MAJLIS PELANCARAN “SPIRAL BICYCLE AND PEDESTRIAN BRIDGE”
MAJLIS PELANCARAN
“SPIRAL BICYCLE AND PEDESTRIAN BRIDGE”
OLEH
YAB TUAN CHOW KON YEOW, KETUA MENTERI PULAU PINANG
BERSAMA
YB TUAN LIM GUAN ENG, MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
PADA 20 MEI 2018 (AHAD), 7.00 PAGI
Dato’-Dato’/Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian
SELAMAT PAGI DAN SALAM SEJAHTERA,
Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Yang Berhomat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia kerana sudi melapangkan masa untuk menghadiri Majlis Pelancaran “Spiral Bicycle And Pedestrian Bridge” pada pagi yang bersejarah ini.
“Spiral Bicycle And Pedestrian Bridge” ini adalah satu-satunya jejantas di Negara Malaysia yang direkabentuk khas dalam bentuk lingkaran untuk memenuhi keperluan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam kawasan pembinaan yang terhad untuk menyeberangi lebuhraya.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih ke atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan menghadiri Majlis pada pagi ini.
Para Hadirin yang dihormati sekalian,
Sejak Kerajaan Negeri mengambil alih pemerintahan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, banyak usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menggalakkan penggunaan basikal dengan hasrat untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berbasikal. Sehubungan ini, Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri dan MBPP pada tahun 2010. Dalam pelan induk tersebut, lebih kurang 180 km laluan basikal telah dirancang untuk disediakan secara berperingkat di bahagian Pulau, Pulau Pinang menjelang tahun 2020. Kini, 95% daripada laluan basikal dalam pelan induk ini atau 171 km laluan basikal telah berjaya disediakan.
Salah satu laluan utama yang dikenalpasti dalam Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang ‘Coastal Cyling Route’ dari Tanjong Tokong melalui George Town ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Perancangan laluan ini telah diperluaskan untuk menghubungkannya ke kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Bandar Bayan Baru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Sebahagian besar laluan berkenaan adalah laluan basikal kategori satu (1), iaitu laluan basikal yang disediakan secara berasingan dengan jalan raya yang lebih selamat serta selesa digunakan oleh penunggang basikal dan pejalan kaki. Setakat ini, 37.3 kilometer daripada 39.3 kilometer jauh atau 95% laluan basikal ‘Coastal Cyling Route’ telah disiapkan.
Spiral bicycle and pedestrian bridge di Queensbay, Bayan Baru merupakan satu komponen untuk merealisasikan ‘Coastal Cyling Route’ di persisiran pantai timur pulau. Kekangan ruang tanah di tapak serta usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang berbasikal dan menikmati pandangan indah dari Spiral Bridge telah membuahkan idea dalam perancangan bentuk jambatan ini. Spiral bridge merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di depan kilang Intel berserta 2 buah jambatan yang telah dibina merentangi Sungai Nibong Kecil dan Sungai Ara adalah bernilai RM8.9 juta yang dibiayai oleh MBPP. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada Julai 2016 dan akan disempurnakan pada hujung bulan ini.
Para Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain daripada projek ini, terdapat dua projek laluan basikal juga telah disiapkan pada tahun ini iaitu:
- Membina Dan Menaiktaraf Laluan Basikal Dan Pejalan Kaki Dari Straits Quay Ke Padang Kota Lama sepanjang 7.1 km dengan kos sebanyak RM 3.7 juta.
- Membina Dan Menaiktaraf Laluan Basikal Dan Pejalan Kaki Dari Queensbay Ke Bayan Baru sepanjang 3.9 km dengan kos sebanyak RM 3.78 juta.
Kesemuanya, jumlah kos projek yang terlibat untuk membiayai ketiga-tiga projek ini adalah RM16.38 juta.
Di samping itu, sistem perkongsian basikal (Link Bike) dengan jumlah 25 stesen telah dibina di kawasan George Town, Tanjong Tokong dan Bayan Baru pada tahun 2017. Ini telah memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan para pelancong untuk menggunakan basikal di Pulau Pinang. Bagi meningkatkan bilangan pengguna basikal di Bayan Baru, stesen-stesen Link Bike telah dipasang di Queensbay Mall dan kawasan Gold Coast. Selain itu, stesen Link Bike juga akan dibina di dalam kawasan Kilang Intel yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Intel untuk menggalakkan penggunaan basikal oleh pekerja syarikat tersebut. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Intel dan berharap lebih banyak pihak pengurusan kilang-kilang di Zon Perindustrian Bayan Lepas akan menyahut seruan Kerajaan Negeri.
Para Hadirin yang dihormati sekalian,
Penggunaan basikal untuk perjalanan harian, riadah dan pelancongan telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri dan MBPP. Ini jelas terbukti daripada peningkatan bilangan kedai yang menjual dan menyewa basikal serta bilangan penunggang basikal yang mengambil bahagian dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan MBPP.
Oleh kerana sambutan dan permintaan penduduk adalah sangat menggalakkan dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan basikal yang mesra alam dan sihat, maka Kerajaan Negeri akan terus meluaskan rangkaian laluan basikal untuk kemudahan, keselesaan dan keselamatan penunggang basikal. Perancangan juga sedang dibuat untuk menyediakan laluan basikal di kawasan resab sungai dan mewujudkan trek-trek bukit.
Sebenarnya, menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Berbasikal adalah impian mantan Ketua Menteri Pulau Pinang dan beliau gemar berbasikal apabila mempunyai masa. Beliau telah banyak berjasa kepada Pulau Pinang dan pencapaian beliau akan dikenang selama-lamanya. Kerajaan Negeri akan memastikan halatuju yang ditetapkan oleh beliau akan diteruskan serta impian beliau untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah Negeri Berbasikal menjadi satu kenyataan tidak lama lagi.
Untuk mengakhiri ucapan saya, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhomat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia kerana sudi melancarkan bersama “Spiral Bicycle And Pedestrian Bridge” pada pagi ini.
Sekian, terima kasih.