MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDIL FITRI KADUN JAWI ANJURAN BERSAMA PUSAT KHIDMAT ADUN JAWI & PARLIMEN NIBONG TEBAL

UCAPAN YAB CHOW KON YEOW, KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDIL FITRI KADUN JAWI

ANJURAN BERSAMA

PUSAT KHIDMAT ADUN JAWI & PARLIMEN NIBONG TEBAL

11 / 06 / 2019 (SELASA)

 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan yang beragama Islam yang hadir pada malam ini. Saya berasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Buaya ini.

Terima kasih dan tahniah kepada ADUN Jawi dan Ahli Parlimen Nibong Tebal serta AJK-AJK yang terlibat untuk menjayakan majlis jamuan hari raya pada malam ini yang amat meriah dalam suasana kampung.

Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun selama sebulan umat Islam akan berpuasa, dan bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun, orang Islam akan menyambut hari kemenangan tersebut dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bahkan bukan sahaja orang Islam, malah kita sebagai rakyat Malaysia yang berbagai kaum dan etnik akan turut sama merayakan bersama-sama. Ini lah negara Malaysia yang kita sama-sama sanjungi.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Seperti mana yang kita sedia maklum, kerajaan Pakatan Harapan sentiasa prihatin dengan kebajikan dan pembangunan negeri, khususnya bagi rakyat Pulau Pinang.

Sejak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri ini pada tahun 2008, terdapat banyak pembangunan dan aktiviti telah dijalankan, semakin rancak dirancang dan juga banyak yang akan dijalankan tidak lama lagi. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan agar dapat membangunkan bukan saja kawasan KADUN Jawi tetapi juga negeri Pulau Pinang, negeri kita yang amat kita sayangi ini.

Hadirin sekalian,

Menyebut mengenai soal pembangunan dalam KADUN Jawi sahaja, sejak tahun 2008 sehingga kini, kita dapat melihat bahawa pembangunan dalam kawasan DUN Jawi ini tidak pernah ketinggalan daripada segi penyediaan tempat seperti kemudahan awam serta lain-lain lagi.

Tapak majlis pada malam ini juga pada asalnya hanya ada satu gelanggang sepak takraw sahaja, itu pun yang amat tidak sesuai untuk digunakan kerana telah rosak. Namun, selepas kita mentadbir Kerajaan Negeri, kita telah menaik taraf tapak ini menjadi 2 buah gelanggang sepak takraw berbumbung yang mana ia boleh digunakan bersama-sama. Tambahan pula, ia boleh digunakan sebagai tapak majlis sepertimana ianya digunakan pada malam yang indah ini. Selain itu, bukan sahaja gelanggang sepak takraw telah disediakan, tempat permainan kanak-kanak dan gelanggang futsal juga turut disediakan. Ini lah antara pembangunan di tempat ini.

Bagi Jeti Nelayan Changkat juga, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM 500 ribu bagi menambah baik jeti nelayan sedia ada, bekalan elektrik, naik taraf jalan masuk serta tempat letak kenderaan dan lain-lain lagi.

Dengan usaha-usaha berikut, saya harap tuan-tuan dan puan-puan serta penduduk di sini dapat menggunakan kemudahan-kemudahan ini dengan baik agar semua dapat terus menikmati kemudahan-kemudahan tersebut bersama-sama.

Sebelum mengakhiri ucapan pada malam ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam memastikan majlis jamuan hari raya pada malam ini berjalan lancar dan teratur. Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir pada malam ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang