MAJLIS HARI KELUARGA UNTUK KONTINJEN JUARA KEBANGSAAN PBAPP

UCAPAN OLEH YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA

MAJLIS HARI KELUARGA UNTUK KONTINJEN JUARA KEBANGSAAN PBAPP

PADA 22 JUN 2019

Salam sejahtera dan selamat petang,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur majlis pada petang ini kerana menjemput saya hadir bersama-sama kontinjen juara dan keluarga mereka pada petang ini.

“Pada 1 Mei tahun ini, 80 orang kakitangan PBAPP telah secara sukarela membentuk kontinjen untuk mewakili Pulau Pinang dalam satu acara kebangsaan. Mereka ke Putrajaya, untuk menyertai Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan2019. Mereka pulang sebagai “Juara Kontinjen Terbaik” untuk “Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2019.”

Dato 'Ir. Jaseni yang menyaksikan acara itu telah berkongsi cerita bagaimana PBAPP memenangi trofi berkenaan. Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin menyatakan penghargaan ikhlas saya kepada semua 80 orang ahli kontinjen juara PBAPP. Kami amat menghargai semangat, pengorbanan dan kejayaan pasukan ini.

Anda membanggakan Pulau Pinang. Kami benar-benar menghargai semangat anda semua pada Hari Pekerja 2019. Hari ini, kami menghargai semangat, pengorbanan dan kejayaan anda dengan acara “Hari keluarga”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Langkah PBAPP menaja secara percuma bagi anda meluangkan masa yang berkualiti dengan pasangan dan anak-anak anda di Tech Dome di Komtar adalah baik dan perlu dipuji. Sebagai seorang yang mementingkan keluarga dan sebagai Ketua Menteri, saya telah melancarkan aspirasi Visi Pulau Pinang 2030 untuk Pulau Pinang menjadi “negeri berorientasi kekeluargaan, hijau dan pintar untuk aspirasi negara.”

Komitmen untuk keluarga dan kerjaya perlu diseimbangkan untuk berjaya dalam hidup. Kita perlu lebih banyak menghargai keluarga kita dan nilai-nilai kekeluargaan jika kita ingin mengubah keluarga dan masyarakat kita untuk menjadi lebih baik pada masa depan.

Itulah cara hidup dan hala tuju yang perlu untuk kita agar dapat memberi sumbangan ke arah mencapai pembangunan seimbang dan mampan di Pulau Pinang, negeri kebanggaan kita semua.

Saya difahamkan Kumpulan Syarikat PBA mempunyai seramai 1,383 kakitangan dan anda semua mempunyai keluarga yang menyokong anda. Pada skala makro, ini adalah hubungan timbal balik yang akan memacu negeri kita ke tahap yang lebih tinggi dalam pembangunan sosio ekonomi pada masa hadapan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini memberi keutamaan kepada program sosio ekonomi yang “Berfokuskan Keluarga" untuk manfaat anda semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya juga ingin memuji Dato’ Ir. Jaseni dan pasukan pengurusan beliau kerana memupuk semangat korporat yang baik di PBAPP. Saya percaya PBAPP memenangi gelaran “Juara Kontinjen Terbaik” kerana ahli-ahli kontinjen kita amat bangga untuk mewakili PBAPP dan Pulau Pinang pada 1 Mei 2019. Ini adalah “semangat korporat yang baik” yang terus memacu PBAPP cemerlang sebagai salah sebuah organisasi bekalan air terulung di Malaysia.

Akhir sekali, saya ingin menyebut di sini bahawa pada 1hb Mei 2019, Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, turut menyampaikan “Anugerah Perdana Menteri Tokoh Mahir 2019” kepada Dato’ Ir.Jaseni. Anugerah Perdana Menteri mengiktiraf sumbangan utama beliau dalam memperjuangkan, membangun dan mempromosikan program latihan kecekapan untuk industri bekalan air di Malaysia.

Melalui Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang, atau PWSA, PBAPP telah menyediakan program latihan profesional dan kecekapan spesifik industri kepada kakitangannya sendiri dan kakitangan dari organisasi bekalan air utama di Malaysia. Malah, PWSA juga telah melatih kakitangan bekalan air dari negara luar.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Ir. Jaseni dan PBAPP kerana memenangi Anugerah Perdana Menteri. Saya berharap agar anda semua meneruskan setiap usaha yang baik. Kami mengharapkan sokongan kuat anda agar aspirasi Visi Pulau Pinang 2030 untuk menjadi negeri berorientasi kekeluargaan, hijau dan pintar untuk aspirasi negara dapat dicapai.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang