MAJLIS PEMBUKAAN RASMI TESCO BAGAN AJAM

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RASMI TESCO BAGAN AJAM

17 JANUARI 2019
TESCO BAGAN AJAM, PULAU PINANG

 

Encik Paul Ritchie
Ketua Pegawai Eksekutif, Tesco Malaysia

Puan Azliza Baizura Azmel
Pengarah Khidmat Korporat, Tesco Malaysia

Encik Yew Yoong Sin
Pengarah Pasaraya Utara, Tesco Malaysia

Encik Vijaykumaran a/l Rahsandran
Pengurus Besar Pasaraya Tesco Bagan Ajam

ACP Tuan Haji Noorzainy bin Haji Mohd Noor
Ketua Polis Daerah, Seberang Perai Utara (SPU)

Ketua-Ketua Agensi, Pengarah-Pengarah Bahagian & Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri

Pihak Pengurusan, Warga Kerja, Para Pelanggan Tesco

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tesco Malaysia kerana sudi menjemput saya sempena Majlis Perasmian Tesco Bagan Ajam, cawangan pasaraya Tesco yang ke-7 di Pulau Pinang dan yang ke-58 di Malaysia, pada pagi yang berbahagia ini.

Berkeluasan 9,500 meter persegi dengan ruang jualan seluas 4,000 meter persegi manakala ruang niaga pula ada seluas 5,500 meter persegi, ia sudah cukup menggembirakan penduduk tempatan dan sekitar kawasan ini. Di samping menyediakan peluang kepada pengusaha tempatan dan nasional untuk mengembangkan aktiviti perniagaan, ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

Terdapat lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan kepada warga negeri ini khususnya, dan kepada masyarakat berhampiran amnya. Ia merangkumi semua tahap dan memerlukan pelbagai kemahiran, dari bahagian pengurusan runcit, ke bakeri serta makanan segar. Dengan adanya peluang pekerjaan serta ruang perniagaan baharu seperti yang disediakan di Tesco Bagan Ajam ini, bukan sahaja dapat membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tetapi turut dapat merancakkan ekonomi tempatan untuk terus berkembang pesat.

Saya difahamkan bahawa Tesco turut memperkenalkan pelbagai produk di bawah penjenamaan Tesco dengan harga yang jauh lebih murah tetapi kualiti yang setanding dengan jenama terkenal lain. Antaranya ialah barangan makanan, pakaian, keperluan peribadi, alatan memasak, mencuci dan menghias, di mana lebih 80% daripadanya adalah dibawa oleh pengusaha SME tempatan. Dengan permintaan yang berterusan, diharap Tesco akan terus berusaha untuk mengeluarkan produk-produk di bawah jenama sendiri. Ia bukan sahaja dapat menyediakan alternatif dan membantu pengguna berjimat ketika berbelanja, tetapi sekaligus membantu pengusaha-pengusaha SME tempatan untuk terus maju. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Tesco Malaysia atas usaha murni yang dilaksanakan selama ini.

Kami di pihak Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan segala perancangan dan pembangunan negeri ini terus kekal relevan untuk manfaat rakyat negeri ini. Dari hanya sebuah negeri kecil, kini kita bangga apabila Pulau Pinang disenaraikan antara negeri yang mempunyai kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia. Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mempunyai KDNK per kapita tertinggi berbanding negeri di Malaysia. Pulau Pinang menduduki tempat ketiga tertinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia di Malaysia selepas Negeri Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur (2015).

Sektor pelancongan di negeri ini dilihat semakin menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan setiap tahun. Suka saya nyatakan Pulau Pinang masih mengekalkan rekod menjadi antara negeri pilihan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara. Mengikut data terkini yang diperolehi, Pulau Pinang merekodkan jumlah pergerakan penumpang yang tiba dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan peningkatan sebanyak 7.59% pada tahun 2018 menjadikan jumlahnya adalah sebanyak 7,780,760 berbanding 7,232,097 pada tahun 2017.

Pulau Pinang akan terus mengorak langkah sebagai sebuah negeri maju yang memiliki pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menawarkan persekitaran hidup yang kondusif. Sebagai sebuah negeri yang cukup pesat, ia akan terus bergerak dengan kecemerlangan dalam urus tadbir, mobiliti, pengawalan alam sekitar, kesejahteraan hidup masyarakat dan ekonominya yang mampu dicapai melalui pembangunan modal insan, persefahaman sosial, dan infrastruktur yang berkualiti dan menyeluruh.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada pihak pengurusan Tesco kerana menjadi pasaraya yang paling awal mengambil bahagian dalam program Mutiara Food Bank, iaitu sebuah program yang mengumpulkan lebihan makanan yang masih dalam keadaan elok untuk diagihkan kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan.

Saya difahamkan bahawa sejak program ini dilancarkan pada tahun 2016, Tesco telah menderma lebih 2 juta hidangan makanan (2 million meals) melalui Program Sumbangan Lebihan Makanan ini melalui Rakan Amal mereka. Semoga usaha ini akan menjadi ikutan kepada lebih ramai lagi pihak untuk turut serta dalam program ini.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Tesco Bagan Ajam.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang