MAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW
PADA MAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI PULAU PINANG
SEMPENA HARI ULANGTAHUN KE-80 TUAN YANG TERUTAMA
YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG
PADA 14 JULAI 2018 JAM 9:30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN SRI PINANG
__________________________________________________
Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas,
Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff
Yang Berhormat Dato' Law Choo Kiang
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang
Yang Berhormat Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
Yang Berhormat Tuan Professor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan
Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandhavelu
Yang Arif Dato' Hadhariah Binti Syed Ismail
Hakim Utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan
Yang Berbahagia Datin Seri Hamidah binti Mat Daud
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Isteri
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri
Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’Seri dan Datin Seri-Datin Seri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat
Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral
Yang Berbahagia Konsul-Konsul Kehormat
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
Selamat pagi dan salam sejahtera.
1. Dengan penuh hormat dan takzimnya, saya bagi pihak Kerajaan Negeri, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta seluruh rakyat negeri Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun sempena hari ulangtahun ke-80 pada hari ini. Saya dan seluruh rakyat mendoakan semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan serta keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat, dilanjutkan usia serta mendapat rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa untuk terus memimpin negeri Pulau Pinang yang dicintai ini.
Tuan Yang Terutama Tun,
2. Pada pagi yang mulia ini, saya bersama-sama anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, anggota perkhidmatan awam, pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Negara Malaysia.
3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana sepanjang tempoh pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun, negeri ini berada di dalam suasana politik yang stabil dan keadaan ekonomi yang makmur serta rakyatnya yang bersatu padu.
4. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima melalui Majlis Angkat Sumpah pada 11 Mei 2018 di Seri Mutiara.. Sesungguhnya, amanah yang diberikan ini akan saya pikul dan laksanakan bersama-sama barisan pimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan integriti. Adalah menjadi tanggungjawab saya dan barisan pimpinan untuk melaksanakan tugas berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) seperti yang telah dipraktikkan sebelum ini untuk kemajuan dan kesejahteraan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
5. Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng atas segala sumbangan dan jasa bakti yang ditaburkan semasa memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2018 sehingga menjulang negeri ini pada kelompok teratas di antara 14 negeri di Malaysia dengan pelbagai usaha pembangunan serta program yang berjiwa rakyat.
6. Keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 mencerminkan hasrat rakyat yang mahukan agenda perubahan untuk masa depan yang lebih cerah dan penuh dengan peluang. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama melaksanakan transformasi ke arah kesamarataan politik dan keadilan sosio-ekonomi. Sesungguhnya saya berasa amat terharu dengan kerjasama dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua pihak sehingga tertubuhnya kerajaan baharu dalam keadaan aman dan harmoni.
7. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri besempena Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Pulau Pinang tahun 2018. Semoga pengurniaan ini dapat menyemarakkan lagi azam, semangat dan iltizam para penerima anugerah dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti demi pembangunan dan kemajuan negeri dan negara serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Saya amat berharap agar semua penerima anugerah sentiasa menjaga budi pekerti, tata susila serta tidak terlibat dalam apa jua aktiviti negatif yang boleh mencemarkan anugerah yang diterima.
Tuan Yang Terutama Tun,
Memperkasa Pelaburan
8. Pulau Pinang menduduki tempat kedua tertinggi di Malaysia dalam sektor pelaburan pada tahun 2017 dengan pelaburan berjumlah RM10.8 bilion. Jumlah ini adalah peningkatan 151 peratus berbanding RM4.3 bilion pada tahun sebelumnya. Industri elektrik dan elektronik kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pelaburan berjumlah RM6.7 bilion.
9. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menggalakkan pelaburan asing dan tempatan ke Negeri Pulau Pinang. Berdasarkan perangkaan tahun yang lalu, ternyata Pulau Pinang menerima lebih banyak pelaburan asing berbanding pelaburan tempatan. Sebagai langkah proaktif, industri-industri yang mempunyai nilai tambah tinggi (high value added) dan industri yang berorentasikan intensif pengetahuan (knowledge intensive) akan menjadi tumpuan promosi pelaburan di Pulau Pinang.
Perkembangan Sektor Pembuatan
10. Sektor pembuatan adalah pemangkin utama dalam meningkatkan pelaburan. Oleh itu pelbagai aktiviti bagi menggalakkan lagi sektor ini akan terus diberi perhatian. Pada tahun lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan syarikat Broadcom yang beroperasi di Pulau Pinang bakal menjadi pengeksport Electrical & Electronics (E&E) terbesar di Malaysia dengan nilai eksport dianggarkan sebanyak RM65 bilion, iaitu 8% daripada keseluruhan eksport Malaysia bagi tahun ini. Manakala Syarikat BBraun turut mengumumkan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1972, ia telah melabur sejumlah RM4.75 bilion di Pulau Pinang dan mewujudkan sebanyak 7,700 peluang pekerjaan, di mana 99% daripadanya terdiri daripada pekerja tempatan.
11. Selain itu, terdapat syarikat-syarikat yang mengumumkan pelaburan baru dan pelaburan semula pada tahun ini. Antaranya termasuklah Boston Scientific yang kini beroperasi di Batu Kawan, Japan Lifeline yang merupakan kilang pertamanya di luar Jepun dan dijangka siap pada tahun 2020, Benchmark Electronics yang membuka kilang ‘Precision Technology’ kedua dan ketiga di Pulau Pinang, dan UWC di Batu Kawan dengan pelaburan sebanyak RM150 juta.
Tuan Yang Terutama Tun,
Menggalakkan Sektor ‘Start-up’ Negeri
12. Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada sektor 'start-up' bagi menggalakkan sektor 'start-up' di Pulau Pinang. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah malancarkan @CAT Penang (accelerator for creative, artificial intelligence and technologies) dan menawarkan perkongsian ruang kerja/pusat animasi kreatif dan teknologi untuk membantu usahawan kecil yang terlibat dalam bidang animasi kreatif, dan “Internet of Things” (IOT). Bagi merealisasikan program ini, bangunan Wisma Yeap Chor Ee yang terletak dalam kawasan tapak UNESCO, George Town telah dibangunkan untuk menyediakan kemudahan lengkap bagi membangunkan ekosistem start-up dan membantu usahawan yang terlibat di dalam bidang berkenaan.
13. Bagi merancakkan lagi pembangunan ‘start-up’, Kerajaan Negeri telah mengumumkan penubuhan ‘Penang i4.0 Seed Fund’ dengan nilai USD1 juta (RM4 juta) untuk pembangunan projek-projek ‘start-up’ yang berpotensi tinggi. Inisiatif ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan melahirkan bakat baharu selain membangunkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Melalui usaha ini adalah diharapkan Pulau Pinang akan setanding dengan Knowledge Tech Entrepreneurs lain di peringkat antarabangsa.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pembangunan Perumahan
14. Adalah menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti kepada rakyat Pulau Pinang. Dalam usaha untuk membantu rakyat Pulau Pinang memiliki rumah dengan slogan ”Satu Keluarga Satu Rumah”, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk melaksanakan Projek Perumahan Mampu Milik bagi memenuhi keperluan tersebut. Sejumlah 16,441 unit rumah mampu milik jenis ‘A’, 'B' dan 'C' masing-masing dengan harga maksima RM42,000.00, RM72,500.00, dan RM300,000.00 sedang dalam peringkat perancangan dan pembinaan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pemaju swasta.
15. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga turut merancang untuk membina 12 lagi projek perumahan di kelima-lima daerah. Kesemua projek-projek tersebut bakal menyediakan 20,053 unit rumah mampu milik jenis 'A', 'B' dan 'C' untuk rakyat Pulau Pinang menjelang tahun 2025. Pembinaan projek-projek perumahan mampu milik ini adalah usaha yang berterusan untuk merealisasikan impian rakyat memiliki kediaman sendiri.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pembangunan Sukan
16. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan sukan. Pulau Pinang akan menjadi tumpuan atlet dari dalam dan luar negara dari 7 hingga 15 September 2018 apabila kita menjadi tuan rumah bagi temasya sukan bertaraf antarabangsa iaitu Asia Pacific Masters Games (APMG) Penang 2018. APMG Penang 2018 akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri Pulau Pinang khursusnya kerana ia merupakan temasya Sukan Masters yang pertama dianjurkan di Asia dengan 22 jenis sukan dipertandingkan. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk kejohanan tersebut. Kerajaan Negeri berharap penganjuran temasya sukan ini akan memberi kesan berganda (multiplier effect) lebih RM20 juta kepada sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi di negeri ini. Di samping itu Kontingen Pulau Pinang dengan kekuatan seramai 650 atlet termasuk jurulatih dan pegawai akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-19 di Negeri Perak Darul Ridzuan mulai 11 hingga 22 September 2018.
17. Bagi memastikan potensi atlet negeri dimaksimumkan untuk menghasilkan juara baru dalam sukan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf beberapa kemudahan sukan sedia ada dan juga membina kompleks sukan baharu di Negeri Pulau Pinang. Sebuah kolam renang bertaraf antarabangsa yang turut dilengkapi dengan platform untuk sukan terjun air akan dibina di Ampang Jajar, Permatang Pauh. Selain itu, sebuah Velodrom yang dilengkapi dengan kemudahan gelanggang bola keranjang terbuka dan sebuah kompleks renang bertaraf antarabangsa akan dilaksanakan di kawasan Queensbay disiapkan. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk membina sebuah Kompleks Sukan Bertaraf Antarabangsa di pinggir bandar Georgetown yang terdiri daripada 12 gelanggang badminton disamping membina sebuah Stadium Hoki Astroturf di bersebelahan Kompleks Sukan, Sungai Rambai, Seberang Perai Tengah dan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Padang Awam Permatang Rawam, Seberang Perai Tengah.
Pembangunan Keusahawanan
18. Sektor pembangunan usahawan juga sentiasa mendapat perhatian serius Kerajaan Negeri. Pelaksanaan Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan telah berlangsung sejak tahun 2009 akan dteruskan. Skim ini menawarkan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil bagi menambah modal untuk mengembangkan perniagaan mereka.
19. Sehingga 31 Mei 2018, sejumlah 2,946 penjaja dan peniaga kecil telah menikmati kemudahan pinjaman ini. Jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diperuntukkan adalah sebanyak RM14.54 juta. Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman sehingga 30 April 2018 adalah sebanyak RM10.81 juta. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha mempertingkatkan pemberian kemudahan pinjaman mikro ini kepada golongan peniaga kecil yang memerlukan bantuan bagi memajukan dan memperkembangkan perniagaan.
20. Kerajaan Negeri juga melaksanakan program pembudayaan dan motivasi kepada usahawan sebagai satu mekanisma bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan supaya menjadi usahawan yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Bagi tujuan tersebut, program-program perkongsian pengalaman dan maklumat, penganjuran kursus, seminar, bengkel dan jaringan perniagaan telah dilaksanakan demi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan dalam mengembangkan perniagaan yang diceburi.
21. Sebagai usaha meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang keusahawanan, Kerajaan Negeri meneruskan usaha memupuk dan menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah melalui Program Tunas Niaga yang dahulu dikenali sebagai Program Usahawan Muda. Program ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah memberi pendedahan kepada lebih kurang 15,600 pelajar dari tingkatan 2 hingga ke tingkatan 4 serta guru-guru pembimbing sejak ia diperkenalkan pada tahun 1998. Pada tahun 2018 seramai 925 orang pelajar dari 38 buah sekolah menengah terlibat dalam program ini.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Menuju Ke Arah Industri 4.0
22. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha gigih untuk menuju ke arah revolusi industri 4.0 yang melibatkan penggunaan Internet of Thing (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan harian termasuk Big Data Analytics, Cloud Computing, Artificial Intelligence, Robotics, dan E-Commerce.
23. Kejayaan penubuhan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) adalah satu daripada hasil kejayaan Revolusi Industri 4.0 di Pulau Pinang. Perpustakaan yang pertama seumpamanya di Malaysia, mula beroperasi pada Oktober 2016. Sambutan yang menggalakkan terhadap PDL Fasa I, Kerajaan Negeri telah memperkembangkan lagi perpustakaan tersebut dengan pembangunan PDL Fasa 2 di bangunan bersebelahan dengan PDL asal dengan peruntukan sebanyak RM10.8 juta. PDL 2 yang direkabentuk khas untuk memuatkan seramai 540 orang pengguna pada satu-satu masa dijangka akan mula beroperasi pada Disember 2018. Selain itu, penduduk di Seberang Perai juga tidak dilupakan dalam penyediaan PDL. Selain daripada tiga (3) buah PDL yang dinyatakan tadi, Kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah PDL berkonsep Islam yang akan dibangun di bangunan bersebelah Mahkamah Tinggi Syariah Negeri.
Tuan Yang Terutama Tun,
Pulau Pinang Ke Arah Negeri Hijau
24. Dalam menyahut cabaran berkaitan isu-isu perubahan iklim global dan peralihan paradigma perkembangan lestari, Kerajaan Negeri sedang membangunkan Agenda Hijau Pulau Pinang (Penang Green Agenda) yang merupakan satu rangka kerja dan pelan tindakan yang komprehensif. Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi negeri yang paling hijau di Malaysia dengan dipacu oleh ekonomi hijau, tadbir urus inovatif dengan rakan perkongsian 4P – Public, Private, People dan Professional (awam, swasta, rakyat, profesional) serta pembangunan agenda yang mampan menjelang tahun 2030.
25. Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran awam dan membawa mesej kepada masyarakat bahawa usaha menjaga dan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, program baru yang dikenali sebagai ''plogging'' telah diusahakan. Plogging melibatkan penggabungan aktiviti jogging sambil mengutip sampah diperkenalkan sempena Hari Alam Sekitar 2018. Sebagai usaha memulihkan alam sekitar, Kerajaan Negeri juga tidak membenarkan aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal di Pulau Pinang. Malah, sejak tahun 2008, lebih daripada 271,000 pokok telah ditanam di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk mewartakan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kabudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menambah Baik Sistem Perhubungan dan Pengangkutan Awam
26. Pelancaran Jambatan Harapan iaitu Spiral Bicycle and Pedestrian Bridge di Queensbay, Bayan Baru baru-baru ini membawa kita lebih dekat ke arah menjadi negeri yang rendah karbon dan mesra basikal. Jambatan ini adalah satu-satunya jejantas seumpamanya di Malaysia yang direkabentuk khas dalam bentuk lingkaran untuk memenuhi keperluan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam kawasan pembinaan yang terhad untuk menyeberangi lebuhraya. Di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah merancang untuk melengkapkan laluan basikal sepanjang 350km iaitu 179km di bahagian Pulau dan 171km di Seberang Perai.
27. Sehingga Jun 2018, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM22.45 juta bagi perkhidmatan bas awam percuma kepada penduduk negeri Pulau Pinang melalui program Bridge Express Shuttle Transit (BEST) dan Central Area Transit (CAT). Perkhidmatan ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 2011 sehingga kini. Pada April 2018 pula, perkhidmatan bas percuma yang baharu iaitu Congestion Alleviation Transport (CAT) telah diperkenalkan. Sebanyak RM15 juta akan dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri bagi menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik di Negeri Pulau Pinang.
28. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sebanyak RM8.43 juta bagi pemberian insentif perkhidmatan kepada pemandu teksi dan operator bas sekolah dengan lebih 3,000 orang penerima. Pemberian insentif ini akan diteruskan pada masa hadapan.
29. Pembangunan mampan sesebuah negeri bergantung kepada sesuatu pelan perancangan yang sistematik dan realistik. Ia memberi impak besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi, liveability dan sustainability sebuah bandar. Pelan perancangan sedemikian bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting lagi pelan seperti itu perlu reliable, sustainable dan feasible. Kerajaan Negeri juga ingin menitik beratkan kepentingan peruntukkan untuk melaksanakan pelan-pelan perancangan tersebut terutamanya pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Kerajaan Negeri memandang serius akan masalah ini dan telah memulakan initiatif terhadap penyelesaian jangka panjang sejak tahun 2011 lagi. Setelah kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) siap sepenuhnya pada Mac 2013, Kerajaan Negeri begitu komited untuk melaksanaan setiap strategi dalam PIP.
Sidang hadirin sekalian,
30. Sebagai akhir kata, sempena hari yang mulia dan bersejarah ini, sekali lagi saya mewakili barisan kepimpinan negeri, para penjawat awam serta seluruh rakyat di Negeri Pulau Pinang mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Ke-80 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami berdoa mudah-mudahan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi negeri Pulau Pinang dengan penuh saksama.
Sekian, terima kasih.