BELANJAWAN 2019 NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2019

Oleh

YAB CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG

KETIKA MEMBENTANGKAN
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN
DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2019

DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
PADA 9 NOVEMBER 2018 (JUMAAT) 

PENANG2030: NEGERI PINTAR, HIJAU DAN BERTERASKAN KELUARGA YANG MENGINSPIRASIKAN NEGARA

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kum-pulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2019 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua.

MUKADIMAH

YB Dato’ Yang di-Pertua,

1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk berdiri di Dewan yang mulia ini buat pertama kalinya bagi melaksanakan amanah sempena pembentangan Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang, pada pagi yang mulia ini.

2. Terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan oleh semua Ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama mendengar dan mencerna intipati Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang. Semoga penyatuan kita pada hari ini memberi manfaat dan kemakmuran kepada negeri tercinta kita.

3. Sepanjang tempoh 10 tahun di bawah urus tadbir yang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Pulau Pinang telah melalui lonjakan paradigma yang sangat pantas. Pulau Pinang terus mengekalkan rekod sebagai negeri yang mempunyai hutang yang terendah di Malaysia. Pulau Pinang juga terus mengekalkan rekod menjadi sebuah negeri yang bersih malah lebih daripada itu menjadi negeri pertama yang melaksanakan ‘Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma’. Semua kejayaan ini tidak akan tercapai sekiranya tiada gandingan mantap dan kerjasama yang padu antara pemimpin dan rakyat.

4. Pulau Pinang melakar sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi tuan rumah sempena Kejohanan Asia Pacific Masters Games (APMG 2018) buat julung kalinya pada 8 hingga 15 September 2018 yang lalu. Kejohanan ini menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Asia yang berjaya menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa ini. Seramai 5,612 peserta dari 64 buah negara telah mengambil bahagian dalam 22 acara sukan yang dipertandingkan. Lebih menarik, APMG 2018 yang berlangsung selama 9 hari itu turut tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai kejohanan sukan yang julung kalinya diadakan di Malaysia dengan bilangan negara dan peserta terbanyak yang menyertai kejohanan ini.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

5. Meskipun Pulau Pinang kini telah selesa dengan kedudukannya yang tersendiri, namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru ini untuk mengambil sikap selesa dan sambil lewa. Senario semasa menuntut Kerajaan Negeri untuk merencana Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang dengan lebih bijaksana agar semua agenda yang dirancang dapat dilaksanakan bagi memacu pembangunan yang lebih berkualiti serta memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat, sepertimana harapan dan impian Penang2030: Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Negara (Penang 2030: A Family Focused, Green and Smart State that Inspires the Nation).

6. Di kesempatan ini juga, Kerajaan Negeri ingin melahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap kejadian tanah runtuh yang telah berlaku di tapak projek Lebuhraya Bukit Kukus, Paya Terubong pada 19 Oktober yang lalu, yang telah mengorbankan seramai sembilan (9) orang pekerja binaan, manakala empat orang lagi cedera. Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Siasatan Khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat kes ini. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

SENARIO EKONOMI NEGARA

7. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku kedua tahun 2018 mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan iaitu pada kadar 4.5 peratus berbanding 5.8 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2017. Kemerosotan pertumbuhan ini disebabkan kejutan berkaitan komoditi dalam sektor perlombongan dan pertanian di mana berlakunya gangguan bekalan yang tidak dijangka serta kekangan pengeluaran akibat cuaca yang buruk. Sungguhpun demikian, Bank Dunia dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik menjangkakan Malaysia akan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada tahun 2018 dengan disokong oleh pengukuhan penggunaan swasta (perbelanjaan isi rumah) yang berterusan.

PRESTASI EKONOMI PULAU PINANG

8. Bagi Negeri Pulau Pinang pula, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah merekodkan peningkatan yang amat memberangsangkan daripada RM73.7 bilion pada tahun 2016 kepada RM77.6 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak RM3.9 bilion. Pulau Pinang juga menyumbang sebanyak 6.6 peratus kepada KDNK Nasional dan menjadi antara enam (6) negeri yang menyumbang 71.2 peratus kepada KDNK Nasional. Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan pada tahun 2017 merekodkan bahawa Pulau Pinang adalah antara negeri yang mempunyai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu RM49,873 berbanding RM42,228.

9. Pembangunan ekonomi Pulau Pinang bercambah dengan progresif setelah lebih 45 tahun pengalaman dalam industri pembuatan. Ini berjaya dicapai dengan adanya syarikat multinasional (MNC) sebagai perintis utama di Pulau Pinang yang masih mengekalkan pelaburannya sehingga kini. Dalam pada itu, Pulau Pinang juga berjaya menarik pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment atau FDI) pembuatan yang diluluskan MIDA, berjumlah RM8.5 bilion pada tahun 2017. Jumlah pelaburan (domestik dan asing) pembuatan yang diluluskan MIDA pula dicatatkan pada paras RM10.8 bilion. Kejayaan ini, terutamanya dalam sektor pembuatan membuatkan Pulau Pinang dikenali sebagai Silicon Valley of Asia.

10. Sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal menjadi dua (2) sektor penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri. Sektor pembuatan menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus pada tahun 2017 berbanding 5.4 peratus pada tahun 2016 dengan dipacu oleh subsektor elektrik, elektronik, LED, peralatan perubatan, avionik dan pembuatan makanan. Sementara itu, sektor perkhidmatan pula menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus untuk kedua-dua tahun 2017 dan 2016.

11. Sektor pertanian juga masih menjadi sektor penting kepada ekonomi negeri dan berkembang positif sebanyak 2.2 peratus pada tahun 2017 berbanding negatif 2.8 peratus pada tahun 2016. Perkembangan positif ini disebabkan oleh pertumbuhan pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi berikutan cuaca yang baik, dibandingkan pada tahun sebelumnya. Secara amnya, sektor pertanian merekodkan nilai tambah sebanyak RM1.5 bilion pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, sektor pembinaan mengalami penguncupan kepada negatif 10.1 peratus pada tahun 2017 berbanding 10.4 peratus pada tahun 2016. Penguncupan ini adalah kesan daripada penurunan nilai kerja binaan aktiviti kediaman, bukan kediaman dan pertukangan khas yang secara tidak langsung telah mempengaruhi keseluruhan prestasi ekonomi Pulau Pinang pada tahun 2017. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa penambahbaikan, antaranya dengan meningkatkan sistem jaringan jalan raya dan lalu lintas terutamanya bagi mengurangkan kesesakan dalam memastikan kelancaran perhubungan ke kawasan industri yang terlibat.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

STRATEGI BELANJAWAN 2019

PENANG2030: NEGERI PINTAR, HIJAU DAN BERTERASKAN KELUARGA YANG MENGINSPIRASIKAN NEGARA

12. Selepas pembentangan awam saya berkaitan Penang2030 pada 29 Ogos 2018 yang lalu, saya berasa amat gembira kerana masyarakat dari pelbagai lapisan usia telah menyahut seruan untuk melibatkan diri bersama-sama dalam membentuk pelan tindakan untuk memajukan Negeri Pulau Pinang mengikut empat (4) teras utama dalam Penang2030 bagi membawa Pulau Pinang ke tahap pertumbuhan yang seterusnya, dari segi budaya dan ekonomi.

13. Memandangkan Penang2030 berhalatuju untuk memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar, Kerajaan Negeri sedang menyelaraskan pelan-pelan perancangan terdahulu untuk memastikan supaya pelan-pelan baru ini menuju impian yang sama, iaitu Negeri Pulau Pinang yang makmur dari segi ekonomi dan sosial, gembira serta harmoni.

14. Penang2030 sebenarnya tidak bercanggah dengan mana-mana program yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008, malah ia menambah lagi penekanan yang seringkali menjadi faktor penentu kejayaan dan kestabilan sesebuah negeri, iaitu dari segi pembangunan sosial di samping kemajuan ekonomi. Untuk itu, Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang ini telah menyelaraskan projek-projek Kerajaan Negeri sedia ada untuk disesuaikan dengan visi Penang2030 dan dikategorikan mengikut empat (4) teras utama berdasarkan people centric seperti berikut:-

Teras Pertama : Meningkatkan Daya Huni Untuk Meningkatkan Kualiti Kehidupan (Increase Liveability To Enhance Quality Of Life);
Teras Kedua : Menaiktaraf Ekonomi Dengan Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah (Upgrade The Economy To Raise Household Income);
Teras Ketiga : Memperkasakan Rakyat Untuk Meningkatkan Penyertaan Masyarakat (Empower People To Strengthen Civic Participation); Dan
Teras Keempat : Melabur Dalam Persekitaran Infrastruktur Dan Kemudahan Awam Untuk Meningkatkan Daya Tahan Dalam Pelbagai Keadaan (Invest In The Built Environment To Improve Resilience).

TERAS PERTAMA: MENINGKATKAN DAYA HUNI UNTUK MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN

Pembangunan Infrastruktur

15. Kerajaan Negeri terus komited untuk meningkatkan infrastruktur bagi keselesaan dan kemudahan rakyat. Jaringan jalan raya sentiasa dinaiktaraf di seluruh negeri sama ada di bandar atau di luar bandar. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan menyediakan RM39.3 juta untuk projek-projek menaiktaraf dan pembinaan jalan raya baru di negeri ini. Selain itu, bagi meningkatkan akses dan menaiktaraf jalan-jalan kampung, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta, manakala RM5 juta akan disediakan di bawah peruntukan MARRIS. MARRIS juga turut memperuntukkan anggaran sebanyak RM100 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan jalan-jalan negeri.

Bandar Pintar (Smart City)

16. Umum mengetahui bahawa Negeri Pulau Pinang kini sedang menuju ke arah Bandar Pintar (Smart City) bertaraf antarabangsa menjelang Tahun 2025. Inisiatif ini adalah selaras dengan transformasi digital dan Revolusi Industri 4.0 di peringkat global, tanpa mengenepikan aspek kelestarian (sustainable) melalui urus tadbir dan inisiatif pintar oleh pelbagai jabatan dan agensi.

17. Pembangunan Bandar Pintar oleh Kerajaan Negeri ini adalah menyeluruh dan perlu disahut oleh semua jabatan dan agensi dalam memastikan Negeri Pulau Pinang berdiri sama tinggi dengan Bandar Pintar dunia yang lain tanpa mengenepikan aspek kelestarian dan kemampanan untuk masa depan generasi seterusnya.

18. Konsep Bandar Pintar di Negeri Pulau Pinang akan dibangunkan dengan mengutamakan infrastruktur ICT (Information and Communication Technology) sebagai kemudahan asas bandar dan Revolusi Industri 4.0 menjadi antara cabaran utama dalam penyediaan jajaran fiber optik yang amat tinggi kosnya. Namun, melalui pelaksanaan Dasar Pintu Terbuka (Open Door Policy), Negeri Pulau Pinang kini telah diliputi dengan 50 peratus jajaran fiber optik, hasil kerjasama dan pelaburan di antara pelbagai syarikat pembekal infrastruktur telekomunikasi dan digital.

19. Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang juga telah jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu. Semua ini adalah hasil usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri, dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta, terutamanya industri telekomunikasi yang sudi melabur di Negeri Pulau Pinang. Kejayaan ini juga berkait rapat dengan amalan 3M dan 1S dalam pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi iaitu Maju, Mudah, Mesra dan Smart. Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan pembekal perkhidmatan, TIME untuk memperluaskan liputan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan internet melebihi 100Mps. Ini akan menjadi titik utama untuk menjayakan Revolusi Industri 4.0 dan menjadikan Pulau Pinang sebagai hub untuk perdagangan atas talian (e-dagang), cloud computing, big data, dan Internet of Things (IoT).

Perumahan Mampu Milik dan Selesa

20. Kerajaan Negeri pada masa ini telah berjaya melepasi komitmen dalam menyediakan perumahan yang selesa dan mencukupi bagi setiap kategori kemampuan golongan B40 dan M40. Semenjak tahun 2008 sehingga kini, sebanyak 28,195 unit rumah mampu milik telah siap dibina, manakala sebanyak 24,445 unit sedang dalam pelbagai fasa pembinaan. Jumlah ini dirancakkan lagi dengan 44,602 unit rumah mampu milik pelbagai kategori yang telah diluluskan Pelan Kebenaran Merancang dan juga di dalam perancangan Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kerajaan Persekutuan. Usaha ini membawa angka besar iaitu 97,242 unit rumah mampu milik siap, sedang dibina dan akan dibina berbanding sasaran awal 75,362 unit sebelum ini.

21. Kerajaan Negeri sendiri merancang pembinaan sejumlah 18 projek di kelima-lima daerah yang bakal menyediakan 27,080 unit rumah menjelang tahun 2025. Satu (1) projek telah berjaya disiapkan dan memperolehi Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) iaitu projek Fasa 1 Bandar Cassia di Seberang Perai Selatan (SPS). Manakala tujuh (7) lagi dalam pelbagai peringkat pembinaan seperti projek di Jelutong, Sandiland Foreshore, Jalan CY Choy dan The Rise Jalan SP Chelliah, Daerah Timur Laut (DTL); Dua Residensi di Daerah Barat Daya (DBD), Jiran Residensi di Seberang Perai Utara (SPU), Permatang Tok Suboh di Seberang Perai Tengah (SPT), Kampung Kepala Gajah di Seberang Perai Selatan (SPS). Selebihnya iaitu 10 lagi projek masih dalam perancangan. Kesemua projek ini merupakan manifestasi Kerajaan Negeri dalam memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

22. Sehingga 30 September 2018, Sistem Maklumat Perumahan Kerajaan Negeri (SMP) telah mendaftarkan sebanyak 91,408 pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang bagi ketiga-tiga kategori iaitu rumah kos rendah atau kini dikenali sebagai RMM 'A' (harga maksima RM42,000.00), rumah kos sederhana rendah atau kini dikenali sebagai RMM 'B' (harga maksima RM72,500.00) dan juga RMM 'C' (harga maksima RM300,000.00). Setelah melalui proses semakan dan kelulusan, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan sejumlah 108,541 surat tawaran termasuk tawaran ulangan kepada pemohon untuk projek perumahan lain. Daripada jumlah ini, seramai 26,139 pemohon telah menerima tawaran dan menandatangani perjanjian dengan pemaju. Pada masa ini, masih terdapat sebanyak 43,052 permohonan yang masih aktif dan diletakkan di bawah kategori 'senarai menunggu' untuk dipertimbangkan semasa proses tawaran seterusnya.

23. Jumlah menunggu yang paling besar direkodkan di Daerah Timur Laut terutama bagi kategori RMM 'A' dan RMM 'B'. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti lokasi bagi pembinaan PPR di Jelutong iaitu sebahagian Petak A, Lot 10042 dan Lot 10043, Seksyen 11 Bandar Jelutong kepada Kerajaan Persekutuan. Selain itu, tujuh (7) lagi tapak telah dikenalpasti di DBD, SPU, SPT dan SPS untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

24. Pembentukan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan menyuntik perkembangan positif dalam pembekalan perumahan mampu milik yang akan disatukan di bawah satu bumbung berbanding sebelum ini di mana ia dilaksana oleh pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza. Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan lebih agresif dalam memastikan keperluan perumahan mampu milik sepadan dengan permohonan dan tempoh menunggu bertahun-tahun dapat dikurangkan.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Penyelenggaraan Rumah Awam Kerajaan Negeri

25. Kerajaan Negeri sedar dan prihatin dengan kerosakan rumah-rumah di Rancangan Perumahan Awam Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga bersimpati dengan pemilik dan penghuni di perumahan ini yang tidak mampu untuk membiayai kos penyelenggaraan bagi lif-lif dan lain-lain kerosakan sehingga menimbulkan kesusahan bagi penduduk di perumahan tersebut.

26. Bagi meringankan beban penduduk, Kerajaan Negeri telah membelanjakan secara purata RM10 juta setahun untuk menyelenggara rumah-rumah di Rancangan Perumahan Awam di kelima-lima daerah dan untuk tahun 2019 ini, sejumlah RM8.4 juta akan terus diperuntukkan untuk perkara dan tujuan yang sama. Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah/Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus (TPM80) yang sehingga kini, sebanyak 292 projek bernilai RM25.65 juta telah diluluskan sejak tahun 2013. Bagi tahun 2019, projek-projek penyelenggaraan ini akan diteruskan dan sejumlah RM6.8 juta telah diperuntukkan bagi perkara dan tujuan ini.

Keprihatinan Terhadap Kebajikan dan Penjagaan Rakyat

27. Selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) secara berperingkat, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji semula program-program i-Sejahtera yang merangkumi program pemberian bantuan Warga Emas, Ibu Emas, Anak Emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), Pelajar Emas dan lain-lain. Program ini telah dinikmati oleh hampir 1.6 juta rakyat Negeri Pulau Pinang dengan jumlah bantuan kewangan yang diberikan sebanyak RM412.63 juta sejak ia dilaksanakan bermula tahun 2008. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kajian semula wajar dilaksanakan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan. Sekiranya diteruskan, Kerajaan Negeri akan membelanjakan sejumlah RM45 juta pada tahun 2019. Sejak Mac 2009 hingga Oktober 2018, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM30.85 juta bagi Program Agenda Saksama (AES) di mana hampir 955 orang penerima aktif (tidak termasuk yang meninggal dunia, berpindah keluar negeri, dll) telah menerima manfaat daripada program ini.

Mutiara Food Bank

28. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu program baru yang dikenali sebagai Mutiara Food Bank yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Food Aid Foundation. Kerajaan Negeri bangga apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang telah bekerjasama dengan yayasan ini bagi menjayakan misi menyelamatkan lebihan makanan dan mengelakkan pembaziran makanan. Konsep atau idea asal program ini adalah dengan mengumpulkan makanan daripada pasaraya-pasaraya besar untuk diagihkan kepada kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan. Sehingga kini, seramai 23,576 orang penerima telah menerima manfaatnya sejak ia dilaksanakan pada tahun 2017.

29. Program ini telah mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan yang kini turut berhasrat untuk melaksanakan program yang sama di peringkat nasional dalam skala yang lebih besar. Sekali lagi, Negeri Pulau Pinang telah menjadi contoh dan perintis kepada program-program kebajikan yang sebegini di peringkat negara. Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga bagi merealisasikan program ini.

Pusat Transit Gelandangan

30. Sebagai sebuah negeri berkebajikan, hak rakyat diberikan sama rata tanpa perbezaan. Semua rakyat yang hidup di negeri ini diberi perhatian dan bantuan termasuklah golongan gelandangan. Menerusi program Empowering The Street Citizens, sebuah Pusat Transit Gelandangan akan dibangunkan. Pusat transit ini akan menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selesa. Program bersifat “Tri-Partite Venture” ini merupakan hasil usahasama pihak kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

31. Untuk itu, bagi menterjemahkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan ini, sebuah lokasi telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat transit gelandangan iaitu di Lot. 19, Jalan C.Y. Choy yang merupakan bangunan rumah kedai milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Bangunan ini akan diubahsuai dengan ihsan PDC dan dijangka siap pada tahun 2019. Pusat Transit ini akan dijadikan sebagai pusat aktiviti warga emas. Sebanyak RM560,000.00 dianggarkan akan diperuntukkan bagi Latihan Kemahiran kepada Gelandangan Produktif dan Penempatan Kekal kepada Gelandangan Tidak Produktif.

Meningkatkan Keselamatan dan Kebersihan Awam

Pemasangan CCTV dan Lampu Jalan

32. Aspek keselamatan menjadi agenda utama Kerajaan Negeri bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan pelancong yang datang ke negeri ini. Justeru, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan memperuntukkan sejumlah RM7.40 juta untuk memasang 150 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang baharu pada tahun 2019, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV yang telah dipasang di bahagian Pulau adalah sebanyak 917 unit. MBPP juga akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkenalkan fungsi pengecaman wajah (facial recognition) bagi menjamin bandaraya yang lebih selamat.

33. Sementara itu, sejumlah RM2.5 juta juga diperuntukkan di kawasan Seberang Perai melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi memasang 30 unit CCTV di kawasan-kawasan terpilih di seluruh Seberang Perai pada tahun 2019, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV sebanyak 160 unit. Pemasangan CCTV ini bukan sahaja untuk membantu menangani isu-isu jenayah dan keselamatan malah turut digunakan untuk memantau pembuangan sampah haram, penjaja haram, keadaan trafik dan lalu lintas serta parkir.

34. Sistem pencahayaan juga memainkan peranan yang penting dalam membantu Kerajaan Negeri membanteras jenayah. Menyedari ia merupakan instrumen penting, maka Kerajaan Negeri sekali lagi melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan sejumlah RM2.5 juta di kawasan Seberang Perai dan RM6.79 juta di kawasan Pulau untuk menyelenggara lampu-lampu jalan serta pemasangan lampu jenis LED.

Pengurusan Sisa dan Kebersihan Awam

35. Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang terbersih di Malaysia dan di rantau ASEAN. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah berterusan dengan menggubal dasar dan merangka pelan tindakan yang baharu, sejajar dengan transformasi pantas teknologi masa kini. Modus operasi yang digunakan bagi menguruskan sisa pepejal menjadi penanda aras kepada kemajuan diri dan masyarakat. Bagi mentransformasikan budaya kebersihan awam, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti membangunkan sistem dan teknologi pengurusan dan pemindahan sampah yang Mesra Pengguna dan Mesra Alam (MPMA), meningkatkan kesedaran dengan memperkasakan ‘Local Agenda 21’ (LA21) oleh PBT dan menguatkuasakan undang-undang.

36. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT juga telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi menguruskan sisa pepejal dan menjaga kebersihan negeri. Pada tahun 2019, sejumlah RM57.25 juta telah diperuntukkan oleh MBPP dan RM35.26 juta oleh MPSP untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa pepejal.

Kesejahteraan dan Kesihatan Rakyat

37. Berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, didapati hanya 1.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah digunakan untuk tujuan kesihatan. Bagi membantu rakyat Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan perkhidmatan akses yang mudah dan berkemampuan terhadap kemudahan kesihatan, Kerajaan Negeri telah mengambil tanggungjawab sosial dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat terutamanya yang kurang berkemampuan.

38. Program Mammo-Penang misalnya telah memberi manfaat kepada 11,834 orang wanita sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015. Program ini akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2019 dengan penambahbaikan yang lebih komprehensif dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Sebanyak RM900,000.00 disediakan bagi perkhidmatan ini pada tahun 2019.

39. Inisiatif Pulau Pinang Bebas Denggi juga akan diteruskan pada tahun 2019. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program yang dikenali sebagai Crush Aedes Totally (CAT) yang menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) sebagai mekanisme untuk meramal lokasi wabak yang akan berlaku di sesebuah kawasan bagi membolehkan tindakan kawalan vektor dilaksanakan dengan lebih awal. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM423 ribu setahun untuk melanggan sistem ini bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri. Bagi merangka dan merancang kawalan vektor, bermula tahun 2019 Kerajaan Negeri akan menggunapakai teknologi AI yang lebih komprehensif.

TERAS KEDUA : MENAIKTARAF EKONOMI DENGAN MENINGKATKAN PENDAPATAN ISI RUMAH

Menjana Pelaburan dan Perindustrian

40. Bagi tahun 2017, KDNK Pulau Pinang dalam sektor perkhidmatan telah menyumbang sebanyak RM38.3 bilion dan sektor pembuatan pula bernilai RM34.8 bilion. Kerajaan Negeri mensasarkan nilai pelaburan bagi tahun 2018 meningkat lebih tinggi sejajar dengan memorandum persefahaman (MOU) yang telah dimeterai di antara syarikat elektronik dari Korea Selatan dan Pulau Pinang dalam membentuk rakan perkongsian strategik.

41. Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang cergas dan mampan bagi tahun 2019. Kawasan pertumbuhan baharu di Batu Kawan yang merupakan salah satu daripada tujuh (7) nod pertumbuhan di Koridor Utara akan dijadikan pemangkin untuk melonjakkan lagi perkembangan ekonomi Pulau Pinang. Kemudahan rangkaian jalan raya yang baik untuk pengangkutan kargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta Pelabuhan Pulau Pinang turut menjadi faktor penting yang dititikberatkan untuk menarik pelabur ke negeri ini.

42. Selaras dengan trend global yang beralih kepada Industri 4.0, beberapa bidang industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi telah dikenalpasti berpotensi untuk berkembang seperti Elektrikal dan Elektronik, semikonduktor, LED, peralatan perubatan, pembuatan aeroangkasa, pembuatan makanan dan Perkhidmatan Perniagaan Global (Global Business Services).

43. Pada tahun 2018, BBraun mengumumkan bahawa dalam tempoh 45 tahun, BBraun telah melabur RM4.75 bilion di Pulau Pinang dengan mewujudkan lebih 7,700 peluang pekerjaan di mana 99 peratus adalah pekerja tempatan. Selain itu, syarikat-syarikat yang mengumumkan pelaburan baharu dan pelaburan semula tahun 2018 termasuklah Boston Scientific yang membuka kilang di Batu Kawan, Japan Lifeline yang mengumumkan akan membina kilang pertamanya di luar Jepun dengan pelaburan RM50 juta (siap pada 2020), Benchmark Electronics yang membuka kilang ‘Precision Technology’ kedua dan ketiga di Pulau Pinang dan UWC di Batu Kawan dengan pelaburan RM150 juta. Syarikat-syarikat besar tempatan seperti Inari, Vitrox dan UWC juga terus menunjukkan pertumbuhan dan menembusi pasaran antarabangsa selari dengan moto ‘Powered in Penang’.

44. Bagi merancak dan menarik minat pelabur berasaskan teknologi, Kerajaan Negeri melalui Invest Penang telah melancarkan dan menawarkan Skim Insentif Penang i4.0 dengan dana berjumlah RM4.0 juta (USD 1 juta) pada awal tahun 2018. Dana ini diharapkan dapat membantu para usahawan untuk membina, menarik dan mengekalkan perniagaan mereka di Pulau Pinang. Usaha ini juga dibuat bagi merealisasikan dan mengekalkan potensi Pulau Pinang sebagai Silicon Valley of Asia. Untuk peringkat pertama, dana Penang i4.0 telah meluluskan sejumlah RM1.67 juta kepada 16 usahawan yang terlibat di dalam aktiviti IoT, sensor dan sebagainya.

Pertumbuhan Industri Halal

45. Industri halal kian melebarkan sayapnya dan menjadi tumpuan di seluruh dunia. Menurut laporan State of the Global Islamic Report 2017/28 yang diterbitkan oleh Thomas Reuters, nilai ekonomi masyarakat Islam global pada tahun 2016 mencecah US$3.6 trillion (RM14 trillion) dan angka ini dijangka akan meningkat kepada US$5.9 trillion (RM23 trillion) menjelang tahun 2022. Perkembangan pesat ini sudah tentu disokong oleh gelombang Revolusi Industri 4.0 yang dikuasai oleh aplikasi digital terkini serta perkakasan berteknologi tinggi yang mampu melonjakkan lagi pertumbuhan industri halal.

46. Di Malaysia, nilai eksport bagi produk halal meningkat sebanyak 2.8 peratus iaitu RM4.3 bilion pada tahun 2017 dengan Singapura dan China sebagai destinasi eksport utama negara. Pulau Pinang berbangga kerana ia menjadi antara penyumbang kepada industri halal negara melalui Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) yang terletak di Bukit Minyak. Fasa 1 telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM484 juta melalui sepuluh (10) buah syarikat di mana empat (4) daripadanya telah mula beroperasi. Fasa Kedua TPHPP iaitu bagi zon makanan telah berjaya menarik 21 buah syarikat dengan nilai pelaburan sebanyak RM242.76 juta. Kedua-dua taman perindustrian halal ini juga telah menerima pengiktirafan status HALMAS daripada Halal Industri Development Corporation (HDC). Melalui pengiktirafan ini, pengusaha industri dapat menikmati pengecualian cukai dan duti import bahan mentah bagi pengeluaran produk mereka.

47. Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merealisasikan visi menjadikan Pulau Pinang sebagai Global Halal Centre. Antaranya dengan menganjurkan Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) pada awal tahun 2018 yang telah mencatatkan 300 penyertaan pemain industri dari dalam dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura dan Pakistan. Penganjuran PIHEC akan diteruskan pada tahun 2019 dengan jangkaan 330 booth dari penyertaan pemain industri halal.

Memperkasa Peranan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

48. Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam memantau dan merancang kemudahan serta khidmat sokongan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana sektor ini turut menyumbang kepada ekonomi negeri. Oleh itu, di bawah SME Village Batu Kawan, plot-plot tanah industri serta kilang-kilang jenis teres dan berkembar akan dibangunkan mengikut fasa. Fasa pertama dan kedua yang merangkumi 44 plot tanah industri dan 44 unit kilang telahpun siap pembinaannya dan kesemuanya telah berjaya dijual. Fasa ketiga merupakan sebuah pusat perkhidmatan yang merangkumi kafeteria, kedai serbaneka, ruang pameran, bilik mesyuarat dan sebagainya juga telah siap pembinaan. Kini, pihak PDC sedang dalam proses menjemput syarikat-syarikat atau individu yang berminat untuk menyewa di pusat perkhidmatan tersebut.

49. Selain itu, satu lagi projek IKS yang merangkumi 27 unit kilang di Taman Perindustrian Bukit Minyak juga telah siap dibina. Sehingga kini, sebanyak 23 unit kilang telah berjaya dijual dan 40 peratus daripadanya telah mula beroperasi. Kerajaan Negeri mengharapkan agar inisiatif yang dilaksanakan ini, dapat membantu pengusaha IKS meningkatkan produktiviti pengeluaran mereka. Di samping itu, syarikat-syarikat besar digalakkan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat IKS tempatan bagi menjana ekonomi yang lebih stabil dalam kalangan pengusaha IKS.

Menggalakkan Penyertaan Rakyat Dalam Perniagaan

50. Selaras dengan hasrat untuk memperkasakan rakyat tempatan agar seiring dengan perkembangan industri digital dunia, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PDC telah melancarkan Perkhidmatan Perniagaan Global (Global Business Service - GBS) @ Mayang sebagai salah satu usaha merangsang pelaburan dan peluang pekerjaan. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat tempatan dan global menubuhkan operasi mereka di GBS @ Mayang. Sehingga kini, dianggarkan 20 buah syarikat akan turut serta dan bakal menyediakan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan dan usahawan.

51. Dalam masa yang sama, sebuah GBS @ By The Sea dan GBS PDC juga akan dibangunkan. Pembangunan baharu GBS @ By The Sea di Bayan Lepas ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM200 juta yang melibatkan dua fasa pembinaan. Fasa pertama telah pun bermula pada Januari 2018 dan dijangka siap pada tahun 2020 dan mampu menyediakan 3,000 peluang pekerjaan. Sementara, GBS PDC yang berlokasi di Bayan Baru, dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta dan dijangka siap September 2019.

Skim Bantuan Modal Kepada Usahawan

52. Semenjak tahun 2009, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang menawarkan pinjaman kecil-kecilan kepada peniaga-peniaga kecil bagi menambah modal untuk mengembangkan perniagaan mereka. Skim bantuan modal ini telah membantu seramai 3,034 penjaja dan peniaga kecil sejak dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan pinjaman sebanyak RM15.3 juta dan kutipan balik berjumlah RM12.13 juta. Melihat kepada potensi dan manfaatnya, skim bantuan ini akan diteruskan lagi, dengan peruntukan berjumlah RM1 juta pada tahun 2019 dan penjenamaan semula sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH). Usaha murni ini dilihat memberi impak kepada rakyat, terutamanya golongan sasar di mana mereka telah berjaya meningkatkan pendapatan dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.
Rejuvenasi Sektor Pertanian

53. Sektor pertanian masih kekal signifikan dan relevan dalam menyumbang kepada KDNK dan perkara ini dapat dilihat pada tahun 2017 di mana sektor pertanian mengalami pertumbuhan positif sebanyak 2.2 peratus, berbanding negatif 2.8 peratus pada tahun 2016. Perkembangan positif ini merangsang Kerajaan Negeri untuk terus merangka program dan projek yang berdaya tahan bagi memastikan rantaian nilai yang luas dan kukuh, justeru mengurangkan kebergantungan kepada import makanan. Kerajaan Negeri mensasarkan 10 peratus peningkatan hasil pengeluaran tanaman dan peningkatan hasil jualan pelbagai produk asas tani pada tahun 2019, agar lebih dinamik dan kompetitif. Sehubungan itu, sejumlah RM7.31 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan pertanian, meliputi pelbagai subsektornya.

54. Bermula tahun 2019, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian juga berusaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada 5.8 tan metrik per hektar kepada 7.0 tan metrik per hektar dalam tempoh 2 tahun akan datang. Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, sektor pertanian akan ditransformasikan dengan perkembangan teknologi masa kini. Pangkalan data statistik dan geospatial akan dibangunkan bagi membantu petani meningkatkan hasil pengeluaran. Dengan adanya pangkalan data tersebut, amalan agronomi akan lebih efisien dan teknologi automasi yang dibangunkan akan lebih praktikal serta efektif.

55. Selain itu, bagi memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Ara Kuda, Batu Kawan Agropark dan Permatang Pauh Agropark yang diharap dapat menjamin bekalan makanan khususnya bagi penduduk di Pulau Pinang.

56. Amalan Pertanian Baik (APB) merupakan faktor utama dalam pembangunan pertanian mampan agar sumber alam digunakan secara optima dan cekap. Justeru, semua petani diberi latihan untuk mengamalkan APB di ladang masing-masing dan seterusnya diiktiraf dengan pensijilan Malaysian Good Agricultural Practice (myGAP) dan Malaysian Organic (myOrganic).

57. Bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian, Program Petani Pelapis akan mula diperkenalkan. Malahan penggunaan teknologi pertanian yang moden akan dipertingkatkan bagi menarik minat golongan belia dan memaksimumkan pendapatan petani.

Meningkatkan Potensi Akuakultur Negeri

58. Selain itu, Pulau Pinang juga harus berbangga apabila menjadi penyumbang kepada sebanyak RM1.60 bilion daripada RM3.00 bilion jumlah keseluruhan hasil akuakultur (perikanan) negara. Malahan pada tahun 2017, jumlah pengeluaran keseluruhan akuakultur bagi semua sistem ternakan di Pulau Pinang meningkat 51 peratus iaitu 45,743.00 tan metrik bernilai RM815.20 juta berbanding 30,226.52 tan metrik dengan nilai RM765.70 juta pada tahun 2016. Pengeluaran utama adalah dari sistem ternakan sangkar air payau iaitu sebanyak 23,380.00 tan metrik yang bernilai RM510.10 juta.

59. Melihat kepada peningkatan ini, Pulau Pinang mempunyai potensi yang cukup besar dalam sektor akuakultur, sekiranya prospek perikanan diperluaskan bagi menjamin pendapatan lumayan kepada penternak. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan industri penternakan ikan dalam sangkar sebagai salah satu daya tarikan akuapelancongan baharu negeri.

60. Selain itu, bagi meringankan beban golongan nelayan, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan pukat pantai sebanyak RM400 setahun. Dianggarkan seramai 3,000 orang nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menerima manfaat daripada pemberian ini. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM1.2 juta pada tahun 2019 bagi tujuan ini.

Mengukuhkan Industri Ternakan Negeri

61. Industri penternakan negeri turut berkembang dengan positif. Dalam perkembangan ekonomi semasa, produktiviti komoditi ayam (daging/telur) dan khinzir telah memberi sumbangan ekonomi yang terbesar iaitu 93.17 peratus daripada keseluruhan nilai hasil ternakan utama negeri pada tahun 2017 dengan jumlah RM854.02 juta. Prospek ekonomi bagi komoditi utama ini menyumbang hasil melebihi tahap sara diri, 100 peratus untuk menampung keperluan penduduk negeri ini. Walaupun berlaku kenaikan kos pengeluaran, produktiviti terus meningkat dengan sokongan kaedah penternakan moden, ladang yang canggih dan peningkatan kualiti sumber manusia.

62. Sungguhpun begitu, komoditi lembu/kerbau dan kambing/bebiri didapati hanya menyumbang kurang daripada lima peratus kepada Nilai Hasil Ternakan. Ini kerana terdapat kekangan dari segi guna tanah dan keadaan ini memaksa petani untuk melaksanakan transformasi sistem penternakan yang lebih moden, mesra alam dan berskala komersil bagi menampung permintaan pasaran.

Merancakkan Sektor Pelancongan

63. Negeri Pulau Pinang kaya dengan keindahan alam semula jadi, khazanah bangunan warisan dan pelbagai pilihan makanan hasil migrasi dan asimilasi kaum negeri ini. Mengambil peluang tersebut, Kerajaan Negeri akan terus memperhebat dan meningkatkan daya saing program-program pelancongan dan kebudayaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri kita. Bagi tahun 2019, sebanyak RM34 juta akan diperuntukkan bagi mempromosi dan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

64. Sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini, ketibaan pelancong ke Negeri Pulau Pinang menunjukkan peningkatan. Buktinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang mempunyai kapasiti 6.5 juta orang pada tahun 2016 telah meningkat kepada seramai 7.2 juta orang pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 8.2 peratus. Pada tahun 2018, dijangka jumlah penumpang akan mencapai 7.8 juta orang dan ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan popular di rantau Asia. Antara faktor pertambahan penumpang ini adalah hasil daripada usaha Kerajaan Negeri yang memulakan beberapa penerbangan terus dari syarikat-syarikat penerbangan ke beberapa destinasi utama dunia seperti Doha melalui penerbangan Qatar Airways, Banda Acheh dan Nanning melalui penerbangan Malindo Airlines, Jakarta melalui penerbangan Citilink manakala Hanoi dan Phuket melalui penerbangan Air Asia.

65. Program-program mega bertaraf antarabangsa juga menjadi daya tarikan pelancong. Antaranya ialah Program Pesta Belon Udara Panas yang telah menarik 180,000 orang pengunjung dan Penang International Food Festival telah menarik 708,000 orang pengunjung. Dalam masa yang sama, Pulau Pinang juga berbangga apabila memecahkan dan memperbaharui rekod dunia dalam Guiness World Record bagi Largest Food Truck Rally in The World melalui acara Food Truck Invasion yang telah menghimpunkan 158 buah trak makanan.

66. Bagi mensasarkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan di kalangan remaja, Kerajaan Negeri turut mula memberi fokus untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai hub eSport di Malaysia. Justeru, program Penang eSports Festival (PeF2019) akan mula mengambil tempat pada tahun 2019 dan bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di Pulau Pinang.

Penang Art District

67. Penang Art District merupakan satu lagi tarikan baharu yang bakal menjadi pemangkin dalam industri kreatif dengan konsep bandar kontena yang dilengkapi dengan taman lanskap. Projek ini akan meningkatkan nilai seni dan budaya Pulau Pinang melalui penglibatan artis, seniman, pendidik dan masyarakat umum. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebidang tanah berkeluasan 9.2 ekar bersebelahan Gat Lebuh Macallum dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Memelihara Kekayaan Khazanah Warisan Negeri

68. Tahun 2018 genaplah 10 tahun bandar George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi mendekatkan rakyat dengan tinggalan warisan yang masih dipulihara sehingga kini. Perayaan George Town Festival dilaksanakan saban tahun dan ia menarik pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong untuk hadir memberi sokongan. Bagi tahun 2019, festival ini akan diteruskan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM3 juta.

69. Projek Rejuvenasi Sia Boey sebagai Taman Hijau Arkeologi Bandar akan memberikan imej baharu kepada Negeri Pulau Pinang. Fasa pertama projek ini, iaitu pembersihan Terusan Prangin lama telah pun siap dan fasa kedua yang melibatkan kerja membaik pulih Pasar Prangin dan kerja-kerja landskap telah bermula September 2018. Manakala fasa ketiga pula akan melibatkan pemuliharaan 22 buah bangunan rumah kedai warisan.

70. Kerajaan Negeri melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) juga telah melancarkan Dana Benih Habitat Warisan pada tahun 2018 dengan peruntukan sejumlah RM3.0 juta sebagai insentif kepada pemilik premis warisan Kategori (II) yang menyewakan premis mereka kepada penyewa jangka panjang. Pemberian dana ini adalah untuk membantu pemulihan fizikal premis dan memberi pelepasan terhadap kos pemulihan bagi mencegah kenaikan kadar sewa dan mengekalkan penyewaan jangka panjang di Tapak Warisan Dunia George Town (TWDGT).

71. Kerajaan Negeri, melalui George Town Conservation & Development Corporation Sdn. Bhd. (GTCDC) sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan Kawasan Pesisir Utara (North Seafront) yang terletak di dalam Kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta pada tahun 2019, manakala RM12 juta lagi akan dibiayai oleh MBPP. Kerja menaik taraf ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan perkongsian peruntukan kewangan di antara Kerajaan Negeri, MBPP dan Think City.

72. Selain itu, GTCDC juga dalam perancangan untuk melakukan kerja-kerja Menaiktaraf Kawasan East Seafront di sepanjang kawasan gudang terbiar bersebelahan Swettenham Pier Cruise Terminal. Kawasan ini akan dipulihara dan akan dijadikan kawasan ruang awam untuk tujuan riadah/rekreasi. Kos awal adalah dianggarkan berjumlah RM4 juta.

TERAS KETIGA : MEMPERKASAKAN RAKYAT UNTUK MENINGKATKAN PENYERTAAN MASYARAKAT

Wanita Sebagai Tunggak Negeri

73. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita dalam memajukan masyarakat dan negara. Ini dibuktikan melalui dasar minimum 30 peratus perwakilan wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Komuniti (JKKK). Dasar ini mensasarkan sekurang-kurangnya lima (5) orang wanita dilantik dalam MPKK menjelang tahun 2021. Malah ia akan dipanjangkan kepada pelantikan Ahli-ahli Majlis di kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

74. Selaras dengan anjakan paradigma dalam mencapai kesaksamaan gender, Kerajaan Negeri telahpun memulakan langkah awal dengan mewujudkan satu portfolio baharu iaitu Keterangkuman Gender pada tahun 2018. Jawatankuasa ini bertanggungjawab merangka kerja, dasar dan pelan tindakan ke arah itu. Antara projek awal yang telah dilaksanakan adalah Gender Responsive and Participatory Budget yang merupakan pendekatan di peringkat negeri untuk memastikan kesaksamaan gender tanpa mengira etnik, agama dan status sosio-ekonomi. Sejumlah RM200,000.00 akan diperuntukkan bagi portfolio Keterangkuman Gender untuk melaksanakan pelbagai program pada tahun 2019.

75. Menyedari pentingnya pembangunan keluarga dalam membantu perkembangan modal insan negeri, Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri yang juga akan menjadi agenda tahunan negeri. Justeru, sejumlah RM800,000.00 akan diperuntukkan pada tahun 2019 di bawah MMK Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi menganjurkan sambutan ini dan mengadakan pelbagai program lain.

Transfromasi Pendidikan

76. Bagi menggalakkan pembelajaran Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM), Kerajaan Negeri sedang membangunkan Penang Digital Library (PDL) Fasa 2 dengan kos sebanyak RM10.8 juta. PDL Fasa 2 ini boleh memuatkan seramai 540 orang pengguna dalam satu-satu masa untuk melaksanakan segala jenis aktiviti/program yang berkaitan dengan konsep STEM. Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan bilangan bahan bacaan elektronik kepada 20,000 unit berkaitan dengan STEM, selaras dengan permintaan pengguna. PDL Fasa 2 ini dijadualkan akan mula beroperasi pada Disember 2018.

77. Tidak sekadar tertumpu di Pulau, penduduk di kawasan Seberang Perai juga bakal mendapat peluang untuk menggunakan perkhidmatan perpustakaan digital ini. Bagi memastikan perkara ini, Kerajaan Negeri sedang membina sebuah perpustakaan digital di kawasan Butterworth, Seberang Perai yang akan dikenali sebagai Butterworth Digital Library (BDL) yang dijangka siap pada Oktober 2019 dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.6 juta. Bagi memacu budaya Revolusi Industri 4.0 dalam pendidikan agama Islam, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) pada tahun 2019. Tujuan PIDL ini dibina adalah untuk menggalakkan penduduk Negeri Pulau Pinang menghayati semua bidang keagamaan Islam secara elektronik, khasnya bidang Sains Keislaman. Sejumlah RM5 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri, melalui MAINPP bagi projek ini yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2019.

78. Walaupun sektor pendidikan bukanlah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan bantuan yang setimpal kepada bidang pendidikan demi memperkasakan pembangunan modal insan. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM12 juta di bawah program bantuan pendidikan untuk sekolah mubaligh, sekolah cina/persendirian, sekolah tamil dan sekolah agama rakyat (SAR) seperti tahun-tahun sebelum ini.

Membudayakan Sukan dan Riadah

79. Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama Negeri Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA) di Perak pada bulan September lalu. Negeri Pulau Pinang berjaya merangkul 32 pingat emas, 30 pingat perak dan 30 pingat gangsa serta menduduki tempat ketujuh daripada 15 buah negeri yang bertanding. Bagi menghargai semangat juang para atlet, Kerajaan Negeri telah menaikkan insentif kepada penerima pingat iaitu bagi pingat emas individu daripada RM3,000 kepada RM4,000, pingat perak individu daripada RM2,000 kepada RM2,500, manakala pingat gangsa individu daripada RM1,000 kepada RM1,500. Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan bagi tujuan ini adalah sebanyak RM300,000.

80. Bagi terus meningkatkan prestasi semua atlet negeri ini, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program atlet-atlet pelapis. Seramai 451 orang atlet sokongan yang melibatkan 17 jenis sukan sedang diasah bakatnya sebagai pelengkap kepada skuad latihan negeri.

81. Kerajaan Negeri juga akan membina sebuah kolam renang bertaraf antarabangsa yang akan dilengkapi dengan platform untuk sukan terjun air di Ampang Jajar, Permatang Pauh. Sebuah Stadium Velodrom yang turut dilengkapi dengan kemudahan gelanggang bola keranjang terbuka dan sebuah Kompleks Renang Bertaraf Antarabangsa, sebagaimana yang dimaklumkan dalam ucapan Bajet 2016 yang lalu, akan dimulakan di persisiran pantai Queensbay pada tahun 2019. Kerajaan Negeri juga akan membina sebuah lagi Kompleks Sukan Bertaraf Antarabangsa yang terdiri daripada 12 gelanggang badminton di atas sebahagian Lot 576, sebahagian Lot 552 dan sebahagian Simpanan Jalan (Lebuh Sungai Pinang 7), Seksyen 8, Daerah Timur Laut (DTL), dengan kos RM30 juta. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan berjumlah RM1.5 juta pada tahun 2019, untuk pembinaan gelanggang futsal di setiap daerah.

82. Kemudahan rekreasi yang lain turut disediakan bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat sebagai platform integrasi sosial. Untuk itu, sejumlah RM0.55 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri melalui MPSP untuk menyediakan kemudahan sukan dan alat permainan di tempat rekreasi awam dan sukan. Manakala sejumlah RM4.10 juta telah disediakan oleh MBPP pada tahun 2019 untuk menaiktaraf taman rekreasi, penanaman pokok dan lanskap bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada penduduk setempat untuk beriadah.

83. Bagi memastikan keseimbangan pembangunan di Seberang Perai dan bahagian Pulau, Kerajaan Negeri akan membina Nibong Tebal Arena yang menempatkan dewan serbaguna serta 9 gelanggang badminton di Jalan Bukit Panchor, Mukim 7, Seberang Perai Selatan (SPS). Projek pembangunan ini dijangka akan dimulakan pada bulan Mac 2019 dengan peruntukan RM7 juta.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

TERAS KEEMPAT : MELABUR DALAM PERSEKITARAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM UNTUK MENINGKATKAN DAYA TAHAN DALAM PELBAGAI KEADAAN

Pembangunan Lestari dan Seimbang

84. Negeri Pulau Pinang berkeyakinan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, seiring dengan pembangunan melalui Agenda Hijau Pulau Pinang 2018 hingga 2030. Agenda ini telah disediakan bagi menggubal pelbagai strategi bagi membina sebuah komuniti yang berdaya tahan untuk menyahut cabaran persekitaran dan matlamat pembangunan lestari pada masa hadapan.

85. Antara program yang telah dirangka di bawah Agenda Hijau Negeri adalah Program Sekolah Hijau dan Green Building Index (GBI) di mana Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai keluasan lantai binaan ‘GBI rated’ ke-3 terbesar di Malaysia. Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) di negeri ini. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyeru kepada semua pemaju supaya keluar daripada reka bentuk pembangunan yang bersifat tradisional kepada merekabentuk pembangunan yang mengandungi pembangunan pintar, bangunan pintar, infrastruktur pintar, pejabat pintar, persekitaran pintar, mobiliti pintar, ekonomi pintar, masyarakat pintar, kerajaan pintar dan sponge city yang berteraskan teknologi semasa.

86. Selaras dengan hasrat Penang2030, Kerajaan Negeri telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama United Nation (UN) Habitat pada 6 Oktober 2018 di mana ia merupakan yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia. MoU ini bertujuan untuk mewujudkan jalinan kerjasama yang lebih erat di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan UN Habitat, ke arah memastikan pembangunan mampan dan seimbang di Pulau Pinang. MoU ini adalah sejajar dengan Sustainable Development Goals (SDG) oleh UN Habitat, iaitu “Mewujudkan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari” dan Agenda Perbandaran Baharu atau New Urban Agenda (NUA). Bagi memastikan kejayaannya, RM 1 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini.

87. Kerajaan Negeri memandang serius kepada insiden tanah runtuh yang berlaku di Bukit Kukus baru-baru ini. Adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri untuk mencegah daripada kejadian sama berulang di masa hadapan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM10 juta pada tahun 2019 bagi kerja-kerja pembaikan cerun.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Negeri Hijau (Green State)

88. Bagi menjamin persekitaran hijau yang sihat dan pembangunan yang mampan, Kerajaan Negeri telah menjalankan aktiviti penanaman pokok sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu untuk mengimbangi pelepasan karbon melalui penghasilan oksigen. Untuk itu, sebanyak 363,665 pokok telah ditanam di bahagian Pulau dan 255,315 pokok di bahagian Seberang Perai. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menanam 100,000 pokok lagi dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memulihara alam sekitar. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT akan memperuntukkan sejumlah RM5.2 juta untuk melaksanakan program-program penghijauan.

89. Selaras dengan visi Penang2030, saya ingin mengumumkan projek perintis untuk memenuhi keperluan rakyat agar lebih sihat. Kerajaan Negeri akan menambahkan kawasan hijau untuk tujuan riadah seluas 41 ekar melalui pelaksanaan Pembangunan Projek Gurney Wharf di kawasan projek tambakan laut Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2), berhampiran Gurney Drive, Daerah Timur Laut bertujuan untuk mewujudkan taman awam yang terpanjang sehingga ke Padang Kota dan Clan Jetty di Weld Quay. Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa, di mana Fasa 1 melibatkan anggaran kos berjumlah RM100 juta. Pelaksanaan Fasa 1 dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2019 dan dijangka siap pada akhir tahun 2021.

Pengurusan Sisa Pepejal untuk Kesejahteraan

90. Dalam usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan dan menghijaukan alam sekitar, Kerajaan Negeri melalui MBPP sedang membina stesen pemindahan sampah dengan kos sebanyak RM61.5 juta di Batu Maung. Stesen tersebut yang berupaya menerima sehingga 800 tan sampah sehari akan siap dan beroperasi mulai 1 Disember 2018. Semua sampah bahagian pulau akan disalurkan ke stesen ini untuk dimampat dan diangkut melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ke Tapak Pelupusan Sampah di Pulau Burung untuk dilupuskan.

91. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT telah menguatkuasakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di seluruh negeri. Fasa seterusnya melibatkan pengasingan sisa organik yang akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan. Pengurangan sisa organik yang dijangka dihantar ke tapak pelupusan akan mengurangkan penjanaan gas metana (methane), dan seterusnya melindungi alam sekitar. Dasar ini dapat meningkatkan kadar kitar semula negeri yang kini pada kadar 38 peratus iaitu tertinggi dalam negara, selaras dengan matlamat Negeri Pulau Pinang untuk sentiasa bersih dan hijau. Mulai 1 Januari 2019, Kerajaan Negeri akan menguatkuasakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi premis kediaman bertanah.

Mereformasi Perkhidmatan PBT

92. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peranan PBT dalam sebuah negeri maju menjadi kian penting dan mencabar. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan reformasi Kerajaan Tempatan dengan melibatkan penyertaan rakyat melalui aktiviti sukarela dan memanfaatkan penyebaran maklumat melalui media sosial bagi mempercepatkan tindakan. Ini kerana, menjelang tahun 2020 dijangkakan lebih 50 peratus rakyat akan bergerak ke bandar. Justeru, PBT disaran untuk mula bergerak seiring dengan perkembangan Industri 4.0 dan mengambil manfaat state of the art technologies seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), big data dan wireless communication ke arah kelestarian pembangunan demi mencapai bandar rendah karbon. Pendekatan yang digunakan juga perlu lebih berpaksikan rakyat atau people centric industrial revolution 4.0.
93. Kerajaan Negeri memuji langkah kedua-dua PBT yang telah memulakan pendekatan people centric dalam perancangan pembangunan setempat dengan melaksanakan participatory budgeting process yang memberi ruang kepada penglibatan langsung masyarakat untuk merencana program dan projek di peringkat PBT.

94. PBT juga perlu meneruskan kerja-kerja menaiktaraf medan selera, tandas awam dan pasar awam. PBT perlu memberikan perhatian serius kepada usaha penambahbaikan kemudahan asas termasuk jalan, saliran dan jambatan.

95. Salah satu lagi usaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan PBT khususnya di kawasan Seberang Perai, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Permohonan ini akan dikemukakan dalam tempoh yang terdekat.

Pengurangan Cukai Pintu oleh MBPP dan MPSP

96. Kerajaan Negeri akan terus prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya tanggungan kewangan, oleh itu, Kerajaan Negeri, melalui MBPP dan MPSP bersetuju untuk meneruskan dasar pengurangan cukai pintu untuk tahun 2019 kepada penghuni-penghuni rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di mana mereka akan menikmati pengurangan cukai pintu pada kadar 50 peratus, manakala pengurangan sebanyak 3 peratus pula akan diberikan untuk lain-lain kategori. Dengan ini, Kerajaan Negeri amat berharap agar ianya sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban rakyat.

Mempertingkat Pengurusan Lalu Lintas

97. Kerajaan Negeri amat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang murah, cepat dan selesa sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri berusaha untuk membudayakan penggunaan teknologi hijau dan inisiatif rendah karbon dalam sistem pengangkutan awam. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mengandungi projek sistem Transit Aliran Ringan (LRT), tiga jalan berkembar, terowong dasar laut dan beberapa projek lagi sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan trafik. Antaranya, pembinaan Pakej 2 Projek Jalan-jalan Utama iaitu Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang dijangka akan bermula pada tahun 2019.

Keberkesanan Sistem Pengangkutan Awam

98. Kerajaan Negeri sedar bahawa masalah first mile dan last mile telah menghalang keberkesanan sistem pengangkutan awam. Maka dengan itu, bermula pada April 2018 yang lalu, perkhidmatan bas percuma yang baru iaitu Congestion Alleviation Transport (CAT) telah diperkenalkan. Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program Bas CAT percuma dengan kos RM15 juta pada tahun 2019. Pemantauan program ini akan dibuat bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada masa hadapan.

99. Bagi perkhidmatan perhubungan melalui udara, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan jabatan/agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan untuk penyediaan Pelan Induk Komprehensif Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menggandakan kapasiti dan menambahbaik perkhidmatan dan fasiliti kargo. Pelan ini akan meneliti keperluan pelebaran landasan untuk mengendalikan pesawat besar seperti Airbus A380 dan mewujudkan laluan antarabangsa baharu di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga akan terus berhubung dengan Kementerian berkaitan berhubung dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Walau bagaimanapun, projek pembesaran LTAPP ini hanya mampu menanggung kapasiti penumpang dan kargo untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang sahaja. Bagi keperluan lapangan terbang selepas tahun 2050, Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baru iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara di atas tanah tebus guna di Batu Maung yang berdekatan dengan Pulau Rimau. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan projek ini dalam tempoh terdekat.

100. Agenda Penang2030 antara lain turut memberi penekanan kepada penambahbaikan perhubungan melalui laut dan perkhidmatan pengangkutan air. Kerajaan Negeri telah membuat perancangan awal untuk pembangunan pinggir laut George Town (George Town Seafront) di sekitar Dermaga Swettenham (Swettenham Pier), termasuk pemuliharaan Kota Cornwallis, menaiktaraf tembok laut (Seawall) di sepanjang Padang Kota, pemuliharaan gudang, dan pembangunan semula Terminal Feri Pengkalan Tun Raja Uda. Ini akan membantu memperkenalkan perkhidmatan Rapid Feri ke kawasan tanah besar Butterworth dan memperkenalkan perkhidmatan teksi air (water taxi) sebagai mod pengangkutan baharu.

101. Sebagai negeri yang terletak di utara tanah air, Pulau Pinang boleh dianggap bertuah kerana mempunyai kelebihan sebagai lokasi yang strategik. Projek Penang Sentral yang kini sedang giat dibangunkan oleh MRCB di atas tanah seluas 22.65 ekar yang terletak di Seksyen 4, Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara, dengan nilai pembangunan kasar (Gross Development Value/ GDV) sebanyak RM2 bilion diharap dapat bertukar menjadi hub pengangkutan di utara Semenanjung Malaysia yang akan menghubungkan perkhidmatan feri, bas, teksi dan rel seperti ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik), komuter dan keretapi antara bandar, sekaligus menjadi salah satu pintu masuk ke Koridor Utara Semenanjung. Selain berfungsi sebagai pusat pengangkutan, ia juga dilengkapi pusat komersial dan kediaman, meliputi pembangunan seluas 6 juta kaki persegi. Pembinaan hub ini turut mengambilkira keperluan fasiliti untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), malah akan turut dilengkapi dengan pondok polis, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Pembinaan Fasa I dijangka akan siap pada bulan Disember 2018.

Pengurusan Banjir

102. Sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM150 juta untuk melaksanakan lapan (8) buah projek tebatan banjir berimpak tinggi bagi mengurangkan risiko banjir, terutamanya di beberapa kawasan titik panas (hotspot). Suka saya maklumkan bahawa projek ini telahpun dimulakan dengan enam (6) daripadanya telah pun dilaksanakan sejak Mac yang lalu dan dua (2) projek lagi akan dimulakan pada bulan Disember tahun ini juga. Kesinambungan pelaksanaan projek tebatan banjir di lokasi titik panas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Negeri.

103. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut memohon projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berjumlah RM1.0 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan 13 buah projek RTB di Pulau Pinang. Berkenaan permohonan projek RTB ini, terdapat khabar gembira daripada YB Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli dalam kunjungan beliau ke Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Projek RTB Sungai Pinang Fasa 3 yang telah tertangguh sejak sekian lama telahpun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka akan bermula pada April 2019. Kerja-kerja pelebaran lembangan Sungai Pinang sepanjang 1.5 kilometer ini melibatkan kos sebanyak RM150 juta dan apabila siap akan memberi manfaat kepada 150,000 orang penduduk di sekitarnya.

MEMARTABATKAN INSTITUSI ISLAM

104. Pada tahun 2019, sejumlah RM56.8 juta akan diperuntukkan, bertujuan untuk mengukuhkan institusi Islam. Seiring itu, Kerajaan Negeri akan terus berperanan untuk memartabatkan institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan modal insan yang cemerlang. Antara pembangunan yang telah dilaksanakan adalah dalam aspek kemudahan prasarana masjid dan surau. Pada tahun 2018, terdapat beberapa projek membina masjid baharu yang dilaksanakan secara kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu Masjid Seri Serdang, Masjid Penaga dan Masjid Kubang Ulu. Ketiga-tiga masjid ini telahpun siap dibina sepenuhnya. Malahan terdapat dua (2) lagi masjid baharu yang sedang dalam peringkat pembinaan iaitu Masjid Kampung Rawa dan Masjid Kampung Bonggol.

105. Selain itu, Kerajaan Negeri juga terus prihatin terhadap pembangunan Sekolah Agama Rakyat di Negeri Pulau Pinang. Ini dibuktikan melalui projek pembinaan baharu Sekolah Agama Rakyat di Masjid Seberang Perai Selatan dan Sekolah Agama Rakyat di Masjid Abdullah Fahim yang dijadualkan siap pada akhir tahun ini.

Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pulau Pinang

106. Dalam memperkasakan urus tadbir Hal Ehwal Agama Islam terutamanya perundangan dan pendakwaan Syariah, Kerajaan Negeri telah memulakan penambahbaikan melalui inisiatif untuk mengasingkan Bahagian Pendakwaan, JHEAIPP menjadi satu jabatan yang berasingan bagi memperkemaskan lagi kedudukan institusi perundangan syariah untuk masyarakat Islam negeri ini. Adalah diharapkan agar proses perundangan syariah dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan telus.

PENGURUSAN PERBELANJAAN MENGURUS DAN PEMBANGUNAN

YB Dato' Yang di-Pertua,

107. Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 adalah bertujuan untuk mendapatkan kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM866,873,457.00 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Enam Puluh Enam Juta, Lapan Ratus Tujuh Puluh Tiga Ribu, Empat Ratus Lima Puluh Tujuh) untuk 19 jabatan bagi tahun 2019, seperti mana perincian di Risalah Bil. 3 Tahun 2018. Selain daripada itu, peruntukan sejumlah RM34,314,930.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Empat Juta, Tiga Ratus Empat Belas Ribu, Sembilan Ratus Tiga Puluh) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan tiga (3) jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2019 ialah RM901,188,387.00 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Satu Juta, Satu Ratus Lapan Puluh Lapan Ribu, Tiga Ratus Lapan Puluh Tujuh).

108. Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri mensasarkan bahawa hasil yang akan dapat dikutip berjumlah RM505,500,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Lima Juta, Lima Ratus Ribu). Jangkaan hasil yang lebih rendah ini adalah kerana sumber hasil Kerajaan Negeri yang terhad serta tiada punca hasil baru. Meskipun begitu, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk melipatgandakan kutipan hasil daripada faedah pelaburan berupa bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap. Ini akan dilaksanakan dengan meneroka peluang terbaik yang ditawarkan oleh sektor pelaburan kewangan.

109. Walaupun jangkaan hasil negeri bagi tahun 2019 tidak meningkat dengan ketara, Kerajaan Negeri tetap komited dalam mengekalkan perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya dapat terus mencapai objektif Kerajaan Negeri dalam memastikan perkhidmatan awam yang efisien kepada rakyat Negeri Pulau Pinang. Pembentangan Belanjawan defisit untuk tahun 2019 ini tidak dapat dielakkan, dengan mengambil kira keperluan untuk memastikan semua projek pembangunan yang telah dirancang dan dalam peringkat pelaksanaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.

110. Anggaran defisit untuk Belanjawan 2019 ialah RM395.69 juta, iaitu dengan kadar penurunan defisit sebanyak RM352.80 juta berbanding dengan anggaran defisit 2018 sebanyak RM748.5 juta. Jumlah defisit pada tahun 2019 ini berkurangan dengan ketara, iaitu sebanyak 47.00 peratus berbanding tahun 2018 kerana Kerajaan Negeri tidak lagi menyediakan kemudahan pinjaman kepada Badan-badan Berkanun Negeri. Langkah drastik ini perlu diambil oleh pihak Kerajaan Negeri setelah mengambil kira kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri, selain bertujuan memantapkan kedudukan kewangan semasa.

111. Kerajaan Negeri mempunyai obligasi terhadap pembayaran emolumen yang telah meningkat sebanyak 1.16 peratus kepada RM179.01 juta pada tahun 2019 berbanding RM176.96 juta pada tahun 2018 yang disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan; peningkatan perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak 8.60 peratus iaitu daripada RM158.54 juta kepada RM172.13 juta untuk perbelanjaan perkhidmatan, penyelenggaraan dan kerja-kerja pembaikan, sewaan, kos bekalan dan utiliti. Bagi perbelanjaan perolehan aset pula, perbelanjaan untuk tahun 2019 adalah berjumlah RM4.84 juta iaitu pengurangan yang ketara sebanyak 43.70 peratus berbanding tahun 2018. Pengurangan ini turut mengambil kira banyak penggantian aset telah diluluskan pada tahun 2018 mengikut keperluan jabatan-jabatan Negeri.

112. Selain daripada tiga komponen perbelanjaan mengurus tersebut, komponen perbelanjaan mengurus yang terbesar bagi tahun 2019 ialah perbelanjaan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak RM540.97 juta. Meskipun begitu, anggaran perbelanjaan ini adalah kurang berbanding peruntukan tahun 2018 yang berjumlah RM902.01 juta. Oleh itu, terdapat penurunan sebanyak RM361.04 juta, atau bersamaan dengan 40.00 peratus berbanding tahun 2018. Punca peruntukan yang agak besar di bawah komponen ini adalah disebabkan penyediaan peruntukan sejumlah RM230.00 juta untuk pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri pada tahun 2019, bertujuan menampung perbelanjaan projek-projek pembangunan. Pemberian selainnya adalah termasuk pemberian di bawah program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat berjumlah RM100.00 juta, perbelanjaan bagi faedah, dividen dan kenaan bayaran hutang negeri berjumlah RM5.07 juta, bayaran pencen dan ganjaran berjumlah RM15.00 juta, tuntutan insuran dan pampasan sejumlah RM10.00 juta dan bayaran berjumlah RM50.00 juta kepada badan-badan berkanun negeri, agensi atau persatuan negeri.

113. Anggaran perbelanjaan Mengurus 2019 adalah berjumlah RM901.19 juta (termasuk pindahan RM230.00 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri). Sekiranya pindahan RM230.00 juta daripada Akaun Hasil Disatukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri tersebut dikecualikan sebagai 'perbelanjaan', maka anggaran perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2019 hanyalah sebanyak RM671.19 juta dan nilai defisit dapat dikurangkan kepada RM165.69 juta sahaja.

114. Cadangan Bajet Pembangunan Negeri bagi tahun 2019 pula berjumlah RM306,376,987.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Enam Juta, Tiga Ratus Tujuh Puluh Enam Ribu, Sembilan Ratus Lapan Puluh Tujuh) yang merupakan penurunan sebanyak RM378.60 juta atau 55.27 peratus jika dibandingkan dengan jumlah Bajet Pembangunan sebanyak RM684.97 juta pada tahun 2018. Penurunan melebihi 50.00 peratus ini antaranya adalah disebabkan tiada kemudahan pinjaman disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada Badan Berkanun Negeri bagi tahun 2019 berbanding berbanding RM350.0 juta yang disediakan pada tahun 2018. Penurunan Bajet Pembangunan ini tidak akan menjejaskan projek pembangunan secara langsung yang telah dirancang dan komited oleh Kerajaan Negeri.

115. Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi projek-projek pembangunan secara langsung bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM306.38 juta. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat Pulau Pinang sentiasa diberi keutamaan dan dilaksanakan secara berterusan.

116. Mengambil kira Bajet Mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM901.19 juta dan Anggaran Hasil tahun 2019 pula berjumlah RM505.50 juta, maka ianya menyumbang kepada Belanjawan defisit sebanyak RM395.69 juta. Seperti yang telah dinyatakan, Belanjawan defisit ini tidak hanya berpunca daripada perbelanjaan mengurus langsung sebanyak RM671.19 juta tetapi disebabkan oleh pindahan RM230 juta daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM306.38 juta. Anggaran defisit atau kekurangan RM395.69 juta yang dijangka dalam Bajet 2019 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri. Kerajaan Negeri menganggarkan defisit RM667.11 juta pada tahun 2017 tetapi telah mencatatkan lebihan RM51.16 juta pada akhir tahun kewangan 2017 dan seterusnya menyumbang kepada rizab terkumpul berjumlah RM1.09 bilion. Kerajaan Negeri terus positif dan berharap agar pencapaian yang sama akan terus berlaku pada tahun 2018 dan 2019.

117. Walaupun Kerajaan Negeri menjangkakan defisit bagi Belanjawan tahun 2019, namun ianya tidak akan menjejaskan perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri dan semua komitmen pembiayaan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan, bantuan-bantuan sosial rakyat, pemberian serta program-program Agenda Ekonomi Saksama yang mana akan diteruskan seperti mana dijanjikan. Meskipun begitu, Kerajaan Negeri akan memperhalusi semula program-program tertentu, bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan dan layak, di mana ini adalah selaras dengan keputusan yang telah diambil oleh Kerajaan Persektuan berkenaan BR1M.

118. Dari segi perincian peruntukan Pembangunan yang disediakan untuk sembilan (9) jabatan seperti di Risalah Bil. 3 Tahun 2018, Maksud Pembangunan P16 Jabatan Kewangan Negeri diperuntukkan dengan jumlah yang paling tinggi iaitu RM180.0 juta untuk tahun 2019. Peruntukan yang besar ini melibatkan peruntukan bagi projek-projek berimpak tinggi seperti Rancangan Tebatan Banjir sejumlah RM83 juta, projek-projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi Kerajaan Negeri sejumlah RM50.79 juta, projek yang dilaksanakan oleh Chief Minister Incorporated (CMI) sejumlah RM47.88 juta dan lain-lain projek khas Kerajaan Negeri. Peruntukan pembangunan yang disediakan bagi Maksud Pembangunan Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah berjumlah RM66.82 juta, Jabatan Kerja Raya berjumlah RM24.00 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran berjumlah RM15.27 juta, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam berjumlah RM11.20 juta, Jabatan Perhutanan berjumlah RM2.02 juta dan Jabatan Taman Botani berjumlah RM740 ribu. Peruntukan yang disediakan bagi Jabatan Pertanian berjumlah RM3.37 juta dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah sebanyak RM2.96 juta iaitu sama seperti peruntukan tahun 2018.

PENJAWAT AWAM SEBAGAI PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGERI

119. Saya bersyukur Negeri Pulau Pinang mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan berintegriti. Terima kasih diucapkan kepada YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua warga kerja di bawah pimpinan beliau, yang sentiasa menunjukkan prestasi yang membanggakan walaupun terpaksa bekerja di bawah tekanan dan cabaran. Amalan kerja yang berprestasi tinggi telah menghasilkan natijah yang cukup baik di mana masalah rakyat diberi perhatian serius dan diambil tindakan yang sewajarnya.

120. Sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri, kebajikan penjawat awam turut menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Penjawat awam termasuklah pesara dan ahli keluarga terdekat dapat menikmati Kemudahan Perbelanjaan Perubatan yang disediakan. Sehingga kini, sebanyak RM1.98 juta telah diperuntukkan untuk bayaran bantuan perubatan di mana perkhidmatan dialisis menunjukkan jumlah bayaran bantuan perubatan yang tertinggi sehingga mencecah RM1.04 juta.

121. Kecemerlangan penjawat awam Negeri Pulau Pinang bukan hanya omongan kosong sebaliknya ditonjolkan dengan anugerah dan pengiktirafan yang telah diterima sama ada di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang menerima Pengiktirafan Portal/Laman Web 5 Bintang daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang telah menerima dua (2) anugerah peringkat Kebangsaan iaitu Anugerah Pencapaian Industri Air 2018 Loji Rawatan Terbaik dan Anugerah Air untuk Pengurusan daripada Persatuan Air Malaysia (MWA).

122. Tidak ketinggalan ucapan tahniah turut dirakamkan kepada MBPP di atas Anugerah MyGDI Kebangsaan dalam Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-8. Manakala di peringkat antarabangsa, MBPP turut memenangi Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (2018-2020) di Chiangmai, Thailand pada 26 Januari 2018 dan Anugerah Best Print Advertisement semasa program Tourism Promotion Organization for Asia Pacific Cities pada 22 Jun 2018 di bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

123. Tidak lupa juga ucapan tahniah dan syabas kepada MPSP yang mendapat pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara. Antaranya disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records atas pencapaian dan kejayaan MPSP mendapatkan dan melaksanakan tujuh Pensijilan Sistem Pengurusan Berteraskan Kualiti. MPSP juga turut menerima anugerah Special Honour Award bagi Government Category: Green Initiatives Award bagi Project Butterworth Fringe Festival: A Creative Placemaking In Urban Public Spaces.

124. Saban tahun Negeri Pulau Pinang terlibat dengan Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti) yang dikendalikan oleh Jabatan Audit Negara, Negeri Pulau Pinang. Walaupun kriteria penarafan telah diperketatkan untuk tahun 2017, dua (2) buah jabatan/agensi telah berjaya mendapat penarafan Cemerlang, iaitu JKR dan MPSP. Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua jabatan ini kerana telah berjaya mengekalkan tahap kecemerlangan pengurusan kewangan. Bagi jabatan/agensi lain, saya yakin bahawa tahap kecemerlangan yang sama akan dapat dicapai dengan melipatgandakan usaha.

125. Kerajaan Negeri tidak pernah lupa menghargai penjawat awam di negeri ini dan sebagai penghargaan tambahan bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil kira kenaikan harga barangan termasuk minyak petrol, minyak masak dan bahan-bahan subsidi yang lain serta meluluskan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan setengah bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,000.00. Adalah diharapkan bayaran bonus ini akan meningkatkan semangat penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi pada tahun akan datang.

126. Bagi tujuan pembayaran bonus tersebut, yang melibatkan keseluruhan 3,915 penjawat awam, ianya adalah berjumlah RM5.23 juta. Kesemua bayaran bonus akan dibayar pada bulan Disember 2018. Di samping itu, pembayaran kepada 1,590 Penyelia dan Guru KAFA, 270 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 182 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 572 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300.00 seorang dan RM200.00 seorang kepada seramai 240 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM832 ribu kepada kumpulan ini akan juga dibayar pada Disember 2018.

127. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato' Seri SUK, YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato' Penasihat Undang-Undang Negeri dan semua ketua jabatan yang banyak membantu menjayakan dasar Kerajaan Negeri. Saya turut ingin menzahirkan penghargaan atas sumbangan semua penjawat awam di negeri ini, tidak kira daripada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

128. Seperti mana yang telah saya jelaskan, walaupun Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan defisit sebanyak RM395.69 juta untuk tahun 2019, namun komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan projek pembangunan yang mensejahterakan rakyat diteruskan dan bantuan khas kewangan yang lazimnya diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri akan tetap diperuntukkan dalam tahun 2019 nanti. Adalah diharapkan sepertimana yang berlaku sejak 2008, walaupun belanjawan defisit dibentangkan setiap tahun, namun Kerajaan Negeri tetap mampu mencatatkan belanjawan lebihan kerana sentiasa berpegang kepada urus tadbir CAT dan kepimpinan yang bersih.

129. Saya amat berharap Belanjawan yang dibentangkan ini dapat merealisasikan impian Kerajaan Negeri dalam mencapai wawasan pembangunan negeri ke arah Penang2030.

YB Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang