ADVOKASI KHAS MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA (MKJR) PULAU PINANG SEMPENA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018
TEKS UCAPAN
YAB TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
ADVOKASI KHAS MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA (MKJR) PULAU PINANG SEMPENA MUSIM PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018
8 JUN 2018 (JUMAAT)
10.00 pagi
PLAZA TOL JURU, PULAU PINANG
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian para hadirin pada pagi ini untuk bersama-sama dalam Majlis Advokasi Khas Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang Sempena Sambutan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2018.
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, pihak penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pihak PLUS, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dan tidak lupa sektor swasta di atas kerjasama yang berterusan diberikan bagi menjayakan majlis ini. Sesungguhnya, komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menghadirkan diri di majlis ini merupakan simbolik kepada uasah keras berterusan dan tanpa jemu bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan khususnya perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang ini.
Hadirin sekalian,
Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah adalah keutamaan bagi memastikan jalan raya yang kita guna setiap hari selamat. Pelbagai kempen keselamatan jalan raya dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun sektor swasta dan NGO bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mengikut undang-undang jalan raya dan menghormati hak-hak pengguna jalan raya lain. Jalan raya yang dibina adalah untuk memudahkan mobiliti kenderaan bukan mencederakan atau menyebabkan kematian.
Sejak tahun 2014, angka kematian akibat kemalangan jalan raya di Pulau Pinang merekodkan penurunan dengan rekod pada tahun lepas (2017) mencatatkan 401 kematian. Pada tahun 2016 data oleh PDRM merekodkan sebanyak 411 kematian iaitu penurunan sebanyak 10 kematian. Namun, tanpa usaha-usaha pelbagai pihak, ia tidak akan membuahkan hasil.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, motosikal masih menjadi penyumbang utama angka kematian di jalan raya. Kerajaan memandang serius akan perkara ini. Pelbagai program, inisiatif dan kempen telah dijalankan bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang tinggi. Kumpulan sasaran utama termasuk anak-anak muda yang harus didekati supaya kempen secara langsung dan bersemuka dapat dijalankan bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan fokus semasa di jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Menjelang setiap musim perayaan atau cuti panjang, ia sepatutnya menjadi pengalaman indah kepada kita kerana dapat berjumpa dengan keluarga tercinta. Namun sebaliknya berlaku di setiap musim perayaan kita diselubungi kesedihan akibat kemalangan jalan raya yang meragut nyawa atau mengalami kecederaan parah.
Berdasarkan laporan PDRM, punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya. Punca kemalangan yang utama dikesan adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mengantuk.
Hadirin sekalian,
Salah satu dasar Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 adalah mengalakkan pengguna jalan raya menggunakan pengangkutan awam.
Beberapa inisiatif telah dilaksanakan iaitu Pelaksanaan Bas BEST Komtar, BEST FIZ dan Congestion Alleviation Transport (CAT) yang mendapat sambutan yang sangat baik kepada pengguna.
Justeru, saya menyeru supaya tuan-tuan, puan-puan dan para pengguna jalan raya supaya pulang ke kampung halaman menggunakan pengangkutan awam supaya perjalanan anda ke kampung lebih selamat memandangkan terdapat diskaun yang diberikan kepada pengguna yang menggunakan pengangkutan awam pada musim perayaan ini.
Saya juga berharap pihak PDRM dan JPJ sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan Ops Selamat (PDRM) dan Ops Bersepadu (JPJ) sepanjang musim perayaan ini.
Saya dimaklumkan program advokasi khas musim perayaan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang diadakan empat (4) kali setahun bagi setiap musim perayaan. Begitu juga dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang yang sentiasa berusaha keras dalam memastikan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan bagi mencapai sasaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 10 peratus setiap tahun di Pulau Pinang tercapai.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama-sama menggerakkan pasukan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya di peringkat negeri.
Akhir bicara, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya supaya memandu dengan berhemah dan patuhilah praturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas yang bertugas sepanjang Hari Raya Aidilfitri supaya bekerja secara berhemah dalam memastikan pengguna jalan raya kita selamat di atas jalan raya.
Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua.
Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.
“Pandu Cermat Sampai Selamat”
Sekian, terima kasih.
Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
8 Jun 2018 (Jumaat)