MAJLIS IFTAR SETALAM & SUMBANGAN AIDILFITRI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IFTAR SETALAM & SUMBANGAN AIDILFITRI

1 JUN 2019

MASJID SIMPANG EMPAT, PERMATANG BULUH,

TASEK GELUGOR

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur terutama kepada Jawatankuasa Qariah Masjid Simpang Empat, Permatang Buluh, Tasek Gelugor serta semua agensi Kerajaan yang terlibat dalam penganjuran Majlis Iftar Setalam dan Sumbangan Aidilfitri pada petang yang berbahagia ini.

Pada peringkat awalnya, saya secara peribadi tidak memahami maksud sebenar STREET IFTAR ini tetapi setelah menghadiri 2 majlis STREET IFTAR pada 2 hari lepas dan juga awal Ramadan yang lalu, barulah saya faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan Iftar itu.

Dan hari ini, program yang disebut sebagai Iftar Setalam sudah tentu akan memberi satu pengalaman baru kepada saya. Saya dimaklumkan bahawa tradisi makan dalam talam ini merupakan budaya masyarakat Melayu Pulau Pinang terutama di kawasan kampung di kedua-dua kawasan pulau dan Seberang Perai. Ia semakin dilupakan dan jarang dilakukan terutama di kawasan bandar.

Pada saya, tradisi ini seharusnya dikekalkan dan dilaksanakan kembali kerana ia dapat memupuk budaya muhibah dan sekaligus dapat menjadi pemangkin kepada kekuatan masyarakat hari ini. Saya percaya dengan penganjuran majlis seperti ini, ia dapat dijadikan sebagai permulaan kepada kita semua untuk mengecilkan jurang yang mungkin wujud di antara pemimpin dan masyarakat setempat. 

Saya sebenarnya sedikit teruja untuk menyertai iftar setalam ini kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini. Saya sering lihat rakan sejawat saya iaitu Saudara Lim Guan Eng yang sering menghadiri majlis berbuka puasa sangat selesa dan tidak berasa kekok makan di dalam talam ini bersama-sama dengan rakan muslim ketika waktu berbuka.

Atas sebab itu, saya terpanggil untuk mencuba makan dalam talam ini di saat akhir sebelum bulan Ramadhan melabuhkan tirainya tidak lama lagi.

Sepanjang bulan Ramadhan ini, kepimpinan Kerajaan Negeri sangat berbesar hati dengan suasana yang penuh harmoni yang wujud di kalangan masyarakat negeri ini yang saling membantu terutama kepada golongan kurang berkemampuan. Adalah diharapkan majlis sebegini dapat mengeratkan lagi silaturrahim yang terjalin di antara kita di dalam bulan Ramadan yang diberkati ini.

Kepimpinan Kerajaan Negeri akan memastikan mandat yang diberikan ini digunakan sebaik yang mungkin dengan pelaksanaan polisi, projek dan program yang dapat dirasai oleh rakyat di segenap lapisan. Rakyat mungkin mengharapkan sesuatu yang lebih baik dapat dinikmati apabila kini pentadbiran negeri berada di bawah payung pentadbiran yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha pembaharuan dan dasar yang mengutamakan rakyat bagi melonjakkan pencapaian dan kemakmuran negeri tercinta ini. Melalui Visi Penang2030 yang dilancarkan, pelbagai dasar, program dan aktiviti akan dilakukan penambahbaikan bagi memastikan 1.77 juta rakyat negeri ini dapat menerima manfaat secara keseluruhannya.

Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membantu mengurangkan beban golongan yang memerlukan terutama menjelang musim perayaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama melalui program-program kebajikan yang telah dimulakan sejak tahun 2008 lagi. Semoga bantuan-bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membantu rakyat mengharungi detik-detik sukar dalam kehidupan mereka.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang