MAJLIS PERASMIAN PESTA SENI & KEBUDAYAAN BUKIT MERTAJAM 2019
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA SENI & KEBUDAYAAN BUKIT MERTAJAM 2019
16 OGOS 2019
ATAS PASAR BUKIT MERTAJAM
Selamat Petang dan Salam Sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Pesta Seni & Kebudayaan Bukit Mertajam 2019 pada petang yang berbahagia ini.
Seperti mana yang kita maklum, program ini merupakan inisiatif oleh Rakan BM untuk memaparkan keindahan serta kekayaan budaya setempat melalui aktiviti kesenian kepada orang ramai.
Julung kali diadakan pada tahun lepas, penganjuran ini telah memperoleh sambutan yang amat baik, dan untuk kali ini iaitu tahun kedua, ia telah dijadikan aktiviti tahunan dan temasya di pekan Bukit Mertajam secara khususnya.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Rakan Bukit Mertajam, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup mengambil inisiatif khas dalam memelihara serta memulihkan seni warisan serta budaya sedia ada.
Kerajaan negeri Pulau Pinang umumnya menyokong dan menggalakkan usaha-usaha dalam memajukan aktiviti kebudayaan dan kesenian di negeri ini. Dalam masyarakat yang berbilang bangsa, kita mempunyai budaya dan kesenian yang pelbagai. Ia seharusnya dilihat sebagai platform untuk saling memahami, dan bukannya jurang perbezaan yang memisahkan hubungan antara satu sama lain.
Sesebuah pasar bukan sahaja tempat untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan membeli-belah semata-mata, sebaliknya ia juga mencerminkan corak serta budaya kehidupan sesebuah masyarakat. Saya percaya, seperti pasar-pasar yang lain, Pasar Bukit Mertajam juga mempunyai zaman kegemilangannya pada suatu ketika dahulu.
Dengan bertemakan “ Jom Pi Pasar Bukit Mertajam”, pesta ini yakni dapat mengimbas kembali memori orang ramai khususnya warga Bukit Mertajam tentang keindahan pasar ini. Di samping itu, ia juga dapat memberi nafas baru, bahawa “Pasar Bukit Mertajam bukan sahaja melibatkan aktivit jual beli, sebaliknya turut mencerminkan kepelbagaian persembahan budaya dan seni.”
Saya yakin dengan langkah ini, ia juga memberi peluang kepada orang ramai, khususnya masyarakat setempat dan golongan muda, untuk mengenali pesar ini secara mendalam, melahirkan rasa bersyukur dan mengekalkan budaya dan kesenian yang diwarisi secara turun-temurun.
Seni, budaya dan warisan bukan sahaja memupuk jati diri sesebuah masyarakat, tetapi juga merupakan “soft skills” yang memperkayakan daya saing sesebuah bandar. Sebagai contoh, pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 11 tahun lalu, telah meletakkan namanya gah di perantau dunia. Serentak itu, aktiviti ekonomi juga berkembang pesat selaras dengan pertambahan pelancong dari dalam dan luar negara.
Hadirin sekalian,
Selain sektor pembuatan, pelancongan juga memainkan peranan penting dalam menjana sumber pendapatan negeri Pulau Pinang. Maka, ia menjadi tanggungjawab kita sebagai Kerajaan Negeri, bukan sahaja mengekalkan ia malah juga perlu meningkatkan prestasi industri pelancongan ke arah serta tahap yang lebih tinggi.
Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mempelbagaikan produk pelancongan. Lazimnya, pelancong lebih mengenali kawasan pulau memandangkan aktiviti pelancongan negeri adalah lebih tertumpu di lokasi berkaitan, namun kawasan seberang Perai juga tidak kurang hebatnya dan pelbagai usaha dijalankan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan kecantikan Seberang Perai kepada mata luar.
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah melancarkan “Experience Penang Year (EPY) 2020”. Justeru, saya mengambil kesempatan ini menyeru semua pihak berkaitan supaya bersiap-sedia menghadapi “musim melancong” di Pulau Pinang pada masa akan datang.
Akhir kata, saya berharap program malam ini bakal membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih mengenali kawasan Bukit Mertajam di samping menghayati serta menyertai aktiviti-aktiviti menarik yang berlangsung selama 4 hari ini.
Dengan ini, saya merasmikan ‘Pesta Seni & Kebudayaan Bukit Mertajam 2019- Jom Pi Pasar BM” (从心走进大山脚)
Sekian, terima kasih.