MAJLIS PERASMIAN SAYANGI PENANGKU HUNT YANG BERTEMA “Get To Know the Bayan Lepas LRT Project” SEMPENA HARI KEMERDEKAAN YANG KE-61
UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAYANGI PENANGKU HUNT YANG BERTEMA
“Get To Know the Bayan Lepas LRT Project” SEMPENA HARI KEMERDEKAAN YANG KE-61
1 SEPTEMBER 2018
Salam Harapan dan salam sejahtera.
YB Exco dan para hadirin yang dihormati sekalian.
Sebelum memulakan ucapan, saya ingin terlebih dahulu mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anda semua dan tahniah kepada para peserta yang telah berjaya mengambil bahagian dalam pertandingan Sayangi Penangku Hunt ini sehingga tamat. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak urusetia dan badan-badan bukan kerajaan seperti JCI, PEKA, Link Bike serta FMM yang telah menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam membantu menjayakan program ini.
Majlis ini merupakan siri yang pertama dalam bentuk program seperti ini dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap Projek Bayan Lepas LRT dimana pada hari ini tapak-tapak cadangan Stesen LRT KOMTAR, Macallum dan Sungai Pinang telah diperkenalkan.
Untuk menyelesaikan masalah pengangkutan dan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memainkan peranan yang penting dengan tujuan-tujuan berikut:
• Mengamalkan pendekatan holistik untuk menyelesaikan masalah pengangkutan serta mengguna pakai peralihan paradigma untuk memastikan kebolehaksesan dan “moving people, not cars”.
• Untuk menjadikan jalan raya selamat dan mesra pengguna untuk semua (pejalan kaki, penunggang basikal, warga tua dan masyarakat kurang upaya);
• Bergerak ke arah pengangkutan awam dengan pembahagian mod sebanyak 40% bagi pengangkutan awam : 60% bagi kenderaan persendirian;
• Memastikan integrasi antara sistem pengangkutan dan rancangan pembangunan dan menyampaikan sistem pengangkutan pelbagai modal; dan
• Mengintegrasikan pelan trafik dan pengangkutan pulau dan tanah besar.
Oleh yang demikian Cadangan Projek LRT yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, merupakan satu pelan induk pembangunan pengangkutan transformatif yang boleh menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi dan boleh mencapai matlamat keseimbangan ekonomi dan sosial Kerajaan Negeri terutamanya dalam mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Cadangan Projek Bayan Lepas LRT secara amnya mengikut jajaran kereta api yang ditetapkan di koridor pantai timur Pulau Pinang dalam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang dengan melalui kawasan penduduk dan pusat komersil yang pesat dari George Town ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Cadangan Projek Bayan Lepas LRT ini dirancang untuk menjadi tulang belakang pengangkutan awam untuk koridor timur George Town - Bayan Baru - Bayan Lepas, serta menyediakan sambungan pengangkutan berkapasiti tinggi dari George Town ke koridor pembangunan sekunder yang ditetapkan di Batu Maung - Teluk Kumbar di pantai selatan yang boleh dikaitkan dengan LRT melalui perkhidmatan bas transit dan feeder. Perkhidmatan LRT ini juga dijangka akan membantu meningkatkan akses antara Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya Pulau Pinang.
Ini membuktikan keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan projek ini difahami oleh semua golongan masyarakat – bahawa ianya memanfaatkan negara kita, Negeri Pulau Pinang dan kita semua, dan diharapkan dapat terus meraih sokongan rakyat Pulau Pinang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dengan berkat usaha dan inisiatif oleh Kerajaan Negeri membangunkan rangkaian pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan dapat mencapai pertumbuhan inklusif dan merapatkan jurang sosio-ekonomi antara bahagian utara dan selatan – supaya generasi-generasi rakyat Negeri Pulau Pinang yang akan datang – anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit kita nanti akan dapat menikmati hasil usaha titik peluh untuk kebaikan hidup mereka kelak.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Pembangunan rangkaian pengangkutan yang holistik adalah langkah utama mentransformasikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang serba moden, pintar, berpendapatan tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik.
Ditambah pula, dengan kemajuan teknologi yang semakin cepat di peringkat antarabangsa, sekiranya kita tidak bertindak secara proaktif dengan mewujudkan persekitaran yang berintegrasi dengan mod IT-intensif dengan kemudahan yang serba canggih, negeri Pulau Pinang akan terpinggir dan disisih dalam arus pemodenan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai penutup, saya ingin menekan semula kepentingan projek ini keatas kemajuan negeri Pulau Pinang dan saya amat berharap pihak Kerajaan Negeri dapat merapatkan kerjasama dengan rakyat Pulau Pinang dengan lebih mantap untuk kebaikan kita bersama.
Saya bersyukur kerana ramai dikalangan rakyat Pulau Pinang yang telah cadangan Projek ini, malah telah menunjukkan sokongan dengan menghadiri program ini secara tidak langsung.
Kerajaan Negeri berharap rakyat Pulau Pinang terus gigih berusaha dan memberi sokongan moral kepada kami untuk menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang di masa hadapan, dan meraih ganjarannya dalam masa yang terdekat apabila projek ini mendapat kelulusan dari agensi-agensi dan badan-badan kerajaan pusat yang berkenaan.
Yakinlah bahawa masa hadapan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang akan dijaga oleh pihak Kerajaan Negeri.
Sekian, terima kasih.