MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM AMAL AIDILFITRI PERSATUAN TITIAN KASIH PULAU PINANG 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

 DI MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM AMAL AIDILFITRI

PERSATUAN TITIAN KASIH PULAU PINANG 2019

16 JUN 2019

HOTEL CITITEL, PULAU PINANG

Salam Sejahtera dan Selamat Hari Raya.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur iaitu Persatuan Titian Kasih Pulau Pinang (PERTIKAS) dan Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKIPM) kerana sudi menjemput saya untuk menghadiri majlis pada malam yang cukup berbahagia ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua tetamu dan hadirin yang berada di dalam dewan ini. Ini merupakan tahun kedua saya menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Amal Aidilfitri ini sejak memegang tampuk pentadbiran Negeri Pulau Pinang.

Sama seperti tahun sebelumnya, majlis ini cukup meriah dengan sambutan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada ahli-ahlinya yang terdiri daripada seramai 350 orang yang sanggup datang dari jauh dan dekat bagi bersama-sama meraikan majlis ini.

Tahniah dan syabas kepada semua.

Seperti mana yang semua sedia maklum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang sangat aktif dan sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera menerusi pelbagai program dan pendekatan yang bersesuaian dan sejajar dengan matlamat penubuhan NGO tersebut.

Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan anda semua yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai penganjuran program dan aktiviti yang bertemakan amal dan kemasyarakatan. Kerajaan Negeri mengakui tanpa penglibatan anda semua yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapi selama ini, Pulau Pinang tidak mampu untuk mencapai apa yang dinikmati kini.

Besarlah harapan Kerajaan Negeri agar kita semua dapat terus bekerjasama dan dapat memainkan peranan masing-masing seiring dengan keperluan semasa dan seterusnya merealisasikan Visi Penang2030. Semoga Pulau Pinang terus dilimpahkan dengan kekayaan agar dapat terus dikongsi oleh rakyatnya dalam suasana yang penuh harmoni, muhibah dan perpaduan.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menganjurkan majlis makan malam sempena hari raya aidilfitri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang