MAJLIS PECAH TANAH BAGI PROJEK PAKEJ 2 JALAN PINTASAN LEBUHRAYA TUN DR LIM CHONG EU KE AIR ITAM

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH BAGI

PROJEK PAKEJ 2 JALAN PINTASAN LEBUHRAYA

TUN DR LIM CHONG EU KE AIR ITAM

 

2 NOVEMBER 2019

TAPAK PASAR MALAM RABU FARLIM

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas kesudian menghadiri Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, pada tahun 2013, Kerajaan Negeri melalui tender terbuka telah melantik Consortium Zenith Construction (CZC) sebagai kontraktor utama untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) dan Rekabentuk Terperinci bagi projek Jalan-jalan Utama dan Terowong. Projek ini merupakan salah satu skop di bawah inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kesesakan dan menyuraikan trafik yang tinggi di kawasan-kawasan tersebut.

Kerajaan Negeri telahpun memeterai Preliminary Agreement di bersama syarikat konsesi CZC ini di mana empat (4) komponen projek yang terdiri daripada:

  1. Pakej 1: Jalan Berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang;
  2. Pakej 2: Jalan Pintasan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu;
  • iii. Pakej 3: Jalan Pintasan dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; dan
  1. Pakej 4: Terowong Bawah Dasar Laut.

Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek-projek ini dan telah mengemukakan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi tiga (3) pakej Jalan-jalan Utama kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 7 November 2017 telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek Jalan-jalan Utama tersebut.

Setelah perbincangan diadakan selama hampir setahun bersama-sama pihak konsesi, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memberi keutamaan dalam melaksanakan projek Pakej 2 ini terlebih dahulu memandangkan kawasan Air Itam merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan yang tinggi dan mengalami kesesakan lalu lintas setiap hari.

Pada 2 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah bersetuju untuk menandatangani Sub Agreement Pakej 2 bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan Sub Agreement ini telah dimeterai di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pihak konsesi CZC pada 11 Oktober 2019.

Jajaran Pakej 2 ini adalah sepanjang 5.7 km yang akan menghubungkan kawasan Air Itam di Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berdekatan Jabatan Laut sedia ada. Jajaran ini merangkumi 70% elevated section dan selebihnya at-grade.

Kos projek adalah sebanyak RM851,040,000.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Lima Puluh Satu Juta Empat Puluh Ribu Sahaja) dan akan dilaksanakan secara kontrak Lump Sum. Tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama 36 bulan.

Hadirin sekalian,

Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pelaksanaan projek pada hari ini sedikit sebanyak membuktikan keseriusan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan sistem pengangkutan yang holistik dan dinamik yang sudah pasti menjadikan pertumbuhan dan penjanaan ekonomi kepada rakyat dan negeri ini.

Kerajaan Negeri amat positif agar projek pada hari ini menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pelaksanaan projek-projek lain dalam komponen PTMP seperti Bayan Lepas Light Rail Transit (BLLRT), Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) dan Penang South Reclamation (PSR) sebagai satu tanggungjawab dan agenda merakyatkan pengangkutan awam dan seterusnya mengubah hala tuju Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang lebih baik dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menggerak tenaga kerja ke nilai rantaian atau value chain yang lebih tinggi di samping meningkatkan taraf hidup seterusnya mencapai pertumbuhan inklusif untuk memangkin sektor ekonomi Pulau Pinang.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang