Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca, KADUN Sungai Pinang
Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca,
KADUN Sungai Pinang
pada 26hb Mac 2017, 9am, Medan Tengku, Jalan Tengku
Selamat pagi dan Salam Sejahtera kepada semua.
Bersyukur kita kerana dapat kita bersama berhimpun pada hari yang mulia ini untuk Sesi Sedia Mendengar 2.0 dan meraikan Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca di kawasan Sungai Pinang. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Lim Siew Khim kerana menganjurkan majlis ini dan bahagian Kerajaan Tempatan bersama MBPP yang telah memberi sokongan bagi menjayakan majlis ini.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Lim Siew Khim Adun Sungai Pinang kerana prihatin dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di sini. Selepas Lawatan Sedia Mendengar 1.0 pada bulan Ogos yang lalu YB Lim telah memohon peruntukan daripada saya untuk tujuan pembaikan dan penaiktarafan railing koridor dan tangga yang telah reput dan yang mengancam keselamatan penduduk di kedua-dua blok 1 dan 3 Medan Tengku. Syabas kita lihat kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf railing koridor dan tangga telah disempurnakan. Saya juga lihat depo sampah yang usang dan kotor telah menjadi begitu bersih canggih dengan lukisan dan slogan "Saya Sayang Pulau Pinang".
Para hadirin yang dihormati,
Setiap penduduk Negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.1 kg sampah setiap hari. Ini telah menghasilkan sampah sebanyak 1800 tan sampah yang dibuang ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal. Pengurusan sampah dan pembersihan awam menelan perbelanjaan yang tinggi yang harus dipikul oleh kedua-dua Kerajaan Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Di Negeri Pulau Pinang, pertambahan penduduk adalah sebanyak 2% setahun. Secara langsung, akan meningkatkan pertumbuhan dari segi penjanaan sampah pada setiap tahun. Namun, sejak pelaksanaan dasar pengasingan sisa mulai 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri telah berjaya mengawal pertumbuhan dari segi penjanaan sampah domestik yang dilupuskan ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Sebanyak 607.61 tan sehari dilupuskan pada tahun 2016 berbanding dengan 607.06 tan sehari pada tahun 2015 bagi kawasan pentadbiran MBPP.
Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukkan sebanyak RM94.27 juta dan RM101.73 juta masing-masing bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran masing-masing. Sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar baru pengasingan sisa di punca ini bermula 1 Jun 2016 sehingga akhir tahun 2016, MBPP telah berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1.59 juta manakala MPSP pula telah berjaya menjimatkan RM792,999 menjadikan keseluruhan sebanyak RM2.38 juta.
Para hadirin yang dihormati,
Kejayaan sesuatu sistem pengurusan sisa pepejal yang moden dan mampan bukan sahaja bergantung kepada operasi dan program yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan sahaja, tetapi juga oleh NGO, pakar swasta dan pelaksanaan Sistem Pengasingan Sisa di Punca yang lebih sistematik.
Hari ini, kita bersyukur kerana dapat sambutan daripada 8 buah pangsapuri setempat yang mengambil inisiatif untuk mengambil bahagian dalam Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca. Mereka terdiri daripada Badan Pengurusan di Medan Tengku 1, Medan Tengku 3, Mutiara Idaman 1, Mutiara Idaman 3, Taman Dato Syed Abbas, Jelutong Park, Jelutong Villa dan Mutiara Vista telah menunjukkan kerjasama dan mengambil inisiatif yang bersepadu dan strategik bagi memastikan dasar ini dapat dicapai dengan jayanya.
Dengan ini saya ingin menyeru agar kita semua dapat melibatkan diri dalam program Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini. Jika pihak pengurusan / MC / JMB sudah memulakan program ini dengan menyediakan tempat / tong-tong untuk pengasingan sisa sampah, terima kasih diucapkan.
Marilah kita menjurus pada sasaran sifar sisa yang kini diamalkan di kebanyakan negara maju dan mempraktikkan amalan hijau, zero waste dan low carbon initiative ke arah Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
Sekian, terima kasih.