MAJLIS PELANCARAN JAMBATAN BARU MERENTASI SUNGAI KERIAN, NIBONG TEBAL, SEBERANG PERAI SELATAN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
MAJLIS PELANCARAN JAMBATAN BARU MERENTASI SUNGAI KERIAN, NIBONG TEBAL, SEBERANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG
18 JUN 2017 (AHAD) 10.00 PAGI
--------------------------------------------------------------------------------------
Saya gembira untuk hadir di sini hari ini untuk melancarkan Projek Pembinaan Jambatan Baru merentasi Sungai Kerian, yang menghubungkan Taman Victoria ke Tanjung Berembang. Objektif projek ini adalah untuk menghubungkan kawasan pinggir bandar di Sungai Acheh dengan Nibong Tebal dan bandar-bandar lain untuk mewujudkan sambungan dengan projek-projek pembangunan perumahan di Jalan Victoria dan Teluk Ipil.
Pembinaan jambatan berukuran 360m ini akan menyediakan akses yang lebih cekap, selamat dan lebih baik bagi pengguna jalan raya termasuk peniaga dan pelancong yang berpotensi di kawasan itu. Projek ini dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai agensi pelaksanaan di mana PDC berperanan dalam memanggil tender dan seterusnya memantau kerja-kerja pembinaan yang mana JKR adalah pemilik projek bagi projek ini.
Projek ini telah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri melalui tender terbuka, kepada Image Façade Construction Sdn Bhd pada nilai kontrak sebanyak RM25.8 juta, selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) Negeri Pulau Pinang.
Walaupun kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri adalah tinggi, Kerajaan Negeri bersedia untuk pembinaan jambatan ini, untuk kepentingan dan kebajikan masyarakat di Taman Victoria/Tanjung Berembang, Nibong Tebal. Jambatan ini merupakan satu projek CSR Kerajaan Negeri dan boleh dinamakan sebagai The Peoples' Bridge (Jambatan Rakyat). Kontrak untuk jambatan ini bermula pada 18 Januari 2016 dan dijangka siap pada 17 Jan 2019. Kerja-kerja pembinaan buat masa ini telah mencapai tahap 42%.
Pada masa ini, terdapat satu jambatan yang sedia ada di sepanjang Laluan Persekutuan 1 yang mana tidak mencukupi untuk menampung kesesakan lalu lintas yang kerap dialami pada waktu puncak.Terdapat satu lagi jambatan yang lebih kecil merentasi Sungai Kerian tetapi khas untuk penggunaan motosikal dan pejalan kaki sahaja. Oleh itu, pembinaan jambatan ini, yang mempunyai potensi sebagai peranan logistik dan ‘economic game changer’, akan menjadi satu dorongan kepada pembangunan di kawasan ini.
Jambatan ini akan memudahkan lagi rangkaian ke hub pembuatan di Penang Science Park dan Bandar Cassia Batu Kawan, yang berkonsepkan ‘Live, Work, Play, Learn' dengan projek-projek ikonik seperti IKEA, Kolej Universiti KDU dan pembangunan bercampur lain yang masih dalam perancangan.
Kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan pembangunan seimbang di antara bahagian Pulau dan Seberang Perai. Seperti mana yang semua sedia maklum, sebanyak 77% daripada keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan untuk pembangunan di bahagian Seberang Perai melibatkan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC). Dan projek pada hari ini adalah satu daripada 77% daripada keseluruhan peruntukan tersebut.
Peratusan perbelanjaan Pembangunan Negeri (JKR, JPS, MBPP dan MPSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang bagi Pulau dan Seberang Perai untuk tempoh 2008 hingga 2016 adalah seperti berikut:
No |
Organisasi |
Pulau |
Seberang Perai |
Keseluruhan |
1 |
Pembangunan Negeri |
RM123,624,580.41 (40%) |
RM182,045,529.59 (60%) |
RM305,670,110.00 (100%) |
2 |
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang |
RM173,000,000.00 (36%) |
RM311,000,000.00 (64%) |
RM484,000,000.00 (100%) |
3 |
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang |
RM401,382,416.42 (18%) |
RM1,886,100,423.97 (82%) |
RM2,287,482,840.39 (100%) |
Jumlah Keseluruhan |
RM698,006,996.83 (23%) |
RM2,379,145,953.56 (77%) |
RM3,077,152,950.39 (100%) |
Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan tahniah kepada PDC, sebagai pengurus projek, dalam perancangan mereka dari segi sokongan infrastruktur di negeri ini, terutama di Seberang Perai, di mana pembangunan infrastruktur adalah penting untuk memartabatkan kawasan Seberang Perai sebagai hab pembangunan masa depan.
Saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Jambatan Baru Merentasi Sungai Kerian, yang menghubungkan Taman Victoria dengan Tanjung Berembang, Nibong Tebal.
Sekian, terima kasih.