MAJLIS PELANCARAN “PLOGCLEAN” PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN “PLOGCLEAN” PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

PADA 24 JUN 2018 (AHAD) JAM 8.30 PAGI
BERTEMPAT DI PERSIARAN KARPAL SINGH 
(TANAH LAPANG HADAPAN McDONALD’S), PULAU PINANG

Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo
EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancang Bandar & Desa

Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berusaha Ahli Majlis-Ahli Majlis

Ketua-Ketua Jabatan

Ahli-ahli Kelab Lions dan Junior Jaycees International

Persatuan Pengilang Malaysia (FMM)

Ahli-ahli Persatuan Kelab Sukan dan Rekreasi

Para Pemberita

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam sejahtera dan selamat pagi.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pelancaran “PlogClean” Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang bermakna ini.

Pada pagi ini kita akan memulakan satu inisiatif baru yang akan menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling hijau dan bersih di negara ini serta menjadi satu pusat ekonomi yang hebat melalui semangat kesukarelaan menerusi usahasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan.

Saya yakin bahawa Pulau Pinang dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar tanpa mengorbankan alam sekitar untuk tujuan pembangunan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk merealisasikan visi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria. Ini merupakan satu respon kepada isu perubahan iklim dan paradigm pembangunan mampan yang berubah.

Agenda Hijau Pulau Pinang (2018-2030) bertujuan untuk menggubal strategi-strategi bagi mengguna pakai serta membina satu komuniti yang resilien di Pulau Pinang untuk menyahut cabaran–cabaran alam sekitar di masa hadapan, yang merangkumi segala matlamat pembangunan lestari. Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi sebuah bandaraya pintar bertaraf antarabangsa, oleh itu kita seharusnya memastikan visi, sasaran dan matlamat ini adalah selaras dengan piawaian antarabangsa. Saya berharap Agenda Hijau Pulau Pinang akan dapat menyahut cabaran-cabaran alam sekitar di masa hadapan. Saya yakin inisiatif program “PlogClean” yang dijalankan pada pagi ini akan dapat mencapai matlamat mejadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang berdayahuni.

Hadirin yang dihormati sekali,

MBPP telah memutuskan untuk mengadakan inisiatif baru bagi menjaga kebersihan Pulau Pinang melalui usaha semua warganya. Sekiranya negeri ini tidak mempunyai dasar yang berkesan untuk mengatasi kesan- kesan negative akibat bandaraya yang membangun dengan pesat serta penghijrahan warga bandar , kita akan menghadapi peningkatan yang ketara dalam semua jenis pencemaran. Walaubagaimanapun, dasar sahaja tidak cukup, kita mempunyai sumber yang terhad dari segi tenaga kerja dan kewangan untuk menjadikan negeri kita Bersih dan Hijau. Kita memerlukan usaha semua orang bagi menjaga dan mengekalkan keindahan negeri kita bukan sahaja untuk pelawat malah juga untuk kita sendiri serta generasi akan datang.

Pada hari ini saya menggesa tuan-tuan dan puan-puan sekalian agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha MBPP dalam pendekatannya yang dikenali sebagai “PlogClean” iaitu sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menjadikan Pulau Pinang Bersih. Kerajaan Negeri menggalakkan orang ramai dan NGO untuk turut mengadakan acara acara seperti ini di kawasan kejiranan mereka. Acara - acara ini boleh diadakan oleh sekumpulan kawan atau keluarga yang berkunjung ke taman berhampiran atau lawatan ke pantai di Batu Feringgi atau mendaki Bukit Bendera ataupun Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang. Bersih bukan sekadar mengutip sampah tapi ianya adalah mengenai masyarakat dan orang ramai yang berkumpul dan berganding bahu serta menjaga tempat mereka dan mengingatkan kita bagaimana pentingnya persekitaran kita serta memupuk perubahan minda bagi menjadikan tabiat memastikan persekitaran kita sentiasa bersih.

Setiap tangan yang membantu boleh menghasilkan perbezaan dalam menjadikan Pulau Pinang bersih, indah dan mampan.

Dengan kata-kata ini, saya melancarkan “PROGRAM PLOGCLEAN MBPP” Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang