lebih 30 tahun, dengan saiz antara 300 kaki ke 400 kaki persegi, tanpa kemudahan masyarakat yang cukup akan diganti dengan kediaman lebih baik dan kemudahan setanding dengan perumahan moden. Usaha ini merupakan salah satu langkah dalam menambah rumah mampu milik dan juga meningkatkan guna tanah secara optimum.
  1. Selanjutnya, Kerajaan Negeri terus prihatin dalam meneroka keperluan Skim Perumahan Sewa Khas bagi Golongan Belia atau Bujang. Hasrat ini adalah selari dengan konsep Perumahan Inklusif MADANI dan juga merupakan kesinambungan pelaksanaan terhadap Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 iaitu “Memperkasakan Golongan Wanita dan Belia”. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama untuk membangunkan skim perumahan untuk golongan belia dan bujang melalui pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelutong di George Town. Pada masa ini, unit kediaman sewa sama ada di bawah Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) mahupun PPR dengan keluasan minimum 416 kaki persegi dengan dua (2) bilik hanya ditawarkan kepada pemohon berkeluarga. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang pesat maju dalam sektor industri, Kerajaan Negeri mendapati bahawa terdapat keperluan tinggi ke atas penyewaan unit kediaman daripada golongan bujang atau belia yang berkeluarga. Justeru, Kerajaan Negeri telah mengemukakan usul kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina satu kategori PPR yang membolehkan pemohon bujang dan keluarga baharu dengan bilangan ahli keluarga kecil diperkenalkan di negeri ini.

 

 

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri sangat cakna akan bantuan dan program yang boleh dibuat bagi pembangunan luar bandar. Mengambil kira perkembangan semasa, Kerajaan Negeri telah meneliti semula Garis Panduan Program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah Rakyat Miskin di mana nilai maksimum pembinaan rumah baru telah dinaikkan daripada RM56,000.00 kepada nilai maksimum baharu iaitu RM75,000.00 berkuat kuasa pada tahun 2023. Langkah ini bukan sahaja bagi memastikan program ini terus kekal relevan dan efektif, namun ia adalah bagi mencapai maksud utama dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 1 juta bagi meneruskan kesinambungan program ini dan sehingga kini, seramai 42 jumlah penerima telah menerima manfaat daripada program ini dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.23 juta.
  1. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Luar Bandar telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00 bagi bantuan peralatan di setiap daerah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM250,000.00 pada tahun ini. Program ini telah dan sedang dilaksanakan di bawah Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan miskin yang menjalankan perniagaan. Individu yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan berpendapatan kurang daripada RM3,000.00 sebulan adalah layak untuk mendapat bantuan peralatan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada. Bantuan peralatan yang dimohon adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada agar ia mampu meningkatkan jumlah penghasilan atau produktiviti. Sehingga kini, seramai 65 orang penerima dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM165,821.00 telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program ini.

KELESTARIAN ALAM SEKITAR

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dalam usaha pengekalan dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar sebagaimana yang telah diterapkan di dalam Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 (Penang Green Agenda 2030) dan turut sejajar dengan matlamat United Nations Sustainable Development 2030. Komitmen ini merupakan asas dan panduan kepada Kerajaan Negeri untuk terus mengarusperdanakan amalan kemampanan dalam mencapai pembangunan lestari dan memelihara alam sekitar yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi lestari.
  1. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berusaha memastikan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang dipertingkatkan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara dengan mengambil kira pembangunan mampan yang menitikberatkan alam sekitar yang bersih, sihat serta selamat. Kendatipun begitu, kemajuan dan pemodenan ekonomi Pulau Pinang akan lebih bermakna sekiranya seluruh rakyat negeri ini terus bermuafakat dalam menerima pembaharuan baharu dengan memberi penekanan kepada pembudayaan lestari dalam kehidupan seharian. Usaha ini adalah amat penting dalam membentuk sebuah komuniti lestari yang berlandaskan kepada prinsip-prinsip kelestarian iaitu keseimbangan antara ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pembentukan komuniti lestari ini juga akan dapat membantu merangsang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui penyediaan peluang-peluang pekerjaan yang lebih berdaya saing serta mampu mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini.
  1. Umum mengetahui bahawa Bukit Bendera Pulau Pinang telah diberi pengiktirafan dunia sebagai tapak Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB), UNESCO pada tahun 2021. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam rangka untuk mencalonkan Kompleks Hutan Simpan Paya Laut di pesisir pantai Penaga sehingga ke Teluk Air Tawar, sebagai kawasan Flyway Site Network, iaitu sebagai sebuah tapak persinggahan burung-burung pantai hijrah di bawah forum East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP). Apabila berjaya diiktiraf kelak, Pulau Pinang bakal mempunyai sebuah kawasan Flyway Site Network yang pertama di Semenanjung Malaysia dan kedua dalam negara selepas Bako-Buntal Bay Flyway Site Network di negeri Sarawak. Usaha melestarikan khazanah ini akan mampu mewujudkan sebuah destinasi ekopelancongan yang baharu di negeri ini di samping membuka ruang serta peluang ekonomi baharu kepada warga komuniti dan masyarakat di sekitar kawasan tersebut.
  1. Kawasan Beting Tengah atau Middle Bank di Negeri Pulau Pinang merupakan satu kawasan yang sangat kaya dengan biodiversiti marin. Selain mempunyai biodiversiti marin yang tinggi, Pulau Gazumbo merupakan satu-satunya kawasan di Selat Melaka yang mempunyai taburan rumput laut luas dengan pelbagai spesies. Di samping itu juga, terdapat pelbagai jenis ikan, kerang, ketam dan makanan laut lain yang menjadi sumber makanan kepada masyarakat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh lokasinya yang terletak berhampiran dengan pusat bandar Pulau Pinang dan dikelilingi oleh kawasan yang padat dengan aktiviti ekonomi, perindustrian serta penempatan telah menyebabkan kewujudan kawasan dan biodiversitinya begitu rapuh dan dikhuatiri akan lenyap sekiranya tiada perlindungan dan tadbir urus yang baik.
  1. Menyedari ancaman serta kepentingan kawasan ini daripada aspek ekonomi dan estetika bagi negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar kawasan Middle Bank ini dilindungi dan dijenamakan sebagai Santuari Marin Middle Bank. Kejayaan pewartaan Middle Bank kini dalam cadangan untuk diwartakan bagi melindungi spesies yang terdapat di kawasan tersebut. Sekiranya berjaya diwartakan, ini akan menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai santuari marinnya sendiri.

 

 

BENCANA

Dato’ Speaker,

  1. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre) di atas tanah Kerajaan, Jalan Chan Ewe Pin, Mukim 14, Daerah Seberang Perai Tengah dengan anggaran peruntukan sebanyak 5 juta. Peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada RM6.5 juta telah diperuntukkan bagi proses kerja-kerja awalan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang pada tahun 2023.
  1. Seterusnya, pada tahun 2024, sejumlah RM2.5 juta akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan dan pusat ini dijangkakan akan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2025.

 

PENGANGKUTAN DAN PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG (PTMP)

 

Dato’ Speaker,

  1. Dalam usaha mengawal kesesakan lalu lintas di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan) telah melaksanakan pendekatan dan strategi untuk mendorong penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas. Projek Jalan Pintasan Ayer Hitam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) kini dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak sebanyak 40 peratus setakat bulan September 2023. Setelah projek ini siap, jajaran Pakej 2 yang merupakan pintasan bebas tol akan memberikan kelebihan kepada orang awam daripada segi pengurangan masa perjalanan iaitu dianggarkan dari 40 minit kepada lima (5) minit sahaja.
  1. Program Pas Mutiara My50, iaitu pas perjalanan tanpa had selama 30 hari yang dibiayai Kerajaan Negeri juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk negeri ini. Setiap bulan, secara purata 13,000 pas dilanggan menjadikan sehingga bulan Oktober 2023, lebih daripada 130,000 pas telah dilanggan oleh pengguna di negeri ini.

 

  1. Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2024 oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 0 bilion bagi pelaksanaan projek Aliran Transit Ringan (LRT) Pulau Pinang ke Seberang Perai. Kerajaan Negeri amatlah berbesar hati dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek jajaran LRT yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang. Kerajaan Negeri amat bersyukur dan berjanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak Kerajaan Persekutuan demi merealisasikan projek ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) atas pelancaran empat (4) buah feri baharu pada 17 Ogos 2023 oleh Tuan Yang Terutama Tun.
  1. Kerajaan Negeri akan meneruskan dua (2) laluan bas percuma CAT Bridge iaitu laluan Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan Bukit Mertajam ke Komtar. Manakala program bas shuttle sedia ada sejak tahun 2008 iatu CAT George Town dan BEST KOMTAR sejak tahun 2013 akan juga diteruskan.
  1. Jumlah peruntukan yang terlibat bagi semua tajaan dan subsidi sektor pengangkutan ini dianggarkan berjumlah lebih RM15 juta untuk tahun 2024, dan tidak termasuk pembiayaan bas Central Area Transit (CAT) George Town yang berjumlah 6 juta.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan kira-kira 56 juta sehingga tahun 2023 bagi pemberian insentif perkhidmatan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah. Pemberian insentif ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang menimbang untuk memanjangkan pemberian insentif ini kepada pemandu e-hailing Pulau Pinang. Manakala bagi penunggang p-hailing, beberapa siri perbincangan bersama pihak PERKESO telah diadakan bagi membiayai sepenuhnya insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing.
  1. Selaras dengan perkembangan dan kesedaran mengenai ‘carbon reduction’ menerusi Sustainable Development Goals (SDG) dan Penang Green Agenda (PGA), Kerajaan Negeri ingin menyatakan sokongan kepada peralihan penggunaan kenderaan elektrik. Infrastruktur seperti tempat pengecasan kenderaan elektrik akan terus diberikan perhatian penuh oleh pihak Kerajaan Negeri bagi menyokong hasrat ini.
  1. Bagi projek Penang South Reclamation (PSR) atau kini dikenali sebagai Penang South Island (PSI) yang melibatkan tambakan sebanyak 2,300 ekar bagi Pulau A yang dikenali sebagai ‘Silicon Island’, kerja-kerja fizikal di tapak telah dimulakan sejak 22 September lalu dan dijangka kawasan seluas 4 hingga 5 ekar akan siap ditambun pada awal bulan Disember ini.
  1. Malah, sebagaimana dijanjikan oleh Kerajaan Negeri kepada nelayan-nelayan yang terjejas, pakej-pakej Social Impact Management Plan (SIMP) yang telah diuar-uarkan sejak tahun 2020, kini dalam pelaksanaan dan setakat hujung Oktober 2023, seramai 266 nelayan telah menerima bayaran. Pada hujung tahun 2023, secara keseluruhan, dijangka 338 nelayan berdaftar (di bawah SIMP) telah dan akan menerima ex-gratia mengikut kuantum yang telah dipersetujui manakala baki penerima (yang layak) akan diproses pembayarannya sejurus mereka membuat pendaftaran. Bagi tahun 2023 dan tahun 2024 sahaja, sebanyak 0 juta telah diperuntukkan di bawah pakej SIMP untuk pemberian bantuan ex-gratia dan bantuan bot baharu kepada nelayan-nelayan yang terlibat melalui kos projek PSI.

 

 

INFRASTRUKTUR BEKALAN AIR

 

Dato’ Speaker,

 

  1. Kerajaan Negeri prihatin dengan isu dan cabaran melibatkan sumber air yang mana negeri kita dijangka akan menghadapi krisis air menjelang tahun 2030 sekiranya penggunaan air tidak diuruskan dengan mampan dan tiada sumber air mentah alternatif baru. Selain itu, dengan faktor perubahan cuaca yang tidak menentu dan taburan hujan yang sedikit di kawasan tadahan air turut menjejaskan paras empangan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan beberapa inisiatif dan pelan tindakan jangka masa pendek serta panjang dalam memastikan pembekalan air berterusan kepada 585,740 pengguna domestik dan juga 91,117 pengguna industri di Pulau Pinang.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah bersetuju untuk menjual bekalan air terawat kepada Pulau Pinang melalui pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di utara negeri ini yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri. Kerajaan Negeri juga melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam fasa pembinaan untuk menyiapkan projek pemasangan paip air mentah berdiameter 1.6 meter sepanjang 7 kilometer dari rumah pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua dengan kos projek sebanyak RM72.4 juta. Projek ini dijangka siap pada akhir tahun 2023 dan penyempurnaa projek tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air mentah daripada 300 juta liter air (JLH) kepada 600 juta liter air (JLH) dari Empangan Mengkuang. Kerajaan Negeri juga akan memastikan projek rumah pam Lahar Yooi Fasa 2C dapat diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melengkapkan pakej di bawah projek pembinaan Pembesaran Empangan Mengkuang dan sekiranya projek ini dilaksanakan, Pulau Pinang dapat memanfaatkan sepenuhnya dengan pengeluaran air mentah sebanyak 1000 juta liter air (JLH) daripada Empangan Mengkuang.
  1. Kerajaan Negeri melalui inisiatif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka beberapa projek infrastruktur bekalan air melibatkan pelaburan sebanyak 1836 bilion di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 untuk tempoh lima (5) tahun akan datang bagi menghadapi cabaran permintaan air yang sangat tinggi menjelang 2030. Inisiatif ini akan membantu Pulau Pinang meminimumkan krisis bekalan air dan seterusnya menunjukkan Kerajaan Negeri terus komited dalam memastikan bekalan air berterusan kepada penduduk negeri Pulau Pinang.

PELANCONGAN

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi utama pelancongan dalam negara dengan menawarkan pelbagai tarikan pelancongan dan aktiviti pengalaman yang boleh memenuhi sasaran khalayak serta pasaran berbeza. Pulau Pinang memiliki pelbagai jenis permata tersembunyi yang masih belum ditemui, sebagai contohnya, The Other Side of the Island iaitu di Balik Pulau dan Teluk Bahang dan The Opposite Side of the Island iaitu di Seberang Perai. Lokasi-lokasi ini dipenuhi dengan alam semula jadi dan taman tema berasaskan pertanian dengan bumi subur luas dan menghijau. Selain itu, tarikan baharu Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Fort Cornwallis, dan Muzium Negeri Pulau Pinang yang dinaik taraf sedia menawarkan pengalaman yang menakjubkan kepada para pelancong. Produk-produk pelancongan sedia ada juga akan dipertingkatkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengalu-alukan kehadiran pelancong ke Pulau Mutiara ini.
  1. Selain itu, Gurney Bay sebuah taman pinggir laut yang terancang bakal menjadi sebagai ‘Iconic Waterfront Destination’ dengan cadangan konsep pelan induk yang merangkumi empat bidang dan ciri kesenjangan iaitu, Seaside Retail F&B, Water Gardens, Beach dan Coastal Grove. Projek tersebut yang dianggarkan bernilai RM221.0 juta akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2025.
  1. Kerajaan Negeri juga telah menerima peruntukan sebanyak 0 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pemuliharaan dan pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Keutamaan peruntukan ini adalah untuk mengukuhkan nilai keunggulan sejagat Tapak Warisan Dunia melalui komponen projek seperti insentif pembaikan dan pemuliharaan bangunan warisan Kategori I dan II, penyediaan lukisan terukur bagi bangunan Kategori I, penyediaan laporan kajian dilapidasi dan pernyataan tatacara kerja bagi bangunan Kategori I, penaiktarafan laluan kaki-lima, menaik taraf sistem pencarian jalan (wayfinding systems), projek pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti terhadap warisan budaya, projek pembinaan kapasiti warisan budaya tidak ketara berasaskan komuniti, pelaksanaan aktiviti warisan kebudayaan dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan pelaksanaan projek-projek lain.

 

 

 

 

BELIA DAN SUKAN

 

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah membangunkan pelbagai program belia dan sukan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Langkah ini adalah selaras dengan Dasar Belia untuk Masa Depan (Youth for Future) yang menekankan kepada pembangunan holistik belia daripada sudut pembangunan sosial, ekonomi dan diri. Sejajar dengan harapan ini, program Youth Entrepreneurship Challenge (YEC) yang telah diadakan sejak tahun 2020 telah berjaya melahirkan seramai 546 usahawan belia di negeri ini. Program ini turut memberi manfaat dalam memperkasakan idea-idea keusahawanan melalui khidmat bimbingan dan nasihat daripada usahawan-usahawan yang berjaya. PYDC dalam pada itu turut menjalinkan kerjasama yang erat dengan pelbagai agensi, pemain industri, dan juga pertubuhan keusahawanan termasuk Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Penang Chinese Chamber of Commerce Young Entrepreneur Section (PCCC YES), Malaysian Indian Chamber of Commerce and Industry (MICCI), dan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) untuk memberi bimbingan dan panduan berkaitan dengan bidang keusahawanan kepada golongan belia di negeri ini.
  1. PYDC juga telah menganjurkan acara perdana secara tahunan iaitu International Youth Conference yang mana melibatkan golongan belia tempatan dan antarabangsa. Golongan belia yang terlibat akan membentangkan hasil kajian dan berpeluang untuk menerbitkan kertas kajian di dalam jurnal akademik.
  1. Selain itu, Inisiatif Bakat Digital Muda Pulau Pinang (Penang Young Digital Talents) yang telah diwujudkan mulai tahun 2020 telah menarik minat seramai 5,449 individu yang berusia dari 15 tahun sehingga 35 tahun. Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang merangsang minda dengan menawarkan pengalaman yang menarik di samping mengurangkan jurang digital antara para belia dengan pemain industri dengan menggalakkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

 

 

  1. Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sukan di Pulau Pinang. Sehubungan dengan itu, inisiatif ‘Penang Junior Coaches’ telah diwujudkan untuk memangkin usaha penjanaan jurulatih-jurulatih muda negeri yang dibuka khas kepada atlet-atlet SUKMA Negeri Pulau Pinang. Inisiatif ini telah berjaya mendidik sebanyak 88 atlet sedia ada dan bekas atlet negeri untuk berkecimpung dalam bidang kejurulatihan.
  1. Manakala, inisiatif ‘Penang Junior Champions’ telah berjaya mendidik sebanyak 700 atlet muda yang berusia antara 7 hingga 12 tahun melalui enam (6) jenis sukan di semua daerah di Pulau Pinang. Antara aktiviti dan program di bawah inisiatif ini adalah seperti mengadakan kelas-kelas latihan sukan yang dikendalikan oleh jurulatih ‘Penang Junior Coaches’ bagi mencari pelapis-pelapis baharu di dalam sukan berprestasi tinggi negeri.

AGROTEKNOLOGI DAN KESELAMATAN MAKANAN

Dato’ Speaker,

  1. Pembangunan sektor pertanian terus dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2025 di mana objektif pembangunan subsektor agromakanan ialah memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan. Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, TKPM Mayfield, Taman Agro Batu Kawan (Juru) dan Taman Pertanian (Agropark) Permatang Pauh merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu ke arah memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
  1. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkat hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program-program pengembangan serta projek pembangunan Walaupun begitu, momentum pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada beberapa faktor seperti sosioekonomi dan perkembangan teknologi pertanian. Pada tahun ini, Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.92 juta daripada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan 16 projek dan program pembangunan pertanian dengan 14 daripadanya telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu para petani, usahawan Industri Asas Tani (IAT) dan belia tani. Manakala dua (2) projek lagi adalah untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur pengoperasian jabatan. Bagi tahun 2024, Jabatan Pertanian Negeri akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.93 juta bagi meneruskan projek-projek ini.
  1. Melalui inisiatif dan peruntukan yang telah diberikan pada tahun-tahun sebelum ini, Pulau Pinang telah merekodkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi dalam negara selama enam (6) tahun berturut-turut iaitu sejak tahun 2018 sehingga 2023. Meskipun berhadapan dengan pelbagai isu seperti masalah tanah jerlus, kekurangan tanah pertanian, kenaikan harga benih padi dan serangan serangga perosak, pencapaian tahap sara diri (SSL) bagi padi di Pulau Pinang masih berjaya dikekalkan pada paras lebih 60 peratus. Pada tahun 2021, tahap sara diri (SSL) bagi padi telah dicatatkan pada 63.71 peratus manakala tahun 2022 pada 61.56 peratus.
  1. Subsektor makanan pertanian terus dijadikan sebagai tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda dalam meningkatkan keterjaminan makanan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada barisan hadapan Bagi merealisasikan hasrat ini, pelbagai langkah dan tindakan sedang dilaksanakan seperti memperkukuhkan rantaian bekalan makanan, menambahkan sokongan serta perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi serta menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik melalui Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganik). Usaha-usaha ini secara tidak langsung bertujuan meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan melalui peningkatan produktiviti pengeluaran tanaman di negeri ini.
  1. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan generasi muda dan belia dalam mempelopori aktiviti dan perusahaan pertanian. Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian pada masa kini perlu diketengahkan yang bukan sahaja dapat membantu dengan penjanaan pendapatan yang lebih baik malah demi memperkasa agenda keterjaminan makanan negeri ini. Menyedari kepentingan golongan belia dalam bidang pertanian, Kerajaan Negeri telah menyediakan dua (2) program iaitu Program Petani Pelapis dan Program Tabung Usahawan Tani dalam memperkasakan peranan belia negeri ini dalam sektor pertanian di negeri ini.
  1. Program Pembangunan Petani Pelapis menjadi landasan penting dalam melibatkan penyertaan golongan belia di negeri ini sebagai usahawan tani muda melalui pembinaan keupayaan (capacity building) yang dijalankan secara latihan, taklimat, jerayawara (roadshow), seminar dan sebagainya. Pembinaan keupayaan program ini juga disokong dengan bantuan dalam bentuk peralatan atau jentera, input pertanian dan pembangunan infrastruktur yang disediakan melalui program ini.
  1. Program Tabung Usahawan Tani (TUT) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri telah membantu golongan belia di negeri ini melalui pinjaman mudah sebanyak RM6,000.00 yang perlu dibayar semula oleh belia dalam tempoh dua (2) tahun tanpa sebarang faedah. Pinjaman dalam bentuk modal ini adalah bertujuan memperkembangkan lagi bidang keusahawanan para belia, sementara pendekatan pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) dalam bentuk teknologi pertanian dan khidmat nasihat kepada peserta TUT terus diberikan oleh Jabatan Pertanian secara percuma. Sehingga kini, bilangan penerima bantuan pembiayaan bagi subsektor tanaman dan industri asas tani adalah seramai 195 penerima dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.09 juta.
  1. Program Farmer to Farmer turut diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup atau kos sara hidup keluarga tani dengan menyasarkan golongan-golongan seperti wanita-wanita tani, warga emas tani, belia-belia tani mahupun komuniti tani di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri. Melalui program agroteknologi ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang disasarkan ini untuk menjana pendapatan yang lebih baik, mampan atau self-sustainable. Bagi meneruskan kesinambungan program ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 pada tahun ini kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.
  1. Dasar dan hala tuju Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (JPV) sentiasa memberi penumpuan kepada pembangunan sektor ternakan melibatkan komoditi ternakan utama serta industri hiliran berasaskan ternakan bagi memastikan keperluan makanan dari sudut jaminan (security) dan keselamatan (safety) adalah di tahap yang tertinggi. Pembangunan sektor ternakan ini perlu senantiasa dibangunkan secara dinamik bagi membolehkan sumber makanan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang sentiasa tersedia (available), mudah didapati (accessible) dan mampu dimiliki (affordable).
  1. Namun begitu, cabaran utama dalam pembangunan industri penternakan pada masa kini seperti peningkatan kos pengeluaran yang disebabkan oleh kenaikan harga makanan ternakan serta kekurangan sumber tenaga kerja buruh asing perlu ditangani secara bersepadu antara semua pihak berkepentingan. Kebergantungan sumber bahan mentah makanan ternakan dari luar negara serta kurang minat tenaga kerja tempatan dalam bidang pertanian dan pengaruh daripada pertukaran mata wang asing akan memberikan kesan jangka panjang kepada pertumbuhan keseluruhan industri penternakan untuk terus mampan dan berdaya
  1. Sebanyak tiga (3) komoditi penternakan telah mencatatkan kadar sara diri (SSR) melebihi 100 peratus bagi tahun 2021 dan 2022 iaitu ayam, itik dan babi. Pengeluaran ayam dan itik pada tahun 2021 adalah sebanyak 76,553.94 tan metrik iaitu SSR sebanyak 113.27 peratus, meningkat kepada 93,921.02 tan metrik iaitu bersamaan 139.11 peratus SSR pada tahun 2022. Bagi aspek pengeluaran ladang, Nilai Hasil Ternakan (NHT) sejak tahun 2018 telah mengekalkan perolehan melebihi RM900.0 juta pada setiap tahun. Pengeluaran NHT pada tahun 2022 berjumlah RM1.99 billion iaitu peningkatan sebanyak RM459.77 juta dari NHT 2021 yang berjumlah RM1.53 billion. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh beberapa peningkatan produktiviti ternakan bagi komoditi utama seperti daging lembu dan kerbau, daging kambing dan bebiri, telur ayam dan itik dan peningkatan harga semasa.
  1. Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri melalui JPV akan terus menggembleng tenaga dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mahupun program yang menyokong kepada pengukuhan pengeluaran ternakan di negeri ini. Sebanyak 6 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada JPV pada tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan pengeluaran ternakan demi membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi di negeri ini.
  1. Pulau Pinang menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur tertinggi dalam negara yang mana mencatatkan nilai berjumlah 2 juta pada tahun 2022. Secara keseluruhannya sebanyak RM1.18 bilion hasil diperoleh melalui sektor perikanan di Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022.
  1. Bagi merancakkan industri akuakultur di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bagi mempergiatkan industri kerang di negeri ini. Penternakan kerang boleh membantu untuk mempelbagaikan sumber protein dan pengeluaran makanan di negeri ini. Kerang boleh dijadikan sebagai sumber protein alternatif bagi menggantikan ikan dan daging kepada para pengguna. Pengeluaran kerang di Negeri Pulau Pinang sehingga bulan September tahun ini adalah sebanyak 130.63 metrik tan dengan nilai pengeluaran (harga borong) dianggarkan sebanyak 3 juta. Pada masa kini, terdapat seramai 141 peserta penternak kerang bagi Fasa 1 dengan keluasan 1,050 hektar di Seberang Perai, Pulau Pinang.
  1. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan khususnya melibatkan golongan nelayan di Pulau Pinang. Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri adalah melalui Program Bantuan Pukat yang telah diperkenalkan sejak tahun 2013. Inisiatif ini adalah bagi membantu nelayan di negeri ini untuk meningkatkan hasil tangkapan dan menambahkan sumber pendapatan mereka.
  1. Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri telah meneruskan Program Bantuan Pukat dengan pemberian bantuan pukat sebanyak RM400.00 secara sekali bayar atau one-off kepada 4,037 nelayan membabitkan kos sebanyak 6 juta. Jumlah ini adalah merangkumi seramai 3,710 nelayan laut dan 327 nelayan sungai yang berlesen dan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kewangan Negeri dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dalam membantu menjayakan program ini.

PERUNTUKAN BAJET MENGURUS DAN PEMBANGUNAN 2024

Dato’ Speaker,

  1. Bajet 2024 disediakan berdasarkan prinsip outcome dengan menitikberatkan keberhasilan kepada setiap perancangan negeri demi kesejahteraan rakyat. Walaupun menyedari limitasi kemampuan fiskal negeri yang memperlihatkan jurang defisit yang semakin melebar, Kerajaan Negeri tetap komited merangka dan melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosio ekonomi negeri dan seterusnya memastikan Visi Penang2030 berada pada landasan yang betul.
  1. Tujuan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM1,011,170,179.00 (Ringgit Malaysia: Satu Billion, Sebelas Juta, Seratus Tujuh Puluh Ribu, Seratus Tujuh Puluh Sembilan) untuk dua puluh (20) jabatan bagi tahun 2024, seperti mana perincian pada Risalah Bilangan 7 Tahun 2023. Selain itu, peruntukan berjumlah RM36,434,356.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Enam Juta, Empat Ratus Tiga Puluh Empat Ribu, Tiga Ratus Lima Puluh Enam) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan bagi tiga (3) jabatan mengikut Undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM1,047,604,535.00 (Ringgit Malaysia: Satu Billion, Empat Puluh Tujuh Juta, Enam Ratus Empat Ribu, Lima Ratus Tiga Puluh Lima).
  1. Oleh itu, Perbelanjaan Mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2024, iaitu sebanyak 047 billion menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.13 juta berbanding tahun 2023. Peningkatan Perbelanjaan Mengurus tahun 2024 antara lain disebabkan oleh komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempergiat program-program yang berorientasikan rakyat, selain mengimbangi keperluan projek-projek pembangunan negeri.
  1. Di bawah peruntukan Mengurus 2024, sejumlah 90 juta adalah bagi Emolumen, RM214.37 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM3.38 juta untuk perolehan Aset, RM622.59 juta bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.36 juta disediakan untuk Perbelanjaan- perbelanjaan Lain.
  1. Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 43 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Mengurus. Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, sejumlah RM110.45 juta bagi program-program kebajikan negeri termasuk iSejahtera dan RM98.50 juta bagi penyediaan geran kepada anak-anak syarikat, badan berkanun negeri dan lain-lain agensi. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am secara dasarnya adalah bagi menampung keperluan kenaikan gaji tahunan, kenaikan kos bekalan dan keperluan menggantikan harta modal yang tidak lagi ekonomik.
  1. Peningkatan belanja mengurus ini adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan secara berhemat. Buktinya, sehingga 15 November 2023, perbelanjaan mengurus sebenar adalah sebanyak 20 juta dan dijangka jauh berkurang berbanding unjuran perbelanjaan mengurus tahun 2023 sebanyak RM989.47 juta.
  1. Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2024 adalah berjumlah RM533,077,255.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Tiga Puluh Tiga Juta, Tujuh Puluh Tujuh Ribu, Dua Ratus Lima Puluh Lima) iaitu pertambahan sebanyak 73 juta atau 2.05 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 sebanyak RM522.35 juta.
  1. Komposisi hasil tahun 2024 terdiri daripada hasil cukai 91 juta atau 31.50 peratus, hasil bukan cukai RM277.92 juta atau 52.13 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM87.24 juta atau 16.37 peratus. Peningkatan utama hasil sebanyak RM10.73 juta yang dijangkakan pada tahun 2024 adalah disebabkan oleh peningkatan unjuran hasil cukai, terutama cukai langsung dan juga hasil bukan cukai. Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri dari semasa ke semasa. Sebagai makluman Dato’ Speaker, sehingga 15 November 2023, Kerajaan Negeri telah mengutip sejumlah RM496.17 juta hasil secara keseluruhan.
  1. Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2024 berjumlah RM533.08 juta berbanding Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM1,047.60 juta, akan menjadikan Bajet 2024 mengalami defisit sebanyak 53 juta. Nilai defisit ini bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding dengan defisit tahun 2023 yang berjumlah RM467.12 juta. Namun mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan. Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Bajet 2024 akan dibiayai daripada rizab kerajaan negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November 2023.
  1. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri komited dan serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi lain-lain sumber demi terus memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh. Antaranya, menerusi liputan atas talian media perdana, Bernama pada 15 November 2023 bertajuk ‘Petronas maps hydrocarbon potential near Langkasuka Basin’, eksplorasi dan pemetaan hidrokarbon seismic membabitkan sumber minyak serta gas yang berkualiti tinggi kini sedang dijalankan di perairan Pulau Pinang, dan ia dijangka selesai pada penghujung tahun ini. Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa syarikatminyak dan gas multinasional negara yang merupakan pihak yang melaksanakan kajian berkaitan akan membentangkan hasil penemuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang kelak.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri turut terangsang untuk mencari pendekatan sebagaimana Kerajaan Persekutuan dalam menuju kepada Peralihan Tenaga Boleh Baharu (TBB). Walaupun sistem bekalan elektrik semasa yakni sistem grid mendominasi secara keseluruhan membabitkan pelbagai sektor, perancangan sumber baharu seperti ‘solar fotovoltaic’ (battery storage), hidrogen serta beberapa sumber bekalan tenaga ke arah mencapai tenaga hijau turut berada dalam perancangan. Kerajaan Negeri turut merancang untuk membina ladang solar, solar terapung (floating solar) dan solar atas bumbung di lokasi-lokasi strategik pada tempoh tahun 2024 sehingga 2030 bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan menggunakan pendekatan TBB membabitkan lokasi-lokasi industri padat. Bagi premis kerajaan, pelaksanaan pemasangan solar atas bumbung juga bakal dilaksanakan pada tempoh sama dengan sasaran penjimatan 30 hingga 40 peratus bil elektrik berbanding kini.
  1. Dalam bidang hartanah, sains dan teknologi, anak serta syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) digalakkan untuk terus menerokai sumber-sumber baharu dan diberi hala tuju baharu supaya lebih bersifat ‘Enterprises Agencies’. Penekanan ini tertumpu dengan meningkatkan ‘capacity building’ dalam kalangan pegawai-pegawai dilatih supaya dalam tempoh lima (5) tahun kemudian, sektor berkenaan dapat membawa peningkatan pulangan demi merealisasikan gagasa Visi Penang2030.
  1. Bajet Pembangunan Tahun 2024 yang dicadangkan adalah berjumlah RM374,718,160.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Tujuh Puluh Empat Juta,Tujuh Ratus Lapan Belas Ribu, Seratus Enam Puluh) bagi sembilan (9) jabatan negeri seperti perincian di Risalah Bil. No. 7 Tahun 2023. Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan ini adalah melibatkan punca negeri sebanyak 12 juta dan pemberian Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM21.60 juta. Bajet Pembangunan tahun 2024 adalah meningkat sebanyak RM47.96 juta atau 14.68 peratus, berbanding tahun 2023 yang berjumlah RM326.76 juta.
  1. Peruntukan pembangunan tertinggi adalah disediakan di bawah Vot P01 berjumlah 76 juta. Bajet ini merangkumi peruntukan bagi projek Gurney Bay berjumlah RM80 juta, Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang berjumlah RM15.3 juta, PTMP berjumlah RM21.23 juta, Pembangunan Rancangan Perumahan Murah berjumlah RM6 juta, Projek Khas Ekonomi berjumlah RM15.05 juta dan lain-lain projek pembangunan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pinjaman kepada PDC bagi menampung sebahagian kos projek GBS By The Sea berjumlah RM15 juta di bawah Vot P01 pada tahun 2024.
  1. Kerajaan Negeri berjanji akan meneruskan amalan tadbir urus berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bagi mengekalkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepimpinan yang bersih dan dinamik.

PENJAWAT AWAM JENTERA PEMBANGUNAN NEGERI

 

Dato’ Speaker,

  1. Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan secara berkesan. Sebagai apresiasi dan penghargaan kepada penjawat awam negeri, saya meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak xxxxx, minimum RMxxx. Bayaran BKK ini melibatkan 3,867 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RMxxxxx.
  1. Di samping itu, seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian sebanyak RMxxxxx seorang akan disalurkan kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Guru serta Staf Sekolah Persendirian Cina. Pemberian sebanyak RMxxxxx ini juga turut dipanjangkan kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RMxxxxx. Bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember 2023.

 

HARAPAN KERAJAAN NEGERI

 

Dato’ Speaker,

 

  1. Saya sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri beriltizam dalam meneruskan aspirasi dan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan pada hari ini serta semua anggota perkhidmatan awam akan terus tekad dan berdiri teguh di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh berintegriti demi menjamin kedaulatan dan kemakmuran negeri ini agar seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang akan terus bernafas dalam sejahtera, aman dan bahagia.

PENUTUP

  1. Pada kesempatan ini, saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak atas kepercayaan serta sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan ini. Semoga seluruh jentera pentadbiran negeri dapat terus menggembleng tenaga dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri dan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Negeri Pulau Pinang.
  1. Sesungguhnya, atas semangat “bersatu teguh, bercerai roboh”, saya percaya serta yakin, kesetiaan dan penggemblengan tenaga secara bersepadu daripada seluruh rakyat Pulau Pinang, Visi Penang2030 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sekian, Dato’ Speaker,

Saya mohon mencadangkan.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang