MAJLIS PERASMIAN HOTEL VANGOHH EMINENT, BUKIT MERTAJAM
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN VANGOHH EMINENT, BUKIT MERTAJAM
7 Disember 2018
Vangohh Eminent Premier Hotel
Dato Sri Goh Choon Kim 拿督斯里吴春锦
GTM GROUP Chairman
Datin Sri Ong Ah Poh 拿汀斯里王丝丝
GTM GROUP Director
YB. Steven Sim Chee Keong 沈志强
Deputy Minister - Ministry Youth and Sports
YB. Yeoh Soon Hin 杨顺兴律师
PG State Exco - Tourism Development, Heritage, Culture & Arts
YB. Chong Eng 章瑛
PG State Exco - Women and Family Development, Gender Equality and Non-Islamic Religious Affairs
YB. Heng Lee Lee 王丽丽 ADUN- Berapit
YB. Goh Choon Aik 吴俊益 ADUN- Tambun
YB. Ong Ah Teong 王耶宗 ADUN- Batu Lanchang
Jonathan Freddy P. Bagang Pengarah- Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia, Penang Office
Superintendent Mohd Mustafa Bin Bidin IPD
Dif-dif kehormat
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan Vangohh Hotel & Spa kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Vangohh Eminent Premier Hotel pada hari yang cukup bersejarah ini.
Mula membuka pintunya pada tahun 2017, Vangohh Hotel & Spa yang berdiri megah di tengah-tengah Bandar Bukit Mertajam ini menjadi petanda baik bukan sahaja kepada Negeri Pulau Pinang bahkan kepada industri pelancongan negara. Hotel ekslusif yang bertaraf lima (5) bintang ini telah menjadi daya tarikan utama di kawasan ini kerana keunikannya yang tersendiri. Saya difahamkan Vangohh Hotel & Spa telahpun beroperasi dengan jayanya selama setahun. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Pulau Pinang sememangnya terkenal di kalangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara. Kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang contohnya telah meningkat dari 6.5 juta orang pada tahun 2016 kepada seramai 7.2 juta orang pada tahun 2017, iaitu peningkatan 8.2 peratus. Dan pada tahun 2018, jumlah penumpang melalui pengangkutan udara ini dijangka akan terus meningkat kepada 7.8 juta orang. Jumlah kehadiran pelancong yang meningkat saban tahun ke negeri ini memaksa Kerajaan Negeri untuk merangka dan merancang dengan teliti pembangunan-pembangunan hotel bagi memenuhi permintaan tersebut.
Pujian harus diberikan kepada Dato’ Sri Goh Choon Kim atas usahanya dalam membangunkan bukan sahaja hotel mewah ini yang mula mendapat tempat di hati pengunjung, malah atas sumbangan keseluruhannya dalam industri pembangunan sejak hampir sedekad yang lalu. Kesudian Dato’ Sri Goh membuka hotel bertaraf lima bintang di negeri kelahirannya menjadi aset berharga kepada Pulau Pinang. Tahniah diucapkan kepada Dato’ Sri Goh Choon Kim.
Bersesuaian dengan visi utama Vangohh Hotel & Spa untuk menjadi perintis yang mengetuai trend mewah dan gaya hidup yang berkualiti untuk rakyat terutamanya di kawasan Seberang Perai dan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya, hotel ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti mewah seperti spa, gymnasium, kolam renang, tempat permainan kanak-kanak, dewan bankuet yang luas, bilik mesyuarat, restoran dan sudah pasti bilik-bilik penginapan yang selesa dan bercitarasa mewah untuk kemudahan dan keselesaan kepada para pengunjungnya. Malah, hotel ini turut menyediakan kemudahan OKU yang lengkap untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung OKU. Keprihatinan yang ditunjukkan ini haruslah menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha hotel lain.
Selaras dengan slogan “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”, Vangohh Hotel & Spa juga turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti sosial yang membawa kebaikan kepada masyarakat setempat. Sejak memulakan operasinya pada tahun lepas, Vangohh Hotel & Spa telah mengadakan beberapa aktiviti kemasyarakatan dan menyumbang derma kepada One Hope Charity & Welfare Berhad Bukit Mertajam sebagai salah satu bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Vangohh Hotel & Spa atas kejayaan dan sumbangan yang telah diberikan. Diharapkan hotel ini akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan bermutu kepada para pelancong dan menempa nama sebaris dengan hotel-hotel terkemuka di dunia.
Oleh itu, dengan sukacitanya saya merasmikan pembukaan Vangohh Eminent Premier Hotel.
Sekian, terima kasih.