MAJLIS PERSIDANGAN MAHASISWA PULAU PINANG 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERSIDANGAN MAHASISWA PULAU PINANG 2019

26 JANUARI 2019, 4.00 PETANG
CHA ROOM, HOTEL JEN

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sekalung tahniah kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) kerana berjaya menghimpunkan pimpinan mahasiswa dari seluruh pelosok negeri Pulau Pinang. Syabas juga kepada saudara-saudari yang telah bersidang sejak pagi tadi membincangkan isu-isu pemerkasaan mahasiswa.

Pandangan saudara-saudari adalah amat penting dalam usaha Kerajaan Negeri menyediakan persekitaran yang lebih baik kepada mahasiswa terutamanya dalam aspek menggilap bakat serta menonjolkan potensi diri masing-masing.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berfikir ke hadapan dalam merancang pembangunan belia. Ketika kita menghampiri tahun 2020, Pulau Pinang telah mula menerajui perancangan pembangunan belia untuk 2030. Justeru, penglibatan saudara-saudari pada hari ini adalah sangat penting dalam berkongsi ‘input’ dengan Kerajaan Negeri.

Sesungguhnya, perancangan pembangunan belia 2030 ini adalah lebih mencabar, setelah mengambil kira perubahan persekitaran semasa. Pada kesempatan ini, ingin saya mengetengahkan dua cabaran utama, untuk kepimpinan belia dan mahasiswa pada hari ini, terutama para peserta di hadapan saya ini.

Pertamanya, perkembangan teknologi yang pesat. Tahap perkembangan teknologi yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini memberi kesan terhadap kehidupan manusia, termasuk pasaran kerja. Kini, kita berdepan dengan cabaran untuk menyediakan mahasiswa yang mampu mengadaptasikan perubahan ini – bayangkan ketika anda mendaftar masuk ke universiti pada tahun pertama, kemungkinan besar bidang kerjaya yang anda ingin ceburi tidak lagi relevan atau wujud setelah tamat pengajian kelak.

Justeru, kita harus mempersiapkan bakal-bakal mahasiswa dengan dunia pekerjaan yang mungkin belum pun wujud ketika mereka sedang berada di universiti. Paling penting, bukan hanya kemahiran menghafal manual, sebaliknya bagaimana untuk berfikir serta berinovasi dengan perubahan persekitaran. Lihat bagaimana ‘Internet of Thing’ dan Revolusi Industri 4.0 sedang mengubah dunia. Terdapat banyak pekerjaan yang tidak lagi memerlukan tenaga manusia, hanya dengan integrasi komputer yang lebih cekap serta canggih. Namun, pada masa sama, perkembangan ini mewujudkan peluang dalam bidang kerjaya yang lain pula.

Oleh demikian, kita memerlukan anjakan paradigma dalam menggarap perubahan ini. Kerajaan tidak lagi boleh dilihat sebagai penyedia peluang pekerjaan, sebaliknya menyediakan persekitaran kondusif yang membolehkan terciptanya pekerjaan untuk anda semua. Ya, kita tidak lagi membincangkan soal peluang pekerjaan tetapi bagaimana untuk mencipta pekerjaan.

Justeru, kini adalah masanya untuk saudara dan saudari mengemukakan kepada Kerajaan, apakah ruang yang kondusif yang anda perlukan dalam membolehkan belia melonjakkan potensi diri; mendapat capaian internet yang lebih baik, mewujudkan ruang bersosial dan berinteraksi, kehadiran bakat-bakat dunia di Pulau Pinang, aktiviti dan acara-acara antarabangsa, adalah antara contoh-contoh bagaimana Kerajaan sedang membantu menyediakan persekitaran kondusif ini. Justeru, kita mahukan maklum balas dan cadangan yang lebih bernas daripada anda semua.

Cabaran kedua untuk saudara dan saudari fikirkan adalah bagaimana untuk menyediakan diri dengan perubahan politik. Kini, Malaysia sedang melalui proses pendemokrasian. Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan lebih banyak suara rakyat dapat didengari dan sebarang keputusan harus mencerminkan kehendak serta aspirasi rakyat. Terdapat dua langkah konkrit dalam mencapai hasrat ini; pertama dengan mengembalikan pilihan raya tempatan dan keduanya menurunkan had umur mengundi.

Dalam soal had umur mengundi, Kerajaan berhasrat untuk menurunkan had umur kepada 18 tahun. Ertinya, adalah menjadi tanggungjawab saudara dan saudari untuk mempersiap-siagakan adik-adik kita di sekolah menengah sekarang dengan tanggungjawab ini. Kumpulan berumur 18 hingga 20 tahun yang sebelum ini dinafikan hak untuk mengundi pasti memiliki orientasi politik yang berbeza, lebih progresif dan demanding. Namun, sebagai Kerajaan kita tidak boleh gusar dan khuatir untuk melibatkan mereka. Malah hampir semua negara di dunia meletakkan umur minima mengundi kepada 18 tahun.

Selain itu, adalah penting untuk menyediakan generasi muda kini sebagai pemimpin pada masa hadapan. Kita memerlukan lebih ramai belia sebagai pemimpin. Kini kita ada beberapa Ahli Parlimen dan Menteri di bawah usia 26 tahun, dan kita memerlukan lebih ramai lagi pemimpin muda sebegini. Terdapat banyak isu-isu yang memerlukan suara serta perspektif yang segar antaranya dalam isu alam sekitar seperti pemanasan global, tenaga boleh diperbaharui, ‘deforestation’, isu keselamatan bukan konvensional seperti ‘food security’, ‘internet privacy’, ‘big data’ serta isu-isu sosial seperti identiti politik.

Semua ini memerlukan artikulasi politik yang lebih segar dan bernuansa yang melangkaui politik sempit kepartian apatah lagi perkauman. Semua ini menjadi cabaran kepada anda semua. Demikian juga dengan pilihan raya kerajaan tempatan yang apabila berjaya dikembalikan kelak merupakan medan sosialisasi politik yang penting untuk orang muda.

Di Parlimen hanya ada 222 kerusi Dewan Rakyat dan di peringkat Dewan Undangan Negeri hanya ada 576 kerusi di seluruh negara. Jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, bakal ada penambahan kekosongan yang sangat signifikan di seluruh negara yang memerlukan lebih banyak penglibatan orang muda. Tambahan lagi apabila di bandar-bandar di seluruh negara menyaksikan populasi belia mengatasi warga emas.

Oleh yang demikian, saya berharap berdasarkan dua cabaran utama ini, saudara dan saudari dapat memberikan input kepada kerajaan dalam menyediakan Pelan Pembangunan Belia 2030 ini.

Sekali lagi tahniah dan tidak dinafikan bahawa saya agak teruja untuk membaca serta mengetahui hasil persidangan saudara dan saudari pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang