PENANG SOUQ RAMADAN BAZAAR 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

PENANG SOUQ RAMADAN BAZAAR 2019

16 APRIL 2019

HOTEL ST GILES WEMBLEY

 

Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan

YB Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

               

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Mohd Bazid bin Abd Kahar

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan

Peserta-Peserta Majlis Pelancaran Penang Souq Ramadan 2019.

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana sudi hadir bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran “Penang Souq Ramadan 2019” pada petang yang berbahagia ini.

Seperti mana yang kita sedia maklum, Penang Souq Ramadan merupakan salah satu program anjuran Kerajaan Negeri di bawah Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, dan lazimnya diadakan menjelang kedatangan bulan Ramadan.

“Souq” atau bahasa lazimnya bazar merupakan satu konsep penjenamaan yang akan dilaksanakan secara serentak dengan menggunakan logo dan tema yang sama sempena bulan Ramadan di seluruh Negeri Pulau Pinang. Ia mengumpulkan pelbagai lapisan komuniti peniaga dan pedagang untuk pelbagai jenis produk dengan tawaran harga yang sangat berpatutan.

Program ini buat pertama kalinya telah dilancarkan pada tahun 2011 dan diteruskan berikutan pencapaiannya yang sangat memberangsangkan saban tahun. Peningkatan ini membuktikan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri berkeusahawanan dan berkebajikan berada di landasannya yang tersendiri, dan sebab itulah pelbagai usaha dilakukan demi meningkatkan sektor ekonomi dan perdagangan, tanpa meminggirkkan mana-mana kaum di negeri ini.

Sejak program ini dilancarkan, terdapat peningkatan jumlah penyertaan oleh pihak hotel, kompleks membeli belah, kedai-kedai perabot/hiasan rumah dan peniaga-peniaga bazar Ramadan. Di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan saling bekerjasama, saya percaya program seumpama ini dapat membuka peluang kepada semua usahawan dan komuniti peniaga untuk memperkenalkan produk dengan mudah dan berkesan.

Kerajaan Negeri akan terus berusaha membuka peluang perniagaan kepada para usahawan dan komuniti peniaga untuk menambah pendapatan dan mengukuhkan perniagaan demi memantapkan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa merangka pelbagai bentuk inisiatif dan bantuan demi membantu dan memperkasakan golongan ini dalam pelbagai bidang.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) misalnya telah memperkenalkan Skim Pinjaman Harapan (SPH) dengan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga maksimum RM25,000 bagi membantu para usahawan mengembangkan modal perniagaan.  Sejak tahun 2009 hingga Februari 2019, sebanyak RM16.53 juta telah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada 3,197 peminjam bagi menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Kerajaan Negeri pada tahun 2014 turut memperkenalkan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) bagi membantu para usahawan muda khusus dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Sehingga Mac 2019, seramai 131 penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori pertanian, penternakan dan perikanan telah menerima manfaat TUTM.

Dengan segala bentuk bantuan dan insentif ini, diharap ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan B40 terutamanya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan mampu berdikari pada masa hadapan. Melalui Visi Penang2030 yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri akan pastikan segala dasar dan perancangan yang dilaksanakan akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, penglibatan semua rakyat dari pelbagai latar belakang adalah amat digalakkan agar kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan sekaligus menjadi ‘role model’ kepada negeri-negeri lain.

Pada tahun ini, terdapat 107 buah penyertaan dalam Penang Souq Ramadan, yang terdiri daripada pihak hotel yang menawarkan promosi berbuka puasa, komuniti peniaga untuk kategori bazar ramadan, komuniti peniaga untuk promosi ramadan serta komunti peniaga untuk promosi perabot danaksesori hiasan rumah.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain dan jawatankuasanya yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan program ini. Semoga penganjuran program Penang Souq Ramadan ini beroleh kejayaan dan menjadi pemangkin kepada kegiatan perniagaan dan perdagangan di Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang