MAJLIS PERASMIAN PUSAT DIALISIS CAT MAA-MEDICARE
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT DIALISIS CAT MAA-MEDICARE
11 MAC 2017 10.30AM
RM 1.1 JUTA SELAMA 3 TAHUN UNTUK MEMBANTU PESAKIT BUAH PINGGANG
Kerajaan Negeri pada pembentangan bajet 2017 dengan tema “Ke Arah Negeri Keusahawanan dan Kebajikan” sememangnya memandang berat terhadap aspek kesihatan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasrat ini adalah bertepatan dengan tagline Safer Cleaner Greener & Healthier Penang yang dilaungkan secara konsisten dan terus ditambahbaik sejak tahun 2008.
Pada 10 Februari 2017 yang lepas, Kerajaan Negeri telah merasmikan Pusat Haemodialisis CAT Masjid At-Taqwa, Seberang Perai Utara. Program ini adalah kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan Persatuan Kebajikan Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah dan ianya merupakan kesinambungan selepas Kerajaan Negeri melancarkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Untuk makluman, kos bagi menubuhkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau adalah RM2juta. Oleh kerana kos penubuhan dan overhead yang tinggi, isitiatif secara kerjasama atau joint venture telah dipilih bagi Program Subsisid Rawatan Dialisis kerana lebih ekonomi dan cepat dilaksanakan memandangkan pusat telahpun mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Lebih membanggakan lagi, kerjasama dengan Masjid At-Taqwa telah membuka dimensi baru di mana pesakit bukan islam boleh turut mendapatkan rawatan dialisis pada harga subsidi di sana.
Tema rakyat didahulukan bukan lagi retorik di Pulau Pinang. Dengan peningkatan harga barang terutamaya komoditi utama seperti petrol, gula dan minyak masak, negeri berkebajikan terus dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Legasi Program Berkebajikan iaitu Program Subsidi Rawatan Dialisis diteruskan melalui majlis yang akan disempurnakan hari ini iaitu Majlis Perasmian Pusat Dialisis CAT MAA-Medicare, iaitu kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan MAA Medicare Charity Dialysis Centre.
Bagi kerjasama selama tiga (3) tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM1,121,160.00. Kos ini merangkumi perkara berikut:
I. Subsidi berjumlah RM30 bagi SETIAP KALI rawatan kepada pesakit yang diluluskan;
II. Bantuan kos pengurusan sisa klinikal dan bayaran Nephrologist secara lump-sum; dan
III. Bantuan penggantian 8 buah mesih dialisis yang telah lama (melebihi usia penggunaan 5 tahun).
Tuan-tuan dan puan-puan;
Penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Dengan fasiliti kesihatan di Pulau Pinang bertaraf antarabangsa dan antara yang terbaik di Malaysia, tidak ada makna sekiranya penduduk Pulau Pinang sendiri tidak pandai menghargai kesihatan. Mencegah lebih baik daripa mengubat, hargai sihat sebelum sakit.
Untuk makluman tuan puan, selain Program Subsidi Rawatan dialisis, pada Kerajaan Negeri pada tahun telah memperkenalkan program MammoPenang iaitu program pemeriksaan mammogram percuma kepada wanita berusia 35 tahun ke atas atau wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara. Sejumlah RM2 juta telah diperuntukan bagi 3 tahun pelaksanaan program. Sehingga Disember 2016, program ini telah disertai oleh 6,156 orang penduduk Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan seramai 23,000 orang pesakit pada akhir 2017. Saya mengambil kesempatan ini untuk untuk mempromosikan program bagi meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membendung wabak dari menjadi parah.
Kerajaan Negeri juga dengan kerjasama beberapa NGO berkaitan kesihatan teramasuklah Lions Club Georgetown, St John Ambulance Penang CPR Society telah melancarkan Penang Heart Safe Program pada 2015. Pada 2015, fokus adalah kesedaran kepada kepentingan pertolongan cemas dan teknik CPR di mana program Mass CPR Pulau Pinang telah diiktiraf di dalam Malaysia Book Of Record bagi penyertaan terbanyak iaitu 6,000 peserta. Pada tahun 2016, fokus Penang Heart Safe Program adalah pengenalan alat Automated External Defribillator atau AED. Kerajaan Negeri dengan Kerjasama ZOLL Corporation telah memasang 10 unit AED bernilai hampir RM100,000.00. Pulau Pinang sekali lagi mencatat sejarah perubatan dengan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memasang AED di tempat-tempat tumpuan awam. Namun begitu, kita masih jauh ketinggalan dengan negara maju seperti Singapura yang telah memasang ribuan AED di tempat-tempat awam.
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa MMK Kesihatan akan terus berinovasi dan mengenalkan program-program baharu berkaitan dengan kesihatan agar hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah medical city tercapai menjelang 2020. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan sumbangan dan penglibatan syarikat korporat untuk turut sama menyumbang dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang.
Dengan kata-kata tersebut, SAYA DENGAN INI MERASMIKAN PUSAT DIALISIS CAT MAA-MEDICARE.
Sekian, terima kasih.