MAJLIS PERASMIAN GERAI SEMENTARA PROJEK NAIKTARAF KOMPLEKS MAKANAN LEBUH TENGGIRI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN GERAI SEMENTARA PROJEK NAIKTARAF KOMPLEKS MAKANAN LEBUH TENGGIRI

15 DISEMBER 2018 (SABTU)
LEBUH TENGGIRI, SEBERANG JAYA, SEBERANG PERAI TENGAH

 

Yang Berhormat Dr. Afif Bin Bahardin
ADUN Seberang Jaya

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Dihormati Ahli Majlis- Ahli Majlis
Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Ir Hjh Rosnani bt Hj Mahmod
Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Ketua-Ketua Jabatan
Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai

Rakan - rakan Media

Tuan - tuan dan puan - puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan Gerai Sementara Projek Naiktaraf Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri, Seberang Perai Tengah.

Di kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YBhg. Dato’ YDP kerana berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Gerai Sementara Projek Naiktaraf Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri, Seberang Jaya. Jutaan terima kasih, syabas dan tahniah diucapkan di atas usaha gigih MPSP bagi memastikan kelancaran majlis kita hari ini.

Kompleks makanan ini dinaiktaraf bermula dari 1 Oktober 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Jun 2019 yang memakan masa selama 9 bulan. Dimaklumkan kos menaiktaraf kompleks makanan Lebuh Tenggiri, menelan belanja sebanyak RM506,000.00 untuk menaiktaraf 14 unit gerai dan tempoh tanggungan kecacatan adalah 12 bulan dari tarikh siap kerja.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Gerai makanan ini dibina adalah untuk memberi keselesaan bersama dan ianya menunjukkan keperihatinan Pihak Berkuasa Tempatan terhadap aspek pembangunan para peniaga. Banyak usaha yang diambil oleh MPSP untuk memastikan kerja-kerja menaiktaraf kompleks makanan ini berjalan lancar dan diharapkan dengan penambahbaikan terhadap gerai tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada peniaga serta pengunjung.

Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk menaiktaraf kawasan fizikal peniaga kecil kepada satu tahap yang lebih bersih dan menarik, memberi penekanan kepada elemen penyediaan makanan yang bersih, sihat dan berkhasiat kepada pelanggan serta menggalakkan penjaja dan peniaga kecil menyediakan suasana persekitaran perniagaan yang lebih selamat dan kondusif.

Lebih banyak fasiliti yang telah disediakan oleh MPSP antaranya, pembinaan bumbung baru, membina dinding dalaman dan luaran, membina pintu dan tingkap, perangkap minyak, dan meter TNB dan PBA.

Dengan adanya Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri, saya berharap penduduk di sini akan lebih selesa dengan kemudahan yang disediakan dan juga berharap persatuan penjaja di sini boleh bekerjasama dengan pihak MPSP untuk mengurangkan penjanaan sisa di pasar ini disamping menjana pendapatan sampingan melalui membuat kompos dari bahan sisa buangan.

Sisa-sisa makanan, plastik dan kertas pembalut yang tidak mahu digunakan lagi, janganlah dibuang ke dalam longkang kerana keadaan ini akan menyebabkan longkang tersumbat dan kemudiannya mengundang bau yang tidak menyenangkan dan dapat mengelakkan banjir. Sekaligus dapat membantu mengurangkan penjanaan sampah dan mengurangkan sampah ke tapak pelupusan Pulau Burung. Saya menyeru bersama-samalah kita menjada kebersihan gerai makanan ini supaya ianya menjadi contoh kepada gerai-gerai makanan yang lain.

Di sini saya ingin menyarankan kepada para peniaga agar senantiasa berusaha memperbaiki diri dan merebut segala bentuk peluang dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai. Marilah kita bersama-sama berganding bahu menaikkan taraf hidup seterusnya meletakkan martabat para peniaga ke satu tahap yang disegani.

Selain itu, saya ingin menyeru kepada semua para peniaga supaya mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai sebelum membuat sebarang penambahan keperluan di gerai masing-masing. Ini adalah untuk mengurangkan berlakunya sebarang kerosakan yang tidak diingini yang boleh menganggu urusan jual beli para peniaga.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada MPSP kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Perasmian Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri dan berharap MPSP sentiasa komited dalam memastikan setiap program yang dianjurkan dapat memberi impak positif ke atas masyarakat dan berharap ianya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Seberang Perai. Saya berharap dengan adanya gerai makanan ini dapat memberikan manfaat kepada para peniaga dan penduduk Seberang Perai, dan berharap ianya digunakan sebaik mungkin.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk merealisasikan Majlis Perasmian Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri. Jadi marilah sama-sama kita menjaga kebersihan kawasan ini dan Seberang Perai. Dengan itu, saya merasmikan Gerai Sementara Projek Naiktaraf Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri, Seberang Jaya.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang