MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENGASINGAN SISA DI PUNCA KADUN SUNGAI PINANG (JALAN PENAWAR)
Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca
21 Mac 2018 8.30 malam di Jalan Penawar
Salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim dan semua penduduk kawasan Jelutong Barat terutamanya untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca KADUN Sungai Pinang.
Ini sekaligus menunjukkan keprihatinan kita semua terhadap penjagaan alam sekitar dan pengurusan sampah yang baik.
Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan 1 Jun 2017 yang lalu untuk penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh negeri Pulau Pinang. Pengasingan sisa di punca adalah “proses mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal iaitu sisa kitar semula (kertas, plastik, tin aluminium) dan sisa baki (sampah kotor, dan sisa makanan)”
Tujuan utama penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang adalah:Untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga keseimbangan ekosistemUntuk mengurangkan kos pengurusan sisaUntuk mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampahUntuk memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan sampah Pulau Burung
Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama di Malaysia, Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi mengurangkan penghantaran sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong.
Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia, purata sebanyak 38% berbanding kadar kitar semula peringkat kebangsaan, iaitu hanya 22%. Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.2 kg sampah dan oleh itu sejumlah 1,800 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di tapak Pelupusan Pulau Burung.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukan RM103.5 juta dan RM102.17 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam. Dengan tambahan penduduk, kos pelupusan pasti meningkat. Kejayaan program ini bukan sahaja akan menahan kenaikan kos tetapi dapat mengurangkannya.
Oleh itu, salah satu cara yang dapat dilakukan bagi membantu mengurangkan kenaikan kos ini adalah dengan membantu mengurangkan jumlah sisa yang dijana dengan mempraktikkan amalan hijau seperti kitar semula dan pengasingan sampah di punca. Saya difahamkan terdapat 9 buah pangsapuri yang mengambil bahagian dalam Majlis Pengasingan Sisa Dipunca pada malam ini. Antaranya adalah seperti berikut:
a) Perbadanan Pengurusan Sri Wangsa 1
b) Perbadanan Pengurusan Sri Wangsa 2
c) Badan Pengurusan Taman Cemerlang
d) Perbadanan Pengurusan Taman Lita
e) JMB Taman Sinar Pelangi
f) Badan Pengurusan Bersama Taman Jelutong Jaya Blok 1
g) Taman Jelutong Jaya Blok 3
h) Badan Pengurusan Bersama Taman Pelangi Indah Blok 98
I) Badan Pengurusan Bersama Taman Pelangi Indah Blok 99
Kesemuanya terdiri daripada 2,500 buah unit dengan anggaran seramai 10,000 penghuni. Bayangkan 1kg sampah dibuang oleh seorang setiap hari, maka sebanyak 10,000kg sampah (anggaran 5 hingga 6 lori) perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung. Lama-kelamaan, tapak pelupusan akan penuh dan adalah sangat mencabar mencari tempat baru di tempat lain. Jika 50% dapat dikitar semula, maka cuma 6000 kg yang perlu diuruskan.
Akhir kata, saya ingin menyeru agar kita semua supaya dapat melibatkan diri dalam program Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini juga.
Saya dengan rasa bangga dan gembira, mengumumkan Pelancaran Program Pengasingan Sisa di Punca KADUN Sungai Pinang.
Sekian, terima kasih.