MAJLIS BERBUKA PUASA & BANTUAN RAMADHAN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA & BANTUAN RAMADHAN
12 MEI 2019
DEWAN UMA, JALAN TRANSFER
Yang Berbahagia Datuk Seri Muhammad Ridzwan bin Sulaiman
Presiden Al Ehsan Islamiah Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Seri Haji Barkath Ali
CEO Kumpulan Barkath Sdn Bhd
Yang Berbahagia Datuk Uswath Khan
Pelita Group Sdn Bhd
Yang Berbahagia Dr M.C Pitchay
Presiden Gappin Penang
Yang Berbahagia Dr Haji Anvar Hussain
Presiden Muslim Jewellers Money Changer
Tuan K.M Syed Sultan
Presiden Persatuan Muslim Bersatu (UMA)
Tuan Abdul Wahab
CEO Restoran Kapitan Sdn Bhd
Tn Haji Baharuddin
Dean Money Changer Penang
Tuan Nasir Mohideen
Presiden Persatuan Muslim Tanjung Pulau Pinang
Tuan Haji Munawar Sadiq
Presiden Young Muslim Sport Club (YMSC)
Yang Berbahagia Dato’ Gobalakrishnan
Presiden Indian Chamber Pulau Pinang
Puan Patimah bin Kader
Pengerusi Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang
Para Jemputan
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang/Wanita UMA yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan Majlis Berbuka Puasa dan Bantuan Ramadan pada petang yang berbahagia ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Seperti yang saya nyatakan di majlis-majlis sama sebelum ini, Kerajaan Negeri sememangnya amat menghargai peranan dan jasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Sesungguhnya usaha murni ini bukan sahaja memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima, tetapi turut memudahkan urusan Kerajaan Negeri terutama dalam pengagihan bantuan-bantuan kepada golongan sasaran ini.
Saya difahamkan pada hari ini seramai 100 orang yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, OKU dan golongan kurang berpendapatan akan menerima bantuan. Meskipun sumbangan ini mungkin dilihat tidak seberapa tetapi ia sangat membantu dalam mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan terutama menjelang musim perayaan ini.
Sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 2008, Kerajaan Negeri komited dan akan terus memberikan komitmen yang tinggi untuk terus memberikan bantuan tanpa diskriminasi kepada mana-mana kaum dan agama.
Rekod baik yang telah dipegang selama 11 tahun ini akan terus dipastikan kekal unggul agar segala hasil yang diperolehi dapat dipulangkan demi manfaat bersama rakyat Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan kita berjaya memajukan negeri ini hasil daripada pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan selama ini.
Melalui Visi Penang2030 yang dijadikan panduan untuk memacu negeri ini menjelang tahun 2030, sememangnya penglibatan masyarakat adalah amat diperlukan dan menjadi antara penggerak utama transformasi negeri ke satu tahap yang lebih maju. Pemerkasaan rakyat melalui kepelbagaian program dan dasar yang sedang dan telah direncanakan mampu membawa golongan sasaran keluar dari kepompong sedia ada dan mengurangkan ketidaksamaan yang wujud.
Selain meneruskan program-program bantuan sedia ada, Kerajaan Negeri juga turut menawarkan pelbagai bidang baru yang boleh diterokai dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang serba-boleh. Seperti yang semua sedia maklum, Pulau Pinang terkenal dalam industri elektrik dan pembuatan. Namun, sejak kebelakangan ini, Kerajaan Negeri turut meneroka pelbagai industri lain seperti industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha untuk membantu dan menstabilkan ekonomi negeri ini.
Oleh itu, besarlah harapan Kerajaan Negeri agar kita semua dapat merebut peluang yang ada ini demi kebelangsungan hidup yang lebih baik. Kerajaan Negeri juga berharap agar segala usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan yang penuh daripada rakyat untuk kita sama-sama bergerak pantas menuju ke arah negeri bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis ini. Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan rasa rendah diri.
Sekian, terima kasih.