MAJLIS PERASMIAN GEORGE TOWN GETTING TO ZERO 2023

TEKS UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN GEORGE TOWN GETTING TO ZERO 2023

 

25 NOVEMBER 2023 (SABTU) | 12.30 PM


1ST AVENUE MALL, GEORGE TOWN

 

Yang Berhormat Daniel Gooi Zi Sen

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan

Yang Berhormat Teh Lai Heng

ADUN Komtar

Yang Berusaha Tuan Rosli bin Halim

Pegawai Daerah Timur Laut merangkap Pengerusi George Town Getting To Zero

Yang Berusaha Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Dr. Rozaini binti Mat Shah

Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut Pulau Pinang,

Tan Sri / Puan Sri / Dato’ / Datin

Ketua-Ketua Jabatan, wakil-wakil agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan

Barisan ahli Jawatankuasa George Town Getting To Zero

Rakan-rakan media serta hadirin yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani

Terlebih dahulu, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas peluang dan ruang yang diberikan untuk kita bersama-sama berkumpul bersempena Majlis Pelancaran George Town Getting To Zero (GTGTZ) pada hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini, yang terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan dan negeri, agensi bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam. Semua pihak yang saya nyatakan tadi telah sama-sama mengembleng tenaga dalam memulakan dan melaksanakan langkah murni ini iaitu berhubung usaha pengawalan serta pencegahan jangkitan HIV dan penyakit AIDS di Pulau Pinang secara amnya, dan Daerah Timur Laut secara khususnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Jangkitan HIV dan penyakit AIDS masih lagi menjadi suatu isu kesihatan awam global di seluruh dunia dan tidak terkecuali, di Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengambil berat terhadap isu ini dan lazimnya menyokong program-program seperti ini demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat negeri Pulau Pinang. Langkah ini juga merupakan tonggak penting dalam mencapai Visi Penang 2030 dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang sihat dan berdaya tahan. Dengan usaha bersama menuju “sifar jangkitan baru HIV” menjelang tahun 2030, kita bukan hanya memastikan kesihatan individu, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosial yang komprehensif di negeri ini.

Seperti yang disebut oleh YB Exco sebentar tadi, sebanyak 70.2 peratus daripada kes jangkitan HIV baru adalah melibatkan golongan muda dalam kumpulan umur daripada 13 hingga 39 tahun. Perkara ini sangat membimbangkan di peringkat Kerajaan Negeri kerana hakikatnya, golongan muda adalah masa depan negara. Dengan jangkitan kes COVID-19 yang kian meningkat bersama penyakit-penyakit lain yang turut menular kini, usaha bagi meminimakan seterusnya mencapai kadar sifar jangkitan HIV adalah amat penting demi memastikan pemeliharaan generasi yang sihat demi membina sebuah tamadun masyarakat Madani.

Hadirin sekalian,

Saya sedar, stigma serta diskriminasi masih menjadi halangan besar dalam mencapai kesejahteraan kesihatan individu dan masyarakat, terutamanya apabila melibatkan jangkitan HIV serta AIDS. Individu yang mengalami stigma dan diskriminasi akan terdedah kepada risiko halangan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta penangguhan rawatan yang mampu memberikan kesan negatif dalam kesejahteraan mental dan juga emosi. Saya juga sedar bahawa pembawa HIV juga akan mengalami pemisahan sosial dalam kalangan masyarakat atau komuniti yang akan merencatkan proses perawatan dan pemulihan sosial dalam kalangan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA).

Oleh yang demikian, saya amat berbangga dengan pelaksanaan GTGTZ ini yang merupakan satu inisiatif murni bagi mengatasi impak stigma dan diskriminasi melalui pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan serta galakan budaya inklusif dalam masyarakat, yang seterusnya diharapkan dapat meruntuhkan stereotaip dan mencipta persekitaran yang mana ODHA merasa diterima dalam masyarakat.

Maka dengan itu, besarlah harapan saya agar inisiatif GTGTZ ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak, tidak kira daripada sektor awam, sektor swasta mahupun masyarakat awam di negeri Pulau Pinang.

Komitmen dan tekad semua pihak melalui usaha kolektif, termasuk memperkasa rakyat sebagai ejen kesihatan amat diperlukan untuk kejayaan inisiatif GTGTZ ini. Ianya penting bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat mengenai jangkitan HIV, langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta rawatan ke arah mengakhiri jangkitan HIV dan penyakit AIDS menjelang tahun 2030. 

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga penganjur serta jawatankuasa-jawatankuasa GTGTZ atas usaha dan komitmen tinggi yang dipamerkan dalam menjayakan program ini.

Besarlah harapan saya agar langkah murni melalui GTGTZ ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak, tidak kira daripada sektor awam, sektor swasta mahupun masyarakat awam di negeri Pulau Pinang ke arah mengakhiri HIV/ AIDS menjelang tahun 2030. 

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran George Town Getting To Zero di George Town, Daerah Timur Laut Pulau Pinang. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang