Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca Kadun Sungai Pinang

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca Kadun Sungai Pinang

19 Mac 2017 (Ahad)
Lebuh Sungai Pinang 1


Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin merakam ribuan terima kasih kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim dan jawatankuasa pengelola majlis yang sudi menjemput saya merasmikan majlis yang sederhana tapi cukup bermakna pada pagi yang mulia ini.

Saya sangat gembira dan berbesar hati untuk hadir dan berjumpa dengan penduduk Bandar Sri Pinang serta penduduk-penduduk kawasan sekeliling untuk Program Pengasingan Sisa Di Punca KADUN Sungai Pinang. Ini menunjukkan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang yang lebih hijau sememangnya dipandang serius oleh masyarakat.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan 1 Jun 2017 untuk penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh negeri Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, pengasingan sisa di punca adalah suatu proses yang mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal iaitu sisa kitar semula (kertas, plastik, tin aluminium) dan sisa baki (sampah kotor, dan sisa makanan).

Tujuan utama penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang demi menjamin kesejahteraan masa depan kita semua. Antara tujuan lain adalah:

-Untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga keseimbangan ekosistem
-Untuk mengurangkan kos pengurusan sisa
-Untuk mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampah
-Untuk memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan sampah Pulau Burung

Setiap penduduk di Pulau Pinang membuang lebih kurang 1.1 kg setiap hari. Ini bermakna lebih kurang 1700-1800 tan sisa dari seluruh Pulau Pinang dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap hari. Saya difahamkan terdapat 7 buah Pihak Pengurusan/ MC/JMB di sekitar Bandar Sri Pinang yang terdiri daripada 3500 buah unit dengan anggaran seramai 15,000 penghuni.

Bayangkan 1 kg sampah dibuang oleh seorang setiap hari, maka sebanyak 15,000kg sampah (anggaran 8 lori ) yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung. Lama-kelamaan, tapak pelupusan akan penuh dan adalah sangat mencabar mencari tempat baru di tempat lain. Jika 50% dapat dikitar semulakan, maka cuma 8000 kg yang perlu diuruskan.

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukkan sebanyak RM94.27 juta dan RM101.73 juta masing-masing bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran masing-masing. Sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar baru pengasingan sisa di punca ini bermula 1 Jun 2016 sehingga akhir tahun 2016, MBPP telah berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1.59 juta manakala MPSP pula telah berjaya menjimatkan RM792,999 menjadikan keseluruhan sebanyak RM2.38 juta.

Dengan ini, saya ingin menyeru agar kita semua dapat melibatkan diri dalam program Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini. Jika pihak pengurusan/MC/JMB sudah memulakan program ini dengan menyediakan tempat/tong-tong untuk pengasingan sisa sampah, terima kasih diucapkan.

Akhir kata, saya dengan ini mengumumkan Pelancaran Program Pengasingan Sisa di Punca KADUN Sungai Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang