MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2019

24 JUN 2019 (ISNIN)

ATRIUM PDC

 

Selamat tengahari dan Salam Sejahtera,

Pertama sekali saya ingin memanjatkan kesyukuran kerana dengan limpah dan izinnya kita dapat bersama-sama pada hari ini berkumpul dan meraikan sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri PDC 2019.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua para tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis yang penuh bermakna ini.  Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai kemenangan bagi mereka mengerjakan ibadat puasa Ramadhan dengan sempurna.  

Seperti yang kita sedia maklum, Pelan Strategik PDC 2030 melalui penekanan kepada pembangunan modal insan dan penambahbaikan proses seperti nilai diri, kemahiran, keupayaan, ilmu pengetahuan, kemampuan dan kos yang efektif. Nilai kerja ini juga seharusnya kita pertingkatkan dan kekalkan bagi memberi manfaat kepada pengurusan PDC, Kerajaan Negeri dan juga rakyat negeri Pulau Pinang. Selain itu, Pelan Strategik PDC 2030 juga adalah untuk memberi fokus seperti mewujudkan kawasan pertumbuhan baru di Pulau Pinang, meningkatkan nilai-nilai asset PDC dan seterusnya menjadi agen utama pelaksana bagi inisiatif Kerajaan Negeri. Nilai dan semangat bekerja berpasukan yang kukuh ke arah objektif bersama (Solid Teamwork Towards a Common Goal) adalah amat penting bagi mencapai kesemua ini.

Saya percaya bagi merealisasikan Visi Penang2030 dan Pelan Strategik PDC 2030, komitmen dan kerjasama daripada semua penjawat awam sangat diperlukan bagi menjayakan inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk membentuk Pulau Pinang sebagai negeri yang “family-focus, green and smart state that inspires the nation”.

Selain itu juga, kita juga perlu peka dengan Revolusi Industri 4.0 yang sedang diperkatakan di seluruh dunia yang mana ianya memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar.

Oleh yang demikan, seiring dengan perkembangan dunia supaya kita tidak ketinggalan arus, marilah kita sama - sama berusaha meningkatkan kualiti kerja, bertindak dengan pantas dan berganding bahu bagi merealisasikan dasar negeri dalam pelbagai bentuk projek, program dan inisiatif supaya rakyat di Pulau Pinang dapat menerima manfaat daripadanya.

Para hadirin sekalian,

Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak PDC telah mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang mana satu Majlis Iftar Ramadhan anjuran Persatuan Kakitangan Islam PDC (PKI) telah diadakan. Fokus utama pelaksanaan sambutan majlis berbuka puasa ini bukan sahaja sebagai penghargaan untuk semua ahli-ahli PKI malahan ia bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan-golongan yang memerlukan.

Selain itu juga, bersempena ulangtahun PDC yang ke-50 pada tahun ini, buat julung kalinya PDC telah mengadakan program pengagihan bubur lambuk kepada orang awam di kawasan Bayan Baru dan sebanyak 500 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada orang awam pada 29 Mei 2019.

Saya juga yakin, dengan usaha dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh semua warga PDC ini akan dapat diperkukuhkan dan dimantapkan lagi serta membuka ruang dan peluang yang cerah kepada PDC untuk menjadi organisasi yang bertaraf antarabangsa setanding dengan organisasi yang lain.

Saya dengan ini, sekali lagi ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua semua yang hadir pada hari ini dan seterusnya dengan penuh rasa kesyukuran, dengan ini merasmikan ‘MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2019’.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang