PESTA PERAYAAN PONGGAL PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI PESTA PERAYAAN PONGGAL PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017
5.30 petang, 21 Januari 2017 (Ahad)
Kuil Dewi Sri Annai Thropathi Amman, Nibong Tebal
Selamat petang, vanakkam dan Ponggal Nal Valthukal. Ponggallo! Pongallo!
Saya amat gembira kerana dapat berada bersama-sama dengan para hadirin sekalian bagi menyambut Pesta Perayaan Ponggal Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2017 anjuran Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang buat pertama kali di Seberang Perai Selatan iaitu di Kuil Dewi Sri Annai Thropathi Amman. Saya mengucapkan syabas kepada Lembaga Wakaf Hindu kerana sedang membantu Jawatankuasa Kuil Thropathi Amman dalam projek pembinaan bangunan baru Kuil ini.
Atas prestasi pentadbiran dan pengurusan kewangan yang cemerlang sejak tahun 2008, Jawatankuasa Kuil Thropathi Amman telah menghadap dan memohon bantuan Lembaga Wakaf Hindu Negeri.
Para hadirin sekalian, Daerah Seberang Perai Selatan sedang mengalami transformasi yang besar disebabkan tumpuan pembangunan sosio-ekonomi yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri. Kawasan Nibong Tebal akan mengalami perubahan yang signifikan pada masa yang terdekat disebabkan pembangunan yang pesat di kawasan Batu Kawan. Projek pembangunan bercampur Aspen Vision City dengan Gedung IKEA, Universiti KDU College baru, kilang-kilang Boston Scientific, Bose dan Robert Bosch serta Penang International Tech Park akan bertapak di Batu Kawan tidak lama lagi. Pusat membeli belah Penang Design Village yang bernilai RM250 juta telah pun mula beroperasi di Batu Kawan. Penarikan projek dan pelaburan baru akan menjadikan Batu Kawan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang pada masa akan datang.
Kerajaan Negeri telah berjaya menggunakan konsep negeri berkeusahawanan dan berkebajikan untuk menjalankan transformasi di Pulau Pinang. Lihatlah – sejak 2008, sebanyak RM400 juta wang tunai telah diberikan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang. Macam mana Kerajaan Negeri mampu bayar wang RM400 juta yang tidak diberikan oleh Kerajaan lama. Sungguhpun tidak mendapat wang daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mampu kerana dengan keprihatinan beginilah Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM 500 juta untuk tujuan pembangunan rumah-rumah mampu milik bagi rakyat Pulau Pinang. Negeri Pulau Pinang akan terus memajukan sektor pembuatan dan pelancongan untuk menjadikan Pulau Pinang tapak pilihan pelabur dan pelancong. Ini adalah satu visi yang realistik. CNN telah pun menamakan Pulau Pinang sebagai bandar kedua yang terbaik di dunia untuk dilawati pada tahun 2017.
Para hadirin sekalian, “Thai Piranthaal Vali Pirakkum” Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB. Prof. Dr. P. Ramasamy dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang telah menganjurkan Pesta Ponggal Kerajaan Pulau Pinang 2017 dengan penuh jayanya. Saya juga berterima kasih kepada kesemua yang hadir pada pagi ini untuk memeriahkan sambutan kita.
Sekian, Terima Kasih. Nandri. Ponggal Nal Valthukal.