MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017
18 FEBRUARI 2017
SP ARENA, SEBERANG JAYA
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajjah Majimor binti Shariff kerana sudi bersama-sama meluangkan masa bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 pada malam ini.
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran tetamu jemputan yang terdiri dari Konsul-konsul dan Konsul Kehormat, Ketua Agensi-agensi Kerajaan, Badan Berkanun, dan juga NGO-NGO serta masyarakat sekitar khususnya penduduk di Seberang Perai Utara ini yang sudi hadir bagi memeriahkan lagi majlis pada malam ini.
Tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pejabat ADUN Sungai Puyu YB Phee Boon Poh serta agensi-agensi kerajaan lain yang telah berjaya memastikan majlis ini berjalan dengan jayanya.
Sesungguhnya kita semua amat bertuah berada di sebuah negeri yang kaya dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Rakyat Pulau Pinang patut bangga apabila stesen televisyen terkemuka antarabangsa, CNN telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai tempat kedua dalam senarai 17 tempat yang paling baik di dunia untuk dilawati. Penyenaraian ini sekaligus telah melonjakkan nama Pulau Pinang ke persada antarabangsa.
Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sepanjang 8 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, lebihan Belanjawan terkumpul telah meningkat sebanyak RM574 juta berbanding hanya RM373 juta sahaja dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.
Program-program bantuan/emas hasil daripada 'dividen anti-rasuah' akan terus dilaksanakan selagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus dipilih untuk memerintah. Sepanjang 8 tahun ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM412.63 juta dan telah memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.
Terbaru, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah bersetuju untuk menanggung cukai GST yang dikenakan kepada rakyat untuk semua perkhidmatan di kedua-dua PBT ini. Ini akan menelan perbelanjaan sebanyak RM21.74 juta.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meneruskan pengecualian cukai pintu kepada semua rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah sejak tahun 2016. Untuk hartanah lain termasuk hartanah komersil, potongan cukai pintu sebanyak 6% akan diberikan. Pengecualian dan diskaun cukai pintu menelan kos sebanyak RM33.45 juta. Jumlah keseluruhan yang ditanggung untuk pengecualian dan diskaun cukai pintu serta penyerapan GST adalah sebanyak RM55.19 juta.
Bagi kawasan MBPP, sebanyak 76,790 unit rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah bakal menerima manfaat ini manakala di kawasan MPSP pula, sebanyak 107,860 unit rumah akan menerima manfaat.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Kita akan terus mempertahankan Pulau Pinang daripada pihak yang mahu menghapuskan Pulau Pinang supaya ia lenyap dan hilang daripada tanah air kita dengan menukarnya kepada Wilayah Persekutuan. Kita tidak mahu diperintah oleh Menteri yang duduk di Putrajaya. Kita akan membela hak rakyat Pulau Pinang untuk memilih ADUN, Ahli EXCO dan Ketua Menteri yang duduk di Pulau Pinang. Termasuk juga TYT Tun yang kita kasihi ini. Oleh itu kita akan menjalankan kempen menyelamatkan Pulau Pinang menerusi kasih sayang iaitu “I LOVE PENANG”, “Saya Sayang Pulau Pinang”, “我爱槟城”.
Akhir kata, dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2017, semoga majlis pada malam ini dapat menyemaikan dan mewujudkan semangat perpaduan, rasa hormat-menghormati, bertoleransi antara satu sama lain bagi rakyat di Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.