MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEMALANGAN PERJALANAN BELIA UNTUK BELIA 2018

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEMALANGAN PERJALANAN BELIA UNTUK BELIA 2018

10 DISEMBER 2018
DEWAN BUDAYA, USM

 

Yang Berusaha Profesor Dr. Fauziah Md. Taib
Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia

Encik Roshaimi bin Mat Rosely
Ketua, Return to Work, PERKESO

Encik Othman bin Mohd Nordin
Pengarah PERKESO Negeri Pulau Pinang

Puan Thurkahthevi P.N. Munusamy
Pengarah JKJR Negeri Pulau Pinang

Profesor Madya Dr. Lilis Surienty Abd. Talib
Pengarah Program Seminar Pencegahan Kemalangan Perjalanan untuk Belia 2018

Encik Muhammad Shahril
Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

Wakil-wakil media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Pusat Pengajian Pengurusan USM bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang, Boon Siew Honda Sdn Bhd (Pulau Pinang), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan USM dan Sekretariat Keselamatan Jalan Raya USM di atas penganjuran Seminar “Kemalangan Perjalanan untuk Belia 2018” pada pagi yang mulia ini.

Saya difahamkan bahawa seminar yang akan berlangsung sepanjang 1 hari ini akan memberi fokus terhadap kesedaran di kalangan mahasiswa/mahasiswi, kakitangan USM serta pemain industri di Pulau Pinang khususnya berkenaan aspek-aspek yang berkaitan dengan isu-isu keselamatan jalan raya selain turut memberi tumpuan kepada pendekatan mengenai usaha untuk memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Di dalam kepesatan arus perkembangan dunia masa kini, seminar sedemikian sangat relevan dan inilah intipati utama kepada tujuan asal penganjuran seminar ini diadakan, yakni mengenalpasti seterusnya membuahkan resolusi yang dapat mengurangkan risiko ancaman kepada nyawa dan kesihatan para pekerja. Hal ini pastinya bukan sahaja menuntut komitmen yang tinggi daripada individu tertentu sahaja , tetapi perlu diambil dan dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat.

Seminar pada hari ini akan mewujudkan satu platform yang sangat berguna terutama kepada para mahasiswa/mahasiswi yang akan menyertai bidang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian di USM kelak. Kesedaran ini penting dan mampu melonjak produktiviti bagi sesebuah organisasi. Kita percaya keselamatan dan kesihatan pekerja yang terjejas akan mengakibatkan proses penyembuhan yang lama dan boleh mengakibatkan majikan menanggung kos pengurusan perubatan yang tinggi.

Kepada individu iaitu pekerja pula, isu keselamatan diri perlulah diberi perhatian serius memandangkan sebarang kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal akan turut membawa kepada isu sosial kekeluargaan yang bertukar longgar dan berpanjangan. Ringkasnya, aspek keselamatan dan kesihatan pekerja itu memerlukan kesedaran dan tindakan yang sama dari pihak majikan dan pekerja.

Kita mungkin tidak sedar bahawa kemalangan perjalanan yang sering berlaku adalan kemalangan yang melibatkan perjalanan rutin seseorang pekerja dari rumah ke tempat kerja dan dari tempat kerja ke rumah dan ia merupakan antara penyumbang peratusan yang tinggi kepada jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan sejak sedekad yang lalu.

Data menunjukkan bahawa kemalangan dalam kategori ini adalah pada sekitar purata 44 peratus dari keseluruhan jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan. Turut dilaporkan bahawa pernah dalam tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2005 hingga 2015 berlaku peningkatan kemalangan perjalanan sehingga 65.3 peratus. Insiden kemalangan yang mengejutkan ini telah meletakkan kemalangan perjalanan di tangga ke-5 yang membawa kepada punca berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Malah kadar yang sama turut dilaporkan di peringkat global.

Sama ada kita sedar atau pun tidak, kemalangan perjalanan telah memberi tamparan yang hebat kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi. Hal ini sedemikian kerana selain kemalangan maut yang memberi derita kepada keluarga yang ditinggalkan dan mengganggu kelancaran produktiviti organisasi, kemalangan perjalanan juga sering mengakibatkan kecederaan parah yang membawa kepada kecacatan kekal pekerja yang bernasib malang. Kesan buruknya adalah kurangnya atau hilangnya pendapatan keluarga dan juga berlakunya kemerosotan produktiviti organisasi disebabkan oleh penanggungan kos penggantian pekerja yang perlu distruktur semula serta kos perekrutan pekerja baharu yang tinggi.

Lebih membimbangkan adalah apabila 75 peratus daripada mangsa yang terlibat adalah dalam kalangan mereka yang berumur dari 15 hingga 44 tahun. Jumlah ini termasuklah kumpulan tenaga kerja yang paling produktif dalam organisasi berkenaan. Sewaktu proses rehabilitasi pekerja berjalan, organisasi pastinya akan terkesan disebabkan mengalami penurunan produktiviti yang berpanjangan.

Bagi menangani hal ini, maka pihak majikan malah individu itu sendiri perlu mengambil pelbagai pendekatan yang diyakini mampu mengurangkan kemalangan perjalanan. Kajian menunjukkan bahawa faktor manusia, keadaan kenderaan dan persekitaran sebagai punca utama kepada kemalangan kategori ini. Dalam hal ini penguatkuasaan keselamatan adalah langkah yang baik. Namun, usaha pendidikan keselamatan di jalan raya dalam kalangan pengguna adalah opsyen yang perlu dimaksimakan hebahan dan pelaksanaannya.

Sebagai pusat pengajian yang terkenal dengan kajian dan penyelidikan, sememangnya usaha pihak USM berganding bahu dengan pelbagai agensi akan memberi kesan yang baik dan berpanjangan kepada generasi muda ini yang merupakan antara kelompok mereka yang paling kerap menggunakan jalan raya. Untuk pihak pengurusan universiti, sudah tiba masanya kita sebagai majikan menterjemahkan amalan mewujudkan persekitaran yang selamat itu menerusi pelaksanaan modul atau kursus yang relevan. Satu modul kursus berkaitan pengguna jalan raya yang selamat mungkin boleh diperkenalkan khususnya kepada para pelajar yang baharu melangkah masuk ke alam universiti.

Saya berharap agar kolaborasi di antara pihak universiti serta pemain industri ini akan menjadi permulaan kepada suatu penyelidikan yang proaktif dan berkualiti pada masa hadapan. Saya juga berhasrat untuk melihat agar continuous engagement ini akan terus berlaku di masa hadapan dalam melahirkan sebuah negara yang maju dan makmur, hidup rukun dan damai, penuh harmoni.

Sepatutnya kepesatan kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 membawa kepada persekitaran yang kondusif dan selamat tetapi apa yang merisaukan adalah walaupun wujud segala kecanggihan teknologi yang terdapat pada hari ini, kita masih juga dapat mendengar dan membaca tragedi seperti kemalangan komunal terus berlaku. Kita tidak mahu kecanggihan teknologi itu menjadi perosak. Sebagai contoh penggunaan telefon bimbit ketika memandu yang menjadi trend masa kini terus berlarutan dan menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya.

Sehubungan dengan itu, apa sahaja usaha proaktif seperti yang dilakukan oleh USM ini, maka kami di pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa bertindak menyokong penuh usaha-usaha sebegini yang dapat mengurangkan risiko ancaman nyawa dan kesulitan hidup kepada rakyat. Syabas dan tahniah USM.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Seminar “Kemalangan Perjalanan untuk Belia 2018”

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang