MAJLIS PERASMIAN MAKERLAB SMK BUKIT JAMBUL

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN MAKERLAB SMK BUKIT JAMBUL

11 JULAI 2019

SMK BUKIT JAMBUL

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas kesudian untuk menjemput saya sempena Majlis Perasmian Makerlab Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul pada pagi yang berbahagia ini.

Hari ini, SMK Bukit Jambul menempa sejarahnya yang tersendiri apabila selepas ini dengan rasminya mempunyai MakerLab sendiri di sekolah. Saya difahamkan bahawa SMK Bukit Jambul merupakan sekolah menengah kelima di Pulau Pinang yang membangunkan MakerLab ini. Tahniah dan syabas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta barisan guru yang telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM25,000 bagi menyokong dan merealisasikan inisiatif ini.

Tahniah dan syabas juga kepada pasukan daripada Penang Science Cluster (PSC) di bawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Ooi Peng Ee yang selama ini telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi dalam membantu Kerajaan Negeri untuk mempromosikan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics).

Selain PSC, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar bagi membina pusat-pusat kecemerlangan STEM yang lain, antaranya adalah seperti Tech Dome Penang (TDP), aCAT Penang (@CAT), Pusat Pembelajaran Karpal Singah (KSPLC) dan Perpustakaan Digital Pulau Pinang. Semua ini dilakukan sebagai asas bagi mempersiapkan anak-anak di negeri ini agar mempunyai akses yang mencukupi sekaligus membantu para pelajar untuk menghadapi perubahan teknologi yang pesat dan landskap kerja yang dinamik seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

Kos pembinaan makmal ini ditanggung sepenuhnya oleh PIBG/alumni manakala latihan dan bimbangan percuma akan dilaksanakan oleh PSC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility – CSR). Makmal ini akan dilengkapi dengan pelbagai perisian, perkakasan dan bahan pembelajaran yang terkini bagi membolehkan para pelajar mempelajari Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang amat diperlukan dalam dunia pendidikan pada abad ke-21 ini.

Antaranya adalah seperti pencetak 3D dan pengawal mikro (Arduinos, microbits dan Raspberry Pis). Para pelajar akan berpeluang untuk meneroka bidang sains reka cipta dan inovasi yang sarat dengan kemahiran teknikal di mana kreativiti dan inovasi sangat diperlukan untuk perancangan pelbagai projek dan penyelesaian pelbagai masalah dan. Kemahiran inilah sebenarnya yang amat diperlukan dan menjadi nilai tambah kepada permulaan karier seperti kejuruteraan, pembuatan dan perubatan.

Saya berharap MakerLab ini dapat membantu guru-guru dan para pelajar di sekolah ini untuk menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan menarik. Para guru mestilah bersedia untuk terus belajar dan memahirkan diri dengan pelbagai kemudahan yang disediakan ini supaya menjadi lebih inovatif, efektif dan berinformasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Kepada para pelajar pula, manfaatkan kemudahan yang disediakan dan bijaklah merebut peluang yang disediakan bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran teknologi masa kini. 

Saya dimaklumkan bahawa lebih 20 buah sekolah di negeri ini telah menghubungi PSC dan menyatakan minat kepada penubuhan MakerLab ini dan kini dalam proses untuk mengumpulkan dana. Permintaan ini membuktikan bahawa inisiatif yang telah dilaksanakan ini telah membuahkan hasil dan berharap lebih ramai lagi pihak swasta untuk tampil melaksanakan tanggunghjawab CSR ini. Saya yakin dan percaya perkara ini bukanlah mustahil untuk direalisasikan memandangkan di Pulau Pinang, sememangnya sudah wujud sinergi dan kerjasama yang erat di antara para pemain industri yang saya pasti bersedia untuk menawarkan kepakaran mereka.

Akhir kata, semoga MakerLab SMK Bukit Jambul ini dapat menjadi hub dan showcase kepada sekolah-sekolah berdekatan untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang STEM.

Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan MakerLab SMK Bukit Jambul.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang