MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN BOLASEPAK PULAU PINANG DAN PERASMIAN JERSI PASUKAN BOLA SEPAK NEGERI
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN BOLASEPAK PULAU PINANG DAN PERASMIAN JERSI
PASUKAN BOLA SEPAK NEGERI
THE LIGHT HOTEL, SEBERANG JAYA
22 JANUARI 2019, 8PM
Yang Berhormat Dr. Amar Pritpal Abdullah
Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang
Merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri
En Dastagir V.K. Mohd Yassin
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang
Ahli-ahli Jawatankuasa,
Persatuan Bolasepak Pulau Pinang
Yang Berhormat Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Dif-dif jemputan
Rakan-rakan media
Selamat petang semua,
Pertama sekali, izinkan saya untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh jawatankuasa Persatuan Bolasepak Pulau Pinang ataupun lebih dikenali sebagai FAP di atas penganjuran majlis pada hari ini.
Saya berasa gembira melihat kehadiran penyumbang-penyumbang dan penyokong-penyokong tegar bola sepak negeri pada hari ini. Anda semua memainkan peranan yang penting dalam kemajuan bola sepak negeri. Kehadiran anda semua membuktikan kita dapat bekerjasama tanpa mengira kaum untuk menggembeleng tenaga sebagai satu pasukan untuk menjayakan program pada malam ini.
Beberapa isu termasuklah gaji yang dihadapi oleh pemain sebelum ini telahpun berjaya diselesaikan. Kerajaan negeri telah menyumbang sejumlah besar dana untuk mengurus program bola sepak dan untuk memastikan kejayaan pasukan negeri kita. Kerajaan negeri berharap FAP akan telus dan berhemah dalam menguruskan kewangan dan program pembangunan bola sepak agar dapat meningkatkan lagi prestasi sukan yang digemari oleh kita ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Negeri Pulau Pinang masa suatu masa dahulu merupakan antara negeri yang digeruni dalam sukan bola sepak tanah air. Pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Kumbang banyak yang telah mewakili negara dalam perlawanan antarabangsa. Di manakah semangat juang itu telah pergi? Saya berharap kejayaan tersebut mampu diulangi lagi.
Sukan bola sepak adalah nadi sukan di kebanyakan negara di dunia, di Malaysia, bahkan di Pulau Pinang. Walaupun sukan badminton antara yang paling berjaya di negeri ini, sukan bola sepak tetap tidak dipinggirkan. Saya ingin melihat pasukan Pulau Pinang dapat memberi saingan yang sengit di dalam liga bola sepak tanah air.
Kepada para pemain kita, anda merupakan yang elit dan terbaik yang dipilih daripada kalangan terbaik untuk mewakili pasukan bola sepak negeri. Anda membawa harapan negeri dalam sukan yang paling diminati di negara kita. Jadi, saya menyeru dan meminta tuan-tuan semua untuk berikan yang terbaik buat pasukan ini. Boleh? Saya percaya anda semua boleh dan mampu untuk mencipta kejutan dalam masa beberapa tahun ini. Kejayaan anda adalah kebanggaan untuk seluruh negeri Pulau Pinang.
Kelab peminat ataupun fans club FAP adalah antara penyokong yang setia bersama pasukan ini di saat suka dan duka. Sokongan mereka amat kritikal terutamanya sewaktu perlawanan untuk memberi ooomph dan sokongan kepada para pemain. Tanpa mereka, tidak mungkin akan gegar gempita stadium negeri setiap kali pasukan kita menjaringkan gol. Terima kasih yang tak terhingga kita ucapkan kepada kelab-kelab penyokong bola sepak Pulau Pinang.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Aziz Azizan, bekas pemain kita yang telah meninggalkan kita baru-baru ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Jersi rasmi baru yang kita lancarkan pada malam ini akan disarungkan oleh setiap pemain kita. Saya berharap peminat juga akan membanjiri stadium negeri dengan jersi ini untuk setiap perlawanan kelak.
Akhir kata, marilah kita semua teruskan sokongan kepada bola sepak negeri. Kembalikanlah zaman kegemilangan The Northern Panthers! Haria Penang Haria!
Sekian terima kasih.