MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA

UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA

16 FEBRUARI 2019 (2.30 PETANG)
HOTEL IXORA, SEBERANG PERAI

 

Yang Berhormat Puan Chong Eng
EXCO Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap Pengerusi Penang Women’s Development Corporation (PWDC)

Yang Berhormat Tuan Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir

Yang Berusaha Puan Ong Bee Leng
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation (PWDC)

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri

Ketua-ketua Jabatan

Ahli Lembaga Penang Women’s Development Corporation (PWDC)

Rakan-rakan Media

Puan-puan dan Tuan-tuan

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana sudi menjemput saya bagi bersama-sama di Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) pada petang yang berbahagia ini.

JPWK dibentuk di kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini di mana peranan utama JPWK adalah menyelaras program-program di bawah MMK Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi memastikan visi Penang2030 yang memfokuskan terhadap institusi kekeluargaan, negeri pintar dan hijau dapat direalisasikan. Dengan pembentukan AJK di setiap 40 kawasan KADUN ini, seramai lebih kurang 600 pemimpin wanita berkebolehan bakal dilahirkan dan akan menyumbang tenaga untuk melaksanakan program-program pembangunan untuk penduduk Negeri Pulau Pinang.

Berfungsi sebagai satu struktur dan mekanisme rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, JPWK di setiap KADUN dipertanggungjawabkan untuk merancang dan mengimplimentasikan program-program yang berhubung kait dengan pembangunan wanita dan keluarga di KADUN masing-masing. Program-program ini menyasarkan pembinaan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk wanita dan keluarga dari pelbagai aspek termasuklah pengurusan kewangan, kesihatan mental dan fisiologikal, keibubapaan, kepimpinan dan sebagainya. Program-program ini akan direkabentuk untuk menampung keperluan komuniti tempatan di setiap KADUN.

Kerajaan Negeri percaya penubuhan JPWK ini adalah langkah proaktif dan inklusif dalam menghindari segala permasalahan dan isu berbangkit terutama di peringkat akar umbi. Seperti mana yang semua sedia maklum, jawatankuasa ini akan diterajui di bawah kepimpinan YB Chong Eng, selaku EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam dengan sokongan PWDC dan kesemua 40 ADUN di negeri ini.

Sebagai inisiatif perintis di Malaysia, usaha ini akan membawa perubahan strategik untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri yang memberi fokus kepada pembangunan wanita dan keluarga ke arah perkembangan baharu.

Dengan halatuju JPWK yang ditentukan oleh Saudari Chong Eng dan sokongan hebat daripada ADUN dan Penyelaras KADUN serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, JPWK akan menjadi pemacu perubahan untuk pembangunan wanita dan keluarga untuk negeri ini.

Akhir kata, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua yang telah dilantik menjadi Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan AJK JPWK. Saya berharap penubuhan semua yang dilantik dalam JPWK ini dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab agar pelaksanaan inisiatif ini akan membuka mata sekaligus menjadi model ikutan kepada negeri-negeri lain.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang