MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH DAN TAMBAHAN 10 LANGKAH INTEGRITI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANGUCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH DAN TAMBAHAN 10 LANGKAH INTEGRITI

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

PADA 4 OGOS 2017 (9.00 PAGI)

BERTEMPAT DI AUDITORIUM A, KOMTAR

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi serta Anggota Pentadbiran Awam Negeri Pulau Pinang kerana dapat berkumpul bagi memperbaharui iltizam menentang dan membanteras rasuah ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas rasuah. Majlis Ikrar Bebas Rasuah dengan tambahan 10 Langkah Integriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada pagi ini atau IBR Plus 10 adalah yang pertama yang diadakan di Malaysia.

2. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad serta rombongannya. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berjaya merealisasikan majlis ini walaupun tempoh yang diberikan adalah singkat.

Hadirin sekalian,

3. Kerajaan Negeri amat menitikberatkan isu integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Negeri Pulau Pinang. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah menerima pakai 10 langkah integriti yang mencerminkan komitmen untuk menjadi negeri bebas rasuah seperti berikut:-

i. Amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus)

ii. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan ADUN

iii. Melaksanakan tender terbuka yang kompetitif

iv. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan atau berurusniaga dengan Kerajaan Negeri

v. Melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri

vi. Melindungi pemberi maklumat atau peniup wisel yang tulen

vii. Mengambil tindakan ke atas pemimpin yang hidup mewah melebihi pendapatan rasminya

viii. Telus dalam sumbangan politik

ix. Tidak menerima ‘donation’ peribadi

x. Mengambil tindakan ke atas pegawai yang melanggari kesemua di atas

4. Keberkesanan pelaksanaan 10 langkah integriti tersebut oleh Kerajaan Negeri dapat dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang memuji pengurusan kewangan Negeri Pulau Pinang yang baik dengan lebihan Belanjawan setiap tahun, penurunan hutang negeri sebanyak 90% dan tambahan rizab aset negeri sebanyak RM1 bilion sejak tahun 2008. Bukan itu sahaja, malah Negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang dipuji oleh Tansparency International kerana melaksanakan tender terbuka.

Hadirin yang dihormati,

5. Dari tahun 2008 hingga 2016, Kerajaan Negeri telah berjaya menyumbangkan lebihan Belanjawan sebanyak RM578 juta dalam tempoh 9 tahun berbanding RM373 juta yang dicapai untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957 hingga 2007. Jumlah hutang Negeri Pulau Pinang juga telah menurun sebanyak 90% sejak tahun 2008, dan adalah yang terendah di Malaysia, iaitu RM65 juta sahaja pada akhir tahun 2016 daripada keseluruhan RM17,091 juta yang dihutang oleh semua negeri, atau hanya 0.4%.

6. Ini membolehkan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Bonus Raya berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000.00 kepada semua Anggota Pentadbiran Awam Negeri diluluskan tahun ini.

7. Majlis Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap laporan media massa yang tidak betul bahawa Kerajaan Negeri ingkar menandatangani IBR ini. Ini adalah tidak berasas sama sekali. Sebenarnya pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat jelas bahawa sebarang ikrar tidak berkesan sekiranya tidak wujud 'political will' atau iltizam politik untuk bertindak ke atas mereka yang menyeleweng atau merompak khazanah negara dan rakyat. Itulah sebabnya Kerajaan Negeri memperkenalkan 10 langkah integriti tersebut agar ia disusuli dengan tindakan konkrit dan bukan sekadar menanam tebu dibibir.

8. Hari ini kita memperlihatkan gabungan atau cantuman IBR bersama dengan 10 langkah integriti ini. Sebaik Kerajaan Negeri sedar bahawa IBR ini mesti dibuat dengan sukarela daripada inisiatif Kerajaan Negeri, dan bukannya menunggu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun bertindak pantas dengan menghubungi pihak SPRM.

9. Kerajaan Negeri berharap pihak media massa tertentu tidak terus berniat jahat dengan membuat laporan fitnah dan palsu dengan menyasarkan Negeri Pulau Pinang sahaja kononnya Kerajaan Negeri ingkar menandatangani IBR apabila ada negeri lain yang masih belum menandatangani IBR tetapi tidak dilemparkan dengan laporan yang liar dan melulu seperti mana yang dilakukan terhadap Pulau Pinang.

10. Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membanteras rasuah secara ikhlas dan bukannya hendak mempolitikkannya untuk menutup skandal rasuahnya yang maha besar atau mencari pasal.

11. Kita harus mengikis persepsi negatif daripada sesetengah rakyat bahawa Kerajaan Negeri tidak akan membantu rakyat dan sebaliknya harus bersyukur sekiranya Kerajaan tidak merompak wang rakyat.

12. Kita bersyukur bahawa sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah berjaya menukar persepsi negatif ini dengan melancarkan program emas yang memberikan wang tunai RM412 juta sejak tahun 2008 kepada rakyat Pulau Pinang, merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai tunggakan hutang, dan juga satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah menyentuh satu inci pun hutan simpan kekal daripada keseluruhan 544,011 hektar hutan simpanan kekal yang sudah ditebang oleh semua negeri di Malaysia sejak tahun 2006.

13. Marilah kita belajar dan mengambil iktibar bagaimana rasuah telah merosakkan negara dan masyarakat sepertimana skandal 1MDB yang telah menjahanamkan ekonomi dan kos kehidupan rakyat biasa.

14. Sekian dan selamat melafazkan ikrar IBR demi Negeri Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa kerana Kerajaan Negeri yang bersih dan tidak makan wang rakyat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang