MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENGECAMAN WAJAH (FACIAL RECOGNITION)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENGECAMAN WAJAH (FACIAL RECOGNITION)
PADA 2 JANUARI 2019 (HARI RABU), 10.30 PAGI
Terima kasih Pengacara Majlis
Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Encik Teh Lai Heng
Adun Kawasan Komtar
Yang Berbahagia Dato’ Ar Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia CP Dato' Seri A. Thaiveegan
Ketua Polis Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Ir. Addnan Bin Mohd Razali
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai
Rakan-rakan media
Dato’-Dato’, Datin-Datin / Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin yang dihormati sekalian
SELAMAT PAGI DAN SALAM SEJAHTERA,
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pelancaran projek pengecaman wajah (Facial Recognition) ini.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih ke atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan menghadiri Majlis pada pagi ini.
Sejak Kerajaan Negeri mengambil alih pemerintahan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, banyak usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan kerjasama PDRM dalam menjaga dan meningkatkan keselamatan orang ramai di Negeri Pulau Pinang. Pemantauan melalui kamera CCTV merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi mengurangkan jenayah, terutamanya jenayah jalanan yang telah dilaksanakan untuk menjaga kesejahteraan hidup rakyat seperti yang telah dijanjikan.
Kamera Litar Tertutup (CCTV) untuk tujuan mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di negeri ini telah dipasang oleh Kerajaan Negeri melalui MBPP sejak dari tahun 2008. Pada masa kini, bilangan CCTV yang telah dipasang di kawasan pulau, Pulau Pinang adalah sebanyak 767 buah CCTV dan 150 buah kamera CCTV lagi sedang ditambah oleh MBPP. Jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan infrastruktur dengan pemasangan CCTV ini adalah sebanyak 46.2 juta di mana kos ini adalah melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem kamera CCTV di tapak dan bilik kawalan CCTV serta termasuk lima (5) tahun penyelenggaraan komprehensif.
Walaupun Sistem CCTV telah membawa kepada perubahan positif dalam mencegah jenayah dan menambahbaik kawalan lalulintas di negeri ini, namun, kegunaannya telah diperluaskan untuk menjadikannya lebih berkesan. Dengan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang ada pada masa kini, Kerajaan Negeri telah selangkah kehadapan dengan menjalankan projek pengecaman wajah (facial recognition). Projek pengecaman wajah (facial recognition) ini merupakan yang pertama di dalam Malaysia. Teknologi Artificial Intelligence (AI) yang digunakan untuk projek pengecaman wajah (facial recognition) ini adalah menggunakan teknologi IBM systems.
Wajah penjenayah atau wanted person akan di kesan melalui sistem yang dibangunkan ini dan sistem ini beroperasi sepenuhnya di bilik gerakan polik kontinjen Pulau Pinang. Pihak PDRM akan menjalankan siasatan mengikut procedur SOP PDRM.
Para Hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri amat memandang serius mengenai isu berkaitan dengan keselamatan orang awam dan kadar jenayah yang berlaku di negeri ini. Saya amat berharap supaya projek ini dapat membantu pihak PDRM menangkap penjenayah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di Pulau Pinang.
Penjenayah yang hendak melakukan jenayah atau memasuki Negeri Pulau Pinang perlu mengetahui bahawa mereka sedang dipantau dan diperhatikan oleh CCTV yang dipasang oleh MBPP dan PDRM.
Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama MBPP dan PDRM yang telah menjayakan projek ini. Dengan adanya gandingan bersepadu daripada semua pihak maka, Kerajaan Negeri yakin visi memastikan Pulau Pinang menjadi negeri paling selamat didiami, dan negeri bertaraf antarabangsa dapat direalisasikan selari dengan tagline negeri ini Pulau Pinang Selamat, Bersih, Hijau dan Sihat.
Untuk mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Bandar dan MBPP kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pelancaran projek ini. Dengan ini saya merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pengecaman Wajah (Facial Recognition).
Sekian, terima kasih.