MAJLIS PELEPASAN “RUN FOR PEACE 2019”
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELEPASAN “RUN FOR PEACE 2019”
8 September 2019
Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur iaitu Persatuan Soka Gakkai Malaysia atas kesudian menjemput saya sempena acara pelepasan Larian Keamanan atau “Run For Peace 2019” pada pagi yang berbahagia ini.
Sejak penubuhan pada tahun 1984, saya percaya Persatuan Soka Gakkai Malaysia telah memainkan peranannya yang tersendiri dan menggalas satu tanggungjawab yang besar dalam membawa mesej keamanan dalam masyarakat tanpa mengira jantina, etnik mahupun kehidupan sosial.
Memilih bulan September selaku bulan keamanan Persatuan Soka Gakkai Malaysia, acara larian ini telah diperluaskan kepada 28 lokasi dengan melibatkan penyertaan sejumlah 115,000 orang di seluruh negara. Dan pada pagi ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, seramai lebih 8,000 orang peserta tanpa mengira umur dan latar belakang telah bersedia untuk menyertai acara larian dwitahunan bersifat bukan kompetitif sejauh lebih kurang 10km ini.
Tahniah dan syabas kepada semua.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita sentiasa dan akan menyokong sebarang usaha ke arah memperkasakan perpaduan dan keamanan di negeri ini. Dalam sebuah negeri yang unik dan kaya dengan kepelbagaian, sebarang persengketaan hanya merugikan dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Justeru, keamanan dan kedamaian adalah teras utama kepada perpaduan rakyat negeri ini. Hubungan baik yang telah terjalin sejak sekian lama ini telah mewujudkan sinergi yang sangat kukuh di antara rakyat negeri ini. Dan sudah tentulah, ia melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat tanpa mengira batas agama, bangsa serta latar kerjaya dan kehidupan seperti mana objektif utama penganjuran larian pada pagi ini.
Akhir kata, semoga larian keamanan ini mencapai sasarannya yang tersendiri. Marilah kita semua memelihara nikmat keamanan yang terjalin ini agar Malaysia dan Pulau Pinang khususnya terus terpelihara dari segala anasir luar yang boleh merosakkan pintu perpaduan kita.
Dengan kata-kata ini, saya merasmikan acara “Run For Peace 2019” Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.