PROGRAM HARI SAINS DAN INOVASI PELAJAR TAHUN 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM HARI SAINS DAN INOVASI PELAJAR TAHUN 2019

 

26 Oktober 2019

SK Pokok Sena

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur terutama pengurusan Sekolah Kebangsaan Pokok Sena atas komitmen dan usaha yang telah dipamerkan dalam memastikan Hari Sains dan Inovasi Pelajar 2019 pada hari ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang semua sedia maklum, program berbentuk pertandingan inovasi, bengkel, kuiz, pameran dan pertandingan mewarna berkaitan sains dan teknologi yang berlangsung sepanjang hari ini sememangnya satu inisiatif yang amat baik dalam usaha untuk memupuk, mendedah dan menggalakkan para pelajar dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang tentang kepentingan sains dan teknologi dalam menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0. yang penuh mencabar pada masa kini.

Sebagai sebuah negeri perindustrian dan bergantung kepada modal insan yang berbakat dan berkemahiran tinggi, tumpuan kepada pengkhususan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sangat diperlukan dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan dan teraju utama dalam pendidikan STEM ini.

Menyedari akan tanggungjawab sosial ini, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah setapak  maju ke hadapan dengan melabur sejumlah RM68 juta bagi memperkenal dan mempromosikan pendidikan STEM melalui penubuhan beberapa organisasi STEM seperti Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang (TDP), Penang Skills Development Centre (PSDC), Penang Math Platform, @CAT Penang dan Penang Digital Library (PDL) sebagai persediaan awal kepada anak-anak di negeri ini terutamanya dalam mempromosikan minat yang mendalam dalam pendidikan STEM ini.

Sudah pasti pemikiran saintifik serta inovasi merupakan elemen terpenting yang perlu diterap di peringkat awal sekolah lagi bagi memupuk minat dan kesungguhan pelajar dalam bidang ini.

Pelbagai program, bengkel dan pertandingan giat dianjurkan dari semasa ke semasa secara bersama di antara organisasi STEM dan pihak sekolah di pelbagai peringkat, dan mendapat sokongan yang amat menggalakkan di kalangan para pelajar. Saya turut berpeluang mengikuti projek-projek yang dipersembahkan oleh anak-anak ini ketika lawatan ke beberapa program yang dianjurkan, hasilnya adalah sangat mengagumkan.

Tahniah dan syabas kepada semua!

Dan pada hari ini, konsep yang sama akan dijalankan di mana sebanyak 15 buah sekolah akan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi ini di mana setiap sekolah akan mempersembahkan projek masing-masing di hadapan para juri. Menang dan kalah adalah adat pertandingan. Pengalaman yang ditimba pada hari ini adalah segalanya dan dapat dijadikan sebagai perangsang untuk kejayaan pada masa hadapan.  

Kreativiti dan inovasi sesuatu projek tidak terhad kepada penghasilan sesuatu yang gah dan berskala besar. Asas kreativiti, semangat berpasukan dan disiplin yang tinggi dalam diri setiap para pelajar sudah mencukupi sebagai permulaan dalam menghasilkan generasi pelapis dalam pengkhususan ini.

Akhir kata, semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan jurang yang mungkin wujud di kalangan para pelajar di bahagian pulau dan seberang perai dalam aspek pendedahan awal pendidikan STEM ini dapat dikurangkan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang