PINANG FIESTA: BUDAYA PINANG 2017
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PINANG FIESTA: BUDAYA PINANG 2017
19 NOVEMBER 2017
Selamat pagi dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) kerana telah berjaya menganjurkan sebuah program yang baik untuk belia di Pulau Pinang dalam bidang keusahawanan. Demi membantu golongan belia supaya menjana peluang ekonomi mereka, Pinang Fiesta 2017 telah diperkenalkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Untuk pengetahuan semua, penganjuran Pinang Fiesta kali ini merupakan penganjuran yang kedua dalam tempoh setahun ini. Melihat kepada sambutan yang hangat pada Pinang Fiesta 2017 yang pertama yang telah dianjurkan pada 31 Ogos yang lalu di Upper Penang Road dengan konsep baru. Maka Pinang Fiesta : Budaya Pinang kali ini, akan memperlihatkan keunikan budaya dan citarasa tradisional dalam bidang keusahawanan belia di Pulau Pinang. Kali ini kita bakal menikmati jualan makanan-makanan tradisional yang telah diusahakan oleh golongan belia dan saya yakin ini mampu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak kita.
Seterusnya, telah disusun pelbagai aktiviti yang menarik dan bakal memukau para pengunjung kali ini dengan kepelbagaian persembahan. Antaranya Gendang 24 Musim, persembahan kompang, tarian kebudayaan dan Mridangam india. Pinang Fiesta juga kali ini bakal diserikan lagi dengan penampilan istimewa oleh Saudara Yeap Wai Kin, pemenang 2 pingat Emas Sukan Wushu pada Sukan Sea 2017 yang lalu. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM110,000 untuk penganjuran kedua-dua fiesta ini.
Saudara dan saudari,
Kerajaan Negeri yang bersih dan bebas daripada rasuah mampu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang sihat kepada golongan belia di negeri bertuah ini. Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan program “Pulau Pinang Bangkit” bagi membantu mangsa banjir pada 4 & 5 November yang paling buruk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang dengan memberi RM700 “one off” kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa. Inilah bayaran bantuan kewangan dibayar secara besar-besaran, yang paling besar dalam Malaysia yang akan memakan perbelanjaan sebanyak RM70 juta. Pelbagai rancangan telah ditumpukan kepada golongan belia kerana kita sedar bahawa mereka ini merupakan bakal pentadbir di masa hadapan.
Saya menjemput semua warga Pulau Pinang untuk hadir dan memeriahkan Pinang Fiesta kali ini. Maka dengan ini, saya merasmikan Pinang Fiesta : Budaya Pinang 2017.
Sekian, terima kasih.