MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF DI BAWAH SKIM KEMENANGAN SUKAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF DI BAWAH SKIM KEMENANGAN SUKAN
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
4 OKTOBER 2017
BILIK GERAKAN, ARAS 28, KOMTAR
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan syabas dan tahniah atlet-atlet Pulau Pinang yang telah mengharumkan nama Negara dan Negeri di Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) ke-29 serta Kejohanan Sukan Paralimpik Asia Tenggara (Para Games) ke-9 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sepanjang Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur yang telah berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos 2017, Kontinjen Malaysia telah berjaya memenangi sebanyak 145 butir pingat Emas, 92 butir pingat Perak, dan 86 butir pingat Gangsa serta berjaya menjuarai kejohanan tersebut berbanding 11 negara yang mengambil bahagian.
Daripada jumlah tersebut, 41 atlet-atlet Pulau Pinang telah berjaya menyumbang sebanyak 22 pingat Emas, 13 pingat Perak dan 7 pingat Gangsa melalui sukan Memanah, Tenpin Bowling, Wushu, Ekuestrian, Gimnastik Artistik. Karate, Perahu Layar, Boling Padang, Akuatik Terjun Air, Badminton, Hoki Wanita, Hoki Lelaki, Pencak Silat, Sepak Takraw, Olahraga, Snuker & Billiard, Ragbi, dan Hoki Ais.
Bagi Kejohanan Sukan Paralimpik Asia Tenggara (Para Games) ke-9 Kuala Lumpur, 16 orang atlet paralimpik Pulau Pinang telah mewakili Kontinjen Negara dari 17 hingga 23 September 2017. Daripada jumlah tersebut, seramai 8 orang atlet luar biasa ini [it is a hashtag #AtletLuarBiasa popularly used throughout the Para Games] telah berjaya mengumpul sebanyak 12 pingat emas, 7 pingat perak dan 2 pingat gangsa daripada sejumlah 90 pingat emas, 85 pingat perak dan 83 pingat gangsa yang dimenangi oleh Kontinjen Paralimpik Negara.
Kecemerlangan atlet-atlet Paralimpik negeri Pulau Pinang di Sukan PARA KL2017 diperolehi menerusi sukpan berbasikal dalam kedua-dua acara trek dan jalan raya, Renang, Tenpin Bowling, Goalball, Boccia, dan Ping Pong.
Penganugerahan insentif kejayaan berbentuk kewangan di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada atlet-atlet yang telah berjaya merangkul pingat emas. Insentif ini diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2017 bertujuan untuk meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada atlet-atlet negeri Pulau Pinang yang mewakili negara Malaysia di sukan-sukan bertemasya peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk sukan di Malaysia.
Nilai insentif yang akan diterima oleh para pemenang pingat emas bagi Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) ke-29 serta Kejohanan Sukan Paralimpik Asia Tenggara (Para Games) ke-9 adalah seperti berikut: RM6,000 untuk acara individu, sejumlah RM6,000 dibahagikan untuk pasukan kurang daripada 5 atlet dan RM1,500 setiap atlet bagi pasukan lebih daripada 5 orang atlet.
Dengan ini, jumlah besar nilai insentif yang akan disampaikan kepada pemenang pingat emas Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) ke-29 adalah RM86,600 manakala sebanyak RM53,500 akan disampaikan kepada pemenang pingat emas Kejohanan Sukan Paralimpik Asia Tenggara (Para Games) ke-9.
Kerajaan Negeri sentiasa menitikberat kepentingnya memupuk budaya bersukan dikalangan rakyat Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga sedang giat menyediakan kemudahan asas sukan, seperti kompleks sukan dan gelanggang futsal, bola keranjang, sepak takraw dan badminton di samping membina dan menaiktaraf stadium. Ahli keluarga yang mengamalkan budaya bersukan secara tidak langsung dapat mempengaruhi anak-anak muda yang berpontesi dalam sessuatu sukan untuk berjinak-jinak dalam sukan berprestasi tinggi. Disini lahir ramai juara sukan seperti Dato' Nicol David dan Dato' Lee Chong Wei.
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet-atlet Pulau Pinang atas kecemerlangan mereka di Sukan SEA dan Sukan SEA Para 2017 baru-baru ini. Saya berharap semoga kejayaan yang dicipta dapat menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha mereka sehingga ke tahap yang tertinggi.
Sekian, terima kasih.